Halaman

Selasa, 21 Januari 2014

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Laungan Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebanyak 7 kali pada tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka pasti tidak dapat dilupakan dalam lipatan sejarah Malaysia. Laungan keramat itu menjadi tanda perjuangan negara dalam menuntut kemerdekaan setelah dijajah hampir 446 tahun oleh kuasa asing(Portugis, Belanda, dan juga British). Itulah menjadi tanda bahawa Malaysia sebuah negara merdeka yang berdaulat.

Putera kepada Sultan Hamid Halim Shah dan Che Manjalara yang dilahirkan pada 8 Februari 1903 merupakan seorang yang peramah dan mudah mesra. Tidak pernah terlintas oleh ayahandanya yang pada suatu hari nanti, putera mereka akan menjadi pemimpin yang dikenali ramai dan insan terpenting dalam lipatan sejarah Malaysia. Meskipun berasal dari kalangan keluarga Diraja, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lebih selesa merendah diri dan mesra dengan panggilan Awang di kalangan rakan-rakan dan orang kampung yang mengenali beliau.

Ciri-ciri kepimpinan dan ketokohan dalam diri Tunku terserlah ketika beliau masih remaja lagi apabila beliau dengan tegas memprotes dasar pilihan warna kulit sebagai syarat dalam pengambilan pelajar yang diamalkan oleh St. Catherine College, Universiti Cambridge sehingga beliau diterima masuk ke kolej berkenaan dan dasar yang selama ini menjadi penghalang kepada pemohon kulit bewarna dari Asia dan Afrika tidak lagi diamalkan. Keadaan ini memperlihatkan kematangan Tunku yang pada ketika itu baru sahaja berusia 16 tahun.

Tunku telah menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pelajaran di Kolej St. Catherine di University Cambridge dan berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda dalam Undang-Undang dan sejarah pada tahun 1925. Selepas Tunku kembali ke tanah air pada tahun 1931, Tunku menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah sebagai Pegawai Daerah di beberapa daerah di negeri Kedah antaranya ialah Kuala Nerang, Langkawi, Sungai Petani dan Kulim. Sejak dari itu, pelbagai tugas penting digalas oleh beliau sehinggalah Tunku menjadi peguam bertauliah pada tahun 1947.
Pemimpin berjiwa rakyat 

 Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mulai berjinak-jinak dalam bidang politik atas rasa keinsafan dan kesedaran untuk memikul tanggungjawab membimbing sambil menyatukan bangsa Melayu dari belengu penjajahan British. Pada tahun 1951, Tunku telah dilantik untuk mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO daripada Dato' Onn yang mengundur diri pada Mesyuarat Agung Tahunan UMNO pada tahun tersebut. Tunku menjalankan rundingan diplomatik dengan pihak British sehingga berjaya menarik pemimpin-peminpin kaum Cina dan India untuk membentuk kerajaan gabungan pelbagai kaum dengan Parti Perikatan.

Dalam memastikan kejayaan rundingan, Tunku telah berusaha mendapatkan sokongan semua pemimpin kaum bukan Melayu di negara ini dan mengundang mereka bersatu, menyertai rombongan rundingan kemerdekaan Tanah ke London. Tunku bukan sahaja telah berjaya menyatupadukan penduduk Tanah Melayu(Kaum Melayu, Cina dan India) malah menyediakan asas kepada keharmonian negara. Perpaduan inilah yang menjadi asas dalam membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah dan menjadi tunjang persetujuan British untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Antara langkah penting yang menunjukkan kematangan Tunku dalam menjalankan rundingan secara diplomasi, Tunku telah berjaya menganjurkan Rundingan Baling antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya(PKM) pada 28 dan 29 Disember 1955. Rundingan ini bertujuan untuk melumpuhkan kuasa komunis di Tanah Melayu dan menuntut mereka menyerah diri tanpa syarat, malah membuka mata British bahawa sudah tiba masanya anak Melayu mentadbir tanah air sendiri. Walaupun rundingan ini berakhir dengan tanpa kata sepakat kedua-dua pihak, namun sedikit sebanyak ia mempengaruhi pihak British untuk memberi perhatian terhadap tuntutan yang dibentangkan oleh delegasi Kemerdekaan Tanah Melayu.

Ahli rombongan Rundingan Kemerdekaan yang mewakili Parti Perikatan terdiri daripada Tunku, Tun Abdul Razak, H.S Lee dan T.H Tan, Tan Cheng Lock, V.T Sambanthan dan E.E.C Thuraisingham. Di samping itu, Tunku turut berjaya menarik penyertaan wakil Raja Melayu walaupun pada mulanya Raja-Raja Melayu tidak yakin dengan kebolehan Tunku untuk mendirikan kerajaan sendiri. Wakil Raja-Raja terdiri daripada Dato' Abdul Wahab Abdul Aziz(Dato' Panglima Bukit Gantang-Menteri Besar Perak), Abdul Aziz Abdul Majid(Menteri Besar Selangor), Dato' Wan Idris Wan Ibrahim(Timbalan Menteri Besar Johor) dan Dato' Nik Ahmad Kamil(bekas Menteri Besar Kelantan).

Pada tanggal 2 Januari 1956, rombongan telah berlepas ke Karachi dengan menaiki kapal Ital'Asia' dan kemudiannya dengan kapal terbang ke London. Keputusan menaiki kapal sehingga ke Karachi sebenarnya untuk memberi masa dan peluang kepada semua ahli rombongan berbincang dengan lebih terperinci mengenai kemerdekaan yang dituntut sambil mengenal pasti strategi yang perlu diambil serta peranan yang perlu dimainkan oleh setiap anggota delegasi agar matlamat yang dirancang tidak terlepas dari genggaman.

Latar belakang Tunku yang hidup di kalangan orang barat khususnya semasa melanjutkan pelajaran di United Kingdom telah membolehkan beliau mengenali dengan lebih dekat budaya dan gaya hidup Inggeris. Ini memberi kelebihan "soft power" bagi membuktikan keberkesanan politik kepada kemahiran diplomasi dan rundingan serta memahani aspek permainan psikologi pihak penjajah semasa proses rundingan dijalankan.

Setelah mencapai kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berjaya menyusun pentadbiran yang stabil dengan menarik penyertaan pelbagai kaum dengan kabinet Kerajaan Persekutuan. Pentadbiran Tunku diperkuatkan lagi oleh tiga tokoh politik terkemuka tanah air iaitu Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr. Ismail selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Tan Siew Sien sebagai Menteri Kewangan. 

Pada 6 Jun 1960, Tunku telah dikurniakan Doktor Kehormat Undang-Undang oleh University Cambridge, Universiti Malaya, University of Sydney, University of Areneta Filipina, University Saigon tahun 1961. Aligarh Muslim University di India tahun 1962 dan Seoul National University tahun 1965. Dalam tahun 1961, Tunku merupakan salah seorang pengasas Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara(ASEAN) yang telah ditubuhkan secara rasmi pada 1961. Pada November 1961, Tunku telah melawat London dan berbincang dengan British tentang penubuhan Malaysia. Sebuah suruhanjaya khas iaitu Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan untuk membuat pungutan suara bagi penduduk Borneo Utara(Sabah & Sawarak). Penduduk Sabah & Sarawak menyokong usaha tersebut kerana inilah merupakan peluang terbaik untuk mereka menikmati kemerdekaan sepertimana yang dikecapi oleh saudara mereka di Semenjung. Usaha penubuhan Malaysia ini direalisasi pada 16 September 1963 yang turut meliputi Singapura.

Perubahan suasana politik di negara baharu ini mulai dicemari oleh sentimen perkauman  apabila pemimpin Parti Tindakan Rakyat(PAP) Singapura, Lee Kuan Yew dengan angkuhnya cuba memperolok-olakkan kedudukan orang Melayu sebagai pemimpin dan penduduk majoriti negara ini. Untuk mengelakkan pergeseran yang membawa kepada kemusnahan negara dan pertumpahan darah, Tunku telah 'membebaskan'. Singapura daripada gagasan Malaysia yang ketika itu baru berusia dua tahun. Tindakan tersebut dilihat sebagai langkah diplomatik yang bijak kerana sebarang tindakan terburu-buru boleh mengancam keselamatan negara kita yang baru sahaja ingin menikmati kemerdekaan. 

Tunku mengilhamkan banyak pembaharuan dan memperkenalkan pelbagai aktiviti yang menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa khususnya negara-negara Islam. Beliau memperkenalkan Musabaqah Membaca Al-Quran peringkat Kebangsaan dan antarabangsa, menjadi tuan rumah Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) pertama yang diadakan pada tahun 1969.

Tunku menubuhkan PERKIM pada tahun 1970 untuk membantu orang-orang Cina yang baru menganut agama Islam dan menjadi Presiden yang pertama. Dibawah pentadbirannya, Tunku telah melaksanakan beberapa projek besar di Kuala Lumpur seperti Masjid Negara, Stadium Negara, Tugu Kebangsaan dan Bangunan Parlimen.

Bidang sukan pula, Tunku telah memperkenalkan pertandingan bola sepak Piala Merdeka 1957 dan menjadi Presiden FAM yang pertama. Tunku turut mengasaskan Kementerian Belia dan Sukan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan golongan belia melalui pelbagai aktiviti sukan di negara ini. Sumbangan Tunku ini mendapat pengiktirafan Akademi Sukan Amerika Syarikat pada tahun 1987.

Selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri pada 21 September 1970, Tunku menjadi Setiausaha Agung Sekretariat Islam di Jeddah. Tunku meninggal dunia pada 6 Disember 1990 dan dimakamkan di Makam Di Raja Langgar, Alor Setar.

3 ulasan:

  1. MALAYSIA TANAH TUMPAHNYA DARAHKU .......... SAYA SAYANG MALAYSIA ........... SAYA ANAK MALAYSIA :}



    BalasPadam
  2. Blog Ini Bole Digunakan Untuk Menyiapkan Tugasan Yang Diberi Oleh Guru

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...