Halaman

Jumaat, 28 Februari 2014

Abdul Rahim Kajai


1894 - 1943
Di antara ruang yang ditulis oleh Abdul Rahim Kajai yang mendapat sambutan hangat ialah Rencana Pengarang. Ruangan ini banyak memberi pengajaran dan kata-kata semangat untuk memajukan bangsa Melayu yang ketika itu masih teraba-raba mencari hala tuju kehidupan dan perjuangan. Anak kelahiran Setapak Kuala Lumpur ini dilahirkan pada tahun 1894 dan terkenal dengan panggilan ringkas Kajai sahaja yang merujuk kepada tempat lahir bapanya, Salim di Kampung Kajai Sumatera Barat.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Setepak pada tahun 1900 kemudian dipilih untuk melanjutkan pelajaran untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris tetapi ditolak oleh ibubapanya, sebaliknya menghantar beliau belajar agama ke Mekkah selama 3 tahun dan sebaik tamat darjah 5 sekolah Melayu Setapak pada tahun 1906. Abdul Rahim merupakan seorang anak muda yang bersemangat waja, biarpun tidak ke Sekolah Inggeris, beliau mengambil inisiatif untuk belajar sendiri Bahasa Inggeris melalui buku-buku yang dipinjamnya daripada rakan-rakan.

Sekembalinya dari Mekah, pada tahun 1909 Abdul Rahim mendapat pekerjaan sebagai penjilid buku dan pengatur huruf Melayu di Pejabat Cap Kerajaan di Kuala Lumpur selama 3 setengah tahun. Kemudian beliau ke Singapura (1912-1913) untuk bekerja sebagai pengatur huruf Inggeris di Malaya Publishing House(MPH). Setelah kembali ke Kuala Lumpur, beliau telah menimba pengalaman sebagai pelukis sementara di Jabatan Ukur, Kuala Lumpur dan pada masa yang sama turut menyumbang rencana-rencana berkenaan sosial dan agama serta berita di dalam Utusan Melayu dan Lembaga Melayu. Antara personaliti penting yang membimbing Abdul Rahim dalam bidang kewartawanan termasuk Mohd Yunus Abd Hamid dan Syed Syeikh Ahmad Al-Hadi.

Pada tahun 1920, beliau telah pergi ke Mekah untuk menguruskan hal-hal perniagaan dan bekerja sebagai Sheikh Haji. Dalam masa yang sama, beliau turut menjadi wakil wartawan bagi suratkahbar mingguan Idaran Zaman dan menyumbang berita-berita menarik dari Mekah selama lebih kurang tiga tahun sehingga 1927. Ini membuktikan ketokohan Abdul Rahim sebagai seorang wartawan berwawasan kerana beliau boleh dianggap sebagai wakil akhbar tersebut di Mekah seperti mana yang sering dilakukan oleh akhbar masa kini  yang menghantar wakil mereka ke lokasi-lokasi utama seluruh dunia. Pada tahun 1928, beliau sekeluarga kembali ke Tanah Melayu berikutan kematian ibunya.

Pada Mac 1930, Abdul Rahim bertugas sebagai penolong pengarang akhbar Saudara dan kemudian sebagai pengarang di akhbar Majlis yang memulakan pernebitannya pada 17 Disember 1931 di Kuala Lumpur. Pada 1 Februari 1935,beliau memegang jawatan sebagai wakil akhbar Warta Malaya di Kuala Lumpur dan seterusnya dilantik sebagai pengarang Warta Malaya di Singapura. Perjalanan idea yang bernas dalam setiap penulisannya menjadikan beliau seorang wartawan yang amat disegani.

Abdul Rahim kemudian dilantik sebagai pengarang pertama Utusan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1939. Beliau sanggup membelakangkan kepentingan dirinya dalam berkhidmat dengan Utusan Melayu yang dibiayai sepenuhnya oleh orang Melayu. Berkat kesungguhan dan kerja kuatnya, akhirnya akhbar Utusan telah diterima oleh masyarakat dan menjadi lidah utama masyarakat Melayu. Kritikan dalam penulisannya yang tajam tentang nasib orang Melayu di bawah pemerintahan British membuatkan beliau dan Utusan Melayu menjadi terkenal.

Pada bulan Mac 1941, Haji Othman Abdullah, Abdul Rahim Kajai dan Haji Dahlan Mas'ud telah bersetuju menerbitkan akhbar yang dinamakan 'Perubahan Baharu' atas nasihat Jepun. Beliau juga diminta oleh pihak Jepun untuk bertugas sebagai pengarang akhbar berita Malai pada 1 Januari 1943, tahun yang sama dunia kewartawanan Melayu kehilangan beliau.

Tulisannya dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah banyak memberi aspirasi dna motivasi kepada sesiapa jua yang membaca dan menghayatinya. Ratusan rencana, artikel, cerpen dan buku yang dihasilkan membuktikan kesungguhan beliau merencana perubahan untuk anak bangsanya.

Khamis, 27 Februari 2014

Tun Dr.Hj Abdul Aziz Abdul Majid

Tun Dr.Hj Abdul Aziz Abdul Majid

1908 - 1975

Tun Hj.Abdul Aziz memulakan kerjayanya pada tahun 1926 sebagai seorang guru sementara sejurus selepas lulus Cambridge School Certificate. Pada masa yang sama, beliau menduduki peperiksaan Perkhidmatan Pentadbiran Melayu(Malay Administrative Service) dan mendapat tempat pertama dalam peperiksaan tersebut. Setelah memperoleh keputusan cemerlang, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Kutipan Hasil Tanah pada 1926 sebelum dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah dan seterusnya sebagai Pegawai Daerah di negeri Selangor. Setelah berkhidmat selama 15 tahun di dalam perkhidmatan Pentadbiran Melayu, Tun telah dinaikkan pangkat di Malayan Civil Service pada 3 Ogos 1941.

Sewaktu British memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu pada tahun 1946, Tun Hj Abdul Aziz telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha kepada Pejabat Suruhanjaya Residen Selangor. Kualiti kepimpinan dalam pentadbiran beliau bertambah menyakinkan semua pihak apabila beliau telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Negeri pertama bagi Selangor pada 1 Februari 1948. Selang sebulan selepas itu, Tun Abdul Aziz terpilih pula mengikuti Kursus Pentadbiran di Oxford University London.

Sekembalinya ke Tanah Air dari London pada tahun 1949, beliau ditugaskan pula untuk memegang beberapa jawatan penting di peringkat negeri dan peringkat persekutuan. Di peringkat negeri, Tun telah dilantik ke jawatan Pegawai Daerah di Teluk Anson. Pada 22 Januari 1952, Tun dilantik sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Kuala Lumpur dan Penolong Setiausaha di Bahagian Keselamatan Dalam Negeri.

Pada 15 April 1952, Tun Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan diikuti sebagai Menteri Besar Selangor pada 1 September 1954. Dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, beliau merupakan antara pemimpin yang terpenting negara yang telah bersama-sama Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan para pemimpin lain mengikuti rombongan kemerdekaan negara ke London pada tahun 1956 dan 1957 bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan perlembagaan. Pada tahun 1958 pula, Tun dan beberapa anggota rundingan telah pergi ke London sekali lagi untuk berbincang mengenai Perjanjian Pertahanan Malaysia.

Tun Hj Abdul Aziz merupakan salah seorang anggota Pasukan Perunding Persekutuan dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan. Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Awam iaitu Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri merangkap Setiausaha Jemaah Menteri Malaysia.

Pada tahun 1963, Tun sekali lagi terpilih sebagai salah seorang anggota rombongan Tanah Melayu yang berunding dengan Pejabat Commonwealth di London tentang kemasukan Borneo Utara(Sabah), Sarawak dan Singapura ke dalam Malaysia.Tun seterusnya menjadi ketua rombongan perundingan Persekutuan Tanah Melayu dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk membincangkan syarat dan peraturan-peraturan kemasukan negeri Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan baru Malaysia.

Pada tahun 1964, beliau bersara dari semua jawatan yang disandangnya. Walau bagaimanapun, pada tahun yang sama,beliau sekali lagi ditugaskan untuk menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga tahun 1971. Selain itu, Tun Hj Abdul Aziz juga sering dipertanggungjawabkan untuk memikul beberapa misi khas di peringkat nasional dan antarabangsa.

Berdasarkan rekod cemerlang yang telah dicatat dalam bidang pentadbiran, beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada tahun 1971 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Kelima, Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dan beliau memegang jawatan ini selama 5 tahun.

Semasa hayatnya, beliau telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran seperti:

  1.  Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) 
  2. Commander of British Empire pada 1958,
  3. Panglima Mangku Negara(P.M.N) pada 31 Ogos 1958
  4. Darjah Paduka Mahkota Kelantan(D.P.M.K) 1961
  5. Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Malaya tahun 1964
  6. Darjah Seri Maharaja Mangku Negara(S.M.N) yang membawa gelaran Tun pada 7 Jun 1972.
Beliau meninggal dunia pada 10 Mei 1975 di kediaman rasminya di Sri Melaka ketika berusia 67 tahun sewaktu masih menjadi Gabenor Negeri Melaka.

Rabu, 26 Februari 2014

Tan Sri Prof. Emeritus Dr Ismail Hussein


1932
Tokoh pejuang Sastera dan Budaya Melayu ini memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Limau Dalam dan kemudian di Sekolah St. Michael sehingga ke Maktab Sultan Abdul Hamid. Pada tahun 1955, beliau telah mendapat tawaran belajar di Jabatan Pengajian Melayu,Universiti Malaya. Beliau menamatkan pelajaran pada 1959 dan mendapat kepujian kelas pertama. Kejayaan membanggakan itu menyebabkan beliau mendapat tawaran untuk meneruskan pelajaran ke peingkat Sarjana selama dua tahun sebelum ke peringkat Doktor Falsafah di Universiti Leiden, Belanda dari tahun 1961 hingga 1964 ketika menjadi pensyarah Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai pensyarah di Universiti Malaya, beliau memainkan peranan penting sebagai seorang pendidik untuk anak-anak bangsanya dan pada masa yang sama menjadi pejuang yang bercita-cita memartabatkan sastera dan kebudayaan Melayu.

Beliau begitu berminat melakukan kajian mengenai sastera lama seperti Hikayat Negeri Johor. "The Study of Tradisional Malay literature: a selected bibliography of traditional Malay literature" adalah hasil penelitiannya terhadap sastera Melayu. Sewaktu di Singapura beliau telah menghasilkan dua buah esei yang cukup penting tentang penulis-penulis dan kegiatan mereka di Singapura iaitu 'Pengarang Melayu di Singapura Selepas Perang Dunia Kedua' dan 'Singapura Sebagai Pusat Kesusteraan Melayu Selepas Perang'.

Beliau banyak menyumbang pemikiran tentang dunia Melayu dan kebudayaannya dalam pelbagai wacana ilmiah, penulisan dan seminar. Pada tahun 1971, Universiti Malaya telah mengiktiraf beliau sebagai Profesor Kesusteraan Melayu. Sejak itu, pelbagai jawatan dipikul oleh beliau, antaranya seperti, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Ketua Jabatan Pengajian Melayu(1976-1980). Setelah itu, beliau beralih arah pula ke Universiti Kebangsaan Malaysia dan berkhidmat sebagai Pengarah Institut Bahasa dan Kebudayaan Melayu selama empat tahun dari 1987sehingga 1993.

Ismail juga diberi kepercayaan apabila dilantik sebagai Ketua Satu GAPENA sejak tahun 1970-an. Selain itu, beliau juga pernah memikul tanggungjawab dan bertindak sebagai Timbalan Pengerusi, Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan menjadi salah seorang ahli panel Anugerah Sastera Negara, Majlis Penasihat Kebangsaan Berkaitan dengan kebudayaan, Majlis Buku Malaysia, Jawatankuasa Peyelarasan Bahasa Kebangsaan dan Jawatankuasa Penasihat Pusat Manuskrip Melayu.

Perjuangan Ismail tidak terhad kepada gerakan di dalam negara semata-mata, bahkan turut meliputi aktiviti di peringkat serantau seperti penganjuran simposium yang membabitkan penyertaan negara Asia Pasifik seperti Sri Lanka, Vietnam, Yunna-China, Afika Selatan, Mindanao-Filipina, Madagaskar, Thailand dan Arab Saudi. Malahan beliau turut menganjurkan Simposium Jaringan Melayu Antarabangsa, Simposium Melayu Sedunia di Shah Alam pada tahun 1996, Persidangan Dunia Melayu di PWTC-Kuala Lumpur dan pertemuan Sasterawan Nusantara yang dianggotai oleh Brunie, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Terdapat beberapa penulisan beliau yang popular dan menarik ramai pembaca serta rujukan kepada penulis, seperti kepimpinan dalam Kubudayaan(1984), Cita-cita dan Perjuangan(1987) Antara Dunia Melayu dan Dunia Kebangsaan(1990), serta Dunia Melayu dan Dunia Indonesia(1995).

Pelbagai anugerah yang beliau terima sepanjang penglibatan dalam dunia sastera dan kebudayaan, antaranya:
  1. Darjah Setia Diraja Kedah oleh KDYMM Sultan Kedah (1980)
  2. Ijazah Kehormat Doktor Honoris Causa oleh Universitas Indonesia(1984)
  3. Gelaran Pendita dalam Simposium Dunia Melayu(1985) di Sri Lanka
  4. Darjah Panglima Setia Mahkota oleh DYMM Yang di Pertuan Agong(1993)
  5. Doctor Honoris Causa(1997) oleh Universiti Madagaskar
  6. Prof Emeritus pada tahun 1997 oleh Universiti Malaya
  7. Bintang Datok Dharma Wangsa dari Istana Maimoon Medan dan bergelar Linggom Banua Melayu Dari Masyarakat Harahap Padangsidempuan.
  8. Seri Wira Cendekia Mulia Kedah Darul Aman daripada DYMM Sultan Kedah pada 2002
Semua anugerah ini yang diterima olehnya adalah untuk menghargai jasa beliau yang besar kepada negara terutama dalam pembangunan kesusteraan dan kebudayaan Melayu. 

Selasa, 25 Februari 2014

Pak Sako


1909 - 1991
Beliau adalah tokoh Melayu yang seangkatan dengan Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Mokhtaruddin Lasso dan Samsiah Fakeh yang memperjuangkan gagasan penyatuan Sumatera, Brunie, Sabah Sarawak dan Tanah Melayu dalam gabungan Melayu Raya. Dalam dunia kesusteraan, beliau adalah satu nama besar yang cukup terkemuka dan menggunakan pelbagai nama samaran yang amat disenangi oleh pencinta karya-karyanya seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pak Pandir Moden. Gelaran Isakosan yang diberi Jepun akhirnya meletak pada namanya yang dipanggil Pak Sako.

Pak Sako dilahirkan pada 14 November 1909 di Kampung Balik Gantang, Temerloh Pahang telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu kampung tengah, Temerloh. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Clifford Kuala Lipis dari tahun 1924 hingga 1928. Pada tahun 1930, beliau mendapat tawaran belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan kemudian mendapat tawaran kerja sebagai pegawai kadet dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu(Malayan Civil Servant) apabila menamatkan pengajian pada tahun 1935. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas III dan guru bahasa sebelum meletakkan jawatan dan menyertai dunia penulisan secara sepenuh masa.

Oleh kerana pernah bekerja dengan British, banyak penyelewengan penjajah diketahui oleh Pak Sako. Hal inilah yang mendorong beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan dan menjelajah ke seluruh semenanjung untuk menyebarkan semangat anti-penjajah serta giat menghasilkan penulisan dalam media cetak. Akibatnya, beliau ditangkap dan dipenjarakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1948 sehingga 1953 dan 1965 hingga 1966. Namun beliau tidak pernah mengenal erti takut dan putus asa. Perjuangan beliau masih diteruskan meskipun mendapat tentangan hebat British.

Beliau turut menggunakan Novel dan cerpen dalam menyebarkan semangat orang Melayu tentang kedudukan mereka yang mundur dalam politik, ekonomi dan sosial. Sikapnya yang anti-penjajah jelas digambarkan dalam novelnya yang bertajuk Putera Gunung Tahan. Beliau menganggap kebudayaan Barat dipenuhi dengan sikap-sikap tamak, mementingkan kebendaan dan tidak jujur. Beliau juga berasa jijik dengan golongan feudal Melayu yang bersubahat dengan penjajah.

Pak Sako juga merupakan pengasas dalam penerbitan Utusan Melayu selepas meninggalkan jawatannya di Warta Malaya. Akhbar yang diterbitkan ini bertujuan untuk menyebarkan fahaman kebangsaan terutama kepada orang Melayu. Beliau bertugas di Utusan Melayu di bawah ketua pengarangnya, Abdul Rahim Kajai. Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, Pak Sako dilantik sebagai seorang pengarang di akhbar tajaan Jepun, Berita Malai.

Perpustakaan Negara Malaysia menyimpan lebih daripada 1000 naskah koleksi kesusteraan hasil penulisan Pak Sako, Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila merupakan novel yang mengecam dasar kolonial British dan mengkritik sikap orang Melayu yang menyokong penjajah. Pak Sako menumpukan kebudayaan Melayu dalam penulisannya.

Nama Pak Sako berdiri seiring dengan Keris Mas, Shahnon Ahmad, A.Samad Said, Kemala, Cikgu Harun Aminurrasyid dan Usman Awang. Sebagai menghargai segala jasa dan sumbangnya, Universiti Malaya telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 29 Jun 1973. Pada 29 Mei 1976, Pak Sako telah menerima anugerah "Pejuang Sastera" daripada Perdana Menteri. Beliau meninggal dunia pada 7 November 1991 di Hulu Langat, Selangor. Setelah pemergiannya, beliau turut dianugerahkan sebagai tokoh Kewartawanan Negara pada tahun 1995. Selain itu, Utusan Melayu turut mengabadikan jasa beliau dengan mewujudkan Anugerah Pak Sako kepada penulis novel terbaik setiap tahun.





Isnin, 24 Februari 2014

Tan Sri Abdul Samad Ismail


1924 - 2008
Pak Samad mula menempah alam pekerjaan dengan Utusan Melayu ketika berusia 16 tahun setelah tamat Senior Cambridge di Singapura. Beliau telah dilantik sebagai pengarang Berita Malai(1944) pada zaman Jepun pada usia 20 tahun. Pada tahun 1946,beliau dilantik sebgai penolong pengarah, Utusan Melayu dan pernah bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di Jakarta. Pada 1959, Pak Samad dilantik sebagai pengarang pertama Berita Harian, sebelum menjadi pengarang urusan bagi Kumpulan akhbar The New Straits Times(NSTP) pada tahun 1974, dan seterusnya sebagai penasihat jabatan pengarang bagi kumpulan akhbar berkenaan dari tahun 1984 sehingga beliau bersara pada tahun 1988.

Seperti wartawan lain di era sebelum merdeka dahulu, Pak Samad turut bergelumang dengan kancah politik dengan menyertai Gerakan Angkatan Muda(GERAM) bersama-sama Abdul Aziz Ishak pada tahun 1947. Pertubuhan ini kemudiannya bergabung dengan PUTERA pada zaman Jepun yang dipimpim oleh Dr.Burhanuddin Al-Helmy dan All-Malayan Council of Joint Action(AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock. Pak Samad juga terlibat dalam dalam pakatan Anti-British League bersama-sama PB Sharma , J.J Putucherry, Devan Nair dan John Eber.

Sebagai seorang wartawan, beliau turut berjuang bersama Nasionalis dan pejuang kemerdekaan lain melalui tulisannya yang tersebar luas di Tanah Melayu. Pak Samad menjadi terkenal dan sering diminta memberi ceramah di kalangan penulis dan wartawan kerana beliau menjadi teladan terbaik untuk menggariskan ciri-ciri profesionalisme dalam kewartawanan yang berkorban dan berdedikasi bagi manfaat orang lain melalui surat khabar pada setiap hari.


Pak Samad turut menyertai rombongan 'Tanah Melayu Merdeka' yang pertama ke London (1953). Pembabitan Pak Samad dalam dunia politik secara aktif bermula pada pertengahan dekad 1950-an apabila beliau turut terbabit dalam penubuhan Parti Tindakan Rakyat(PAP) do Singapura pada 1954. Beliau kemudian menyertai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Singapura pada 1958.

Pak Samad menceburi bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun lagi. Cerpen ciptaan terawalnya dikumpulkan dalam antologi Mekar dan Segar(1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan(1963). Cerpen yang ditulis pada dekad 1960-an dan belum pernah tersiar sebelum itu, akhirnya dikumpulkan dalam 2 kumpulan peribadi yang berjudul Temasya Tinta(1967). Pak Samad merupakan penulis yang kaya dengan idea dan cukup prolifik ketika meniti zaman kemuncak kerjayanya dalam bidang penulisan. Dalam tempoh antara tahun 1966 hingga 1975, Pak Samad telah menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkan:

  1. Patah Sayap Terbang Jua(1966)
  2. Tembok Tidak Tinggi(1967)
  3. Kail Panjang Sejengkal(1967)
  4. Detik-Detik Cemas(1969)
  5. Hussen Zet(1960)
  6. Sutinah(1975)
Beliau turut menjadi penyokong kuat penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan antara tonggak yang membantu dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) pada 1968. Bersama-sama Usman Awang dan Keris Mas, beliau menjadi pengasas Angkatan Sasterawan 50(Asas 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional(Pena) di Kuala Lumpur. Pada tahun 1971, Pak Samad dilantik sebagai ahli panel Hadiah Karya Sastera anjuran kerajaan dan beliau terpilih untuk menerima Anugerah Ramon Magsaysay pada tahun 1974.
Atas jasa dan sumbangan belia yang tidak ternilai terhadap bidang kewartawanan dan penulisan, pelbagai pengiktirafan dan anugerah telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada Pak Samad. pada 1976, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Hadiah Pejuang Sastera, sementara pada 1987, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh UKM, sementara Institut Akhbar Malaysia(IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara. Pak Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama 2 tahun di UKM(1991-1993) dan dianugerahi darjah kebesaran oleh yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri. Pak Samad kembali ke rahmatullah pada tanggal 4 September 2008, di Pusat Perubatan Pantai ketika berusia 84 tahun. Legasi yang beliau tinggalkan kepada bidang penulisan dan kewartawanan Melayu akan terus dipertahankan oleh generasi muda negara.   

Jumaat, 21 Februari 2014

Tok Kenali

Tok Kenali

1868 - 1933
Tok Kenali seorang guru agama Islam yang agung. Beliau bukan sahaja terkenal di Malaysia malah di Asia Tenggara. Beliau adalah pencetus ilmu pengajian Islam di Malaysia dan Asia Tenggara pada awal abad ke-20. Hidupnya banyak berpandukan kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Beliau disebut juga sebagai seorang yang memilih cara hidup sederhana. Perkara yang menarik perhatian kita ialah perjuangan dan penghidupan Tok Kenali adalah agak nyata. Beliau banyak menerima pengaruh dari ajaran-ajaran Failasuf Islam Al-Imam Ghazali iaitu seorang yang membina dan mencetuskan fikiran umat Islam yang banyak membuat pembaharuan dalam mengupas soal-soal agama berdasarkan ajaran-ajaran kitab suci Al-Quran dan Hadis.

Sejak kecil, beliau sudah menunjukkan tanda-tanda kecerdasan minda yang luar biasa dan cenderung kepada ilmu pengetahuan. Beliau menaruh minat yang mendalam terhadap pembacaan dan memandang tinggi bidang penulisan dan peranan majalah selaku media massa yang berpengaruh menyatukan umat Melayu ketika itu. Pada usia 10 tahun, beliau telah berguru dengan ulama' terkenal di zamannya seperti Tok Guru Asy-Syeikh Muhamad Ali Bin Abdul Rahman, Tuan Guru Haji Taib atau dikenali sebagai Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim. Kesungguhan beliau dalam membina ilmu mendorongnya merantau jauh sehingga ke Makkah ketika berusia 18 tahun.

Sebaik sahaja kembali ke Tanah Air, beliau telah menubuhkan pusat pengajian Pondok Kenali pada tahun 1911 untuk memberi peluang kepada anak bangsanya menimba ilmu pengetahuan di negeri sendiri. Pondok tersebut terus berkembang maju dan masih bertahan hingga ke hari ini. Kebijaksanaan yang dimilikinya menarik perhatian Sultan Kelantan lalu melantik beliau sebagai Guru Agama di Masjid Besar al-Muhammadi dan anggota Majlis Ulama' Kelantan. Selain itu, beliau turut terlibat sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Penolong Mufti dan Ketua Pelajaran Agama Islam Kelantan.

Keprihatinan beliau terhadap ilmu dan pendidikan mendorong Tok Kenali mengasaskan Majalah pengasuh di bawah terbitan Majlis Agama Islam Kelantan sebagai mewakili generasi Kaum tua daripada fahaman kaum muda, dimana Tok Kenali menjadi Ketua Pengarang dan penulis kolumnis majalah tersebut. Seperti juga Pondok Kenali, majalah ini masih diterbitkan sehingga kini. Daya usaha yang dilaksanakan oleh Tok Kenali itu telah meninggalkan satu khazanah ilmu yang tidak ternilai harganya.

Disamping menerbitkan majalah, Tok Kenali juga mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang penulisan. Terdapat dua buah buku yang merakamkan ilmu yang dimilik oleh Tok Kenali iaitu Pusaka Tok Kenali dan Cerpen Warisan Tok Kenali selain daripada berpuluh-puluh rencana serta kajian yang ditulis oleh penulis-penulis mengenai Tok Kenali. Tokoh ini juga menjadi seorang penulis yang cukup prolifik dan berjaya menghasilkan 9 buah kitab yang terkenal iaitu:

1. Khasiat Binatang
2. Kitab Mujarobat
3. Kitab Tasyif
4. Sangkalan Terhadap Kaifiyah
5. Hafalan dan Doa Yassin
6. Ilmu Risik Tok Kenali
7. Ilmu Ma'jun Tok Kenali
8. Ilmu Penyecah Tok Kenali
9. Ilmu Julab Tok Kenali.

Dalam usaha membangunkan anak bangsa, beliau menggunakan pendekatan yang berterus terang dalam memberi pandangan tanpa mengaibkan sesiapa. Ini dilakukan bagi membangkitkan semangat orang Melayu dan memelihara kesucian agama Islam.

Sebagai seorang Tuan Guru yang  bijaksana, Tok Kenali menyelitkan cerita dalam pengajarannya. Salah seorang anak murid beliau, Abdullah Al-Qari telah mengumpulkan sebanyak 21 buah cerita yang dipetik daripada Majlis Ilmu Tok Kenali. Cerita-cerita tersebut penuh dengan nasihat dan teladan kepada sesiapa yang mendengarnya. Kisah Tok Kenali dikenali sejak dahulu sehingga kini, bukan sahaja dikalangan orang dewasa malah pelajar-pelajar turut menjadikannya ikon agama yang tidak luntur dek zaman. Itu kehebatan Tok Kenali seorang Tokoh agama ulung yang dilahirkan di bumi Kelantan. 

Khamis, 20 Februari 2014

Sheikh Abdullah Fahim

Sheikh Abdullah Fahim

1869 - 1961
Keunggulan ilmuan dalam bidang falak(astronomi) terbukti menyerlah apabila Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj  meminta nasihat beliau sebelum pergi ke London untuk menuntut kemerdekaan. Beliau Sheikh Abdullah telah mencadangkan kepada Tunku agar memilih tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan berdasarkan ketika itu, beliau ialah mufti Kerajaan Pulau Pinang.

Dengan keistimewaan beliau sebagai seorang anak ulama Mekah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk mempelajari pelbagai ilmu agama di sana sehinggakan gurunya dikatakan mencecah seramai 50 orang. Kecintaan beliau terhadap ilmu agama menjadikan beliau seorang cendekiawan yang disegani dalam pelbagai bidang agama seperti usuluddin, fiqh,tasawuf dan terekat, tafsir Al-Quran,hadis, falak serta ilmu yang berkaitan dengan bahasa dan sastera Arab seperti nahu,arudh dan qafiah. Guru-gurunya yang berbangsa arab termasuklah Syeikh Said Babsail(Mufti Mazhab Syafie), Syeikh Muhammad bin --Sulaiman hasbullah al-Makki, Syed Abu Bakri Syatha(Penyusun kitab I'anah at-Thalibin).

Ulama' dari dunia Melayu yang paling mempengaruhinya ialah Syeikh Muhammad Bin Ismail Daud al-Fathani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan, al-kalantani dan Syeikh Wan Ahmad Bin Muhammad Zain al-fathani (mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya dalam hampir 50 displin ilmu).

Semasa di Mekah Abdullah Fahim telah berguru dengan 15 orang Ulama untuk membolehkan beliau menguasai pelbagai displin ilmu. Beliau juga pernah menjadi guru agama di Masjidil Haram dan telah menarik ramai anak murid dari seluruh dunia untuk berguru dengannya. Beliau juga pernah menjalin hubungan persahabatan dengan beberapa tokoh yang terkenal di dunia Melayu seperti Tuan Guru Haji Umar dari Sungai Keladi Kelantan, Syeikh Tahir Jalaluddin dari Minangkabau, K.H Hasyim Asy'ari dari Jawa Timur, Tok Kenali dari Kelantan dan ramai lagi.

Sekembalinya ke Tanah Melayu pada 1915, Abdullah Fahim mengajar ilmu Tauhid(teologi) Islam dirumahnya di Kepala Batas dan Pondok Tuan Haji Wan Sulaiman Wan Sidik, Alor Setar. Ketinggian Ilmu beliau bukan sahaja mendapat tempat dihati masyarakat umum, malah mendapat perhatian pihak Istana apabila Syeikh Abdullah diundang menjadi guru agama di Istana Besar Kedah selama empat tahun dan kemudian di jemput oleh Sultan Perak menjadi pengetua Madrasah Idrisiah Bukit Chandan Kuala kangsar pada 1931.

Peranan Syeikh Abdullah Fahim tidak terhad dalam bidang keilmuan Islam semata-mata, bahkan turut sama dalam bidang politik apabila beliau turut memainkan peranan dalam meniup semangat kebangsaan Tanah Melayu dengan menubuhkan Persatuan Melayu Seberang Prai sebagai wadah menentang Malayan Union. Beliau turut mengabungkan persatuan yang diterajuinya du bawah satu lambang perjuangan politik nasional iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(UMNO) pada 11 Mei 1946.  Beliau juga merupakan ulama' yang terawal mengalakkan para pelajar sekolah pondok memakai seluar dan songkok serta memperkenalkan sistem pengajian di dalam kelas yang dikenali sebagai nizami(bersistem) dan adami(umum).

Cucu Sheikh Abdullah Fahim

Berikutan sumbangan dan jasa beliau yang amat besar, sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama pada awal tahun 1950-an. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim meninggal dunia pada 27 April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri Malayisa Kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Rabu, 19 Februari 2014

Dato' Dr. Usman Awang

Dato' Dr. Usman Awang

Sasterawan Negara yang disegani ini dilahirkan di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili Kota Tinggi  Johor pada 12 Julai 1929 dan meninggal dunia pada usia 72 tahun di Kuala Lumpur setelah lama menderita akibat penyakit jantung. Menjalani hidup sebagai anak nelayan menjadikan beliau sebagai insan berjiwa kental namun penuh kelembutan, selembut ucapan puisi yang dikagumi sehingga kini. Kesusahan hidup banyak mengajar beliau tentang kehidupan dan menghadirkan ilham yang berterusan serta menguatkan azam beliau untuk mengubah taraf hidup yang dibelenggu kemiskinan.

Usman Awang menerima pendidikan setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Bersekolah di Kuala Sedili(1936), Mersing(1937) dan Bandar Maharani(1940) hingga lulus darjah enam. Sewaktu pemerintahan Jepun di Tanah Melayu beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura tetapi berjaya melepaskan diri lalu pulang ke Segamat dan bekerja sebagai pembantu pejabat di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian beliau memasuki Pasukan Polis Jepun yang dikenali sebagai Botai, namun selepas beberapa minggu mengikuti latihan, Jepun diistiharkan kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Beliau kemudiannya diserapkan dalam perkhidmatan polis British dan meneruskan latihannya di Johor Bahru sebelum memulakan tugas di Melaka. Selepas itu, Usman Awang mula menceburi bidang penulisan bermula sebagai pembaca pruf di Penerbitan Melayu Raya, dan kemudian berpindah bersama Pejabat Utusan Melayu ke Jalan Chow Sow Lin Kuala Lumpur, diikuti pula di Penerbitan Federal dan akhir sekali di Dewan Bahasa dan Pustaka dalam pelbagai jawatan beliau bersara pada bulan Julai 1985.

Karya Usaman Awang menyerlahkan ilhamnya yang bernas dan penuh makna tersirat hingga menarik minat ramai khalayak pembaca untuk mengikuti karyanya. Beliau adalah antara penyair Melayu yang mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam sajak-sajaknya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan konvensional puisi lama. Ketika itu nama penanya Tongkat Warrant dan Adi Jaya menjadi sebutan ramai peminat dan pencinta puisi. Antara puisinya yang mendapat perhatian meluas ialah Gadis di Kuburan, Salam Benua dan Guru oh Guru. Sajak-sajaknya menepati rima-rima dan ciri-ciri pantun, mudah difahami, bersahaja dan indah untuk dihayati. Antara novel terkenalnya ialah Tulang-Tulang Berserakan(pernah dijadikan teks Sastera STP),drama Uda dan Dara, tamu di Bukit Kenny dan Serunai Malam.


Sajak Guru oh Guru dan kita akan dapati bagaimana indah sajak beliau:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja naik takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa.

(Petikan sajak Guru oh Guru)

Di samping bijak dalam pemilihan patah kata-kata serta ketelusan karyanya, Usman Awang juga menonjol kerana simpatinya terhadap golongan bawahan yang kurang diberi perhatian. Beliau pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, China, Filipina dan Rusia sebagai seorang penyair terkenal dari Malaysia. Beberapa buah karyanya telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris, China, Jepun, Korea, Perancis, Thailand. Czechkoslovakia, Tamil, Italy dan Rusia. Usman Awang telah dipilih menerima SEA Write Award pada tahun 1982. Pada 11 Ogos 1983 Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya.

Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983 dan sebagai menghargai sumbangannya dalam dunia kesusasteraan, beliau telah diberi penghormatan apabila dilantik menjadi salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan telah dilantik sebagai Panel Anugerah Sastera iaitu sebuah badan kehormat yang tertinggi dalam bidang sastera tanah air.

Tongkat,
Setelah berkali-kali ku baca sajakmu
Engkau bukan lagi sebagai sahabatku
Engkau adalah guru
Yang mengajar bahasa kepada anak-anak kami
Bahasa penyair Melayu yang jernih, lembut dan halus
Tetapi lebih dari itu, berisi sopan santun akal budi
Suara kemanusiaan yang terlintas, miskin dan hina
Tanpa prasangka warna, bangsa dan agama
Inilah mahkota tertinggi dalam segala seni.

(Petikan sajak Salam kepada Usman Oleh Baha Zain)
















Selasa, 18 Februari 2014

Tun Omar Ong Yoke Lin

Tun Omar Ong Yoke Lin

1917 - 2010
Tokoh yang berasal dari Kuala Lumpur ini dilahirkan pada tanggal 23 Julai 1917. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Pudu Girl English School dan selepas itu meneruskan persekolahan di Victoria Institution. Beliau merupakan seorang pelajar yang aktif dan berani sewaktu di bangku sekolah. Tugasnya sebagai pengawas sekolah banyak mendisplinkan dirinya sehinggakan beliau berjaya menjadi pejuang bangsa yang disegani.

Beliau mengambil peperiksaan Matrikulasi London di Singapura pada tahun 1935 dan lulus kelima-lima subjek yang didudukinya. Pada tahun 1936 beliau menyertai syarikat penjualan penghawa dingin sebagai menjalani latihan sebagai akauntan berkanun di Firma Gibson, Anderson & Butler. Beliau bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam jurusan Undang-Undang tetapi malangnya tidak kesampaian akibat Perang Dunia Kedua. Selepas perang tamat, Tun Omar menubuhkan sebuah syarikat jualan dan servis penghawa dingin yang dikenali sebagai  Ong Yoke Lin & Company pada tahun 1948 yang masih bertahan sehingga kini.

Melihat perkembangan politik yang berlaku pada era 1940-an dengan orang Melayu semakin kukuh di bawah naungan UMNO yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar, Tun Omar merasakan bahawa sudah sampai masanya kaum Cina mempunyai sebuah parti politik yang boleh dijadikan landasan untuk memperjuangkan masa depan mereka dengan lebih berkesan. Beliau bersama-sama Leong Yew Koh, H.S Lee, Tun Omar telah menubuhkan MCA pada 27 Februari 1949.

Tun Omar juga merupakan tokoh yang bertanggungjawab mempengaruhi keputusan untuk membentuk Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Kuala Lumpur pada tahun 1952. Kerjasama tersebut menjadi kenyataan selepas Tun Omar mengatur perbincangan antara Dato' Yahya Abdul Razak (rakan sekelas semasa di Victoria Institution) iaitu Ketua UMNO Bahagian Kuala Lumpur dan H.S Lee , Ketua MCA Negeri Selangor.

Selepas kemenangan besar Parti Perikatan dalam pilihan raya tersebut, Tun Omar telah dilantik sebagai \Naib Persedin MCA dan menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor dalam Pilihan Raya Umum pertama tahun 1955. Berikutan itu, Tunku Abdul Rahman telah melantik beliau sebagai Menteri Pos & Telekom. Tun Omar tidak turut serta dalam Delegasi rundingan kemerdekaan negara ke London yang pertama tetapi turut serta dalam rombongan kedua pada April 1957 untuk memuktamadkan Perlembagaan Tanah Melayu yang baru sahaja selesai dirangka.


Selepas kemerdekaan negara, Tun Omar dilantik sebagai Menteri Buruh & Kebajikan Sosial sehingga tahun 1959, dan beliau dilantik pula sebagai Menteri Kesihatan. Semasa Penubuhan Malaysia pada 1963, Tun Omar menjadi Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika negara memerlukan kecekapan diplomasi untuk menyelesaikan pelbagai isu serantau yang mengancam keselamatan termasuk Konfrontasi dengan Indonesia. Selepas penubuhan Malaysia, Tun Omar berkhidmat pula sebagai Menteri Tidak Berportfolio sehingga tahun 1973. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketuan Dewan Negara-tugas yang beliau pikul sehingga bersara pada tahun 1980.

Tun Omar Ong Yoke Lin akan terus diingati sebagai pejuang yang sangat lemah lembut dalam tutur kata beliau dna seorang yang bijaksana. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 1 Julai 2010 pada usia 92 tahun.

Isnin, 17 Februari 2014

Tun Mohammed Hanif Omar

Tun Mohammed Hanif Omar

1939
Kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak kepada beliau dianggap sebagai satu cabaran yang sangat berat untuk dipikul tetapi beliau tetap teguh dengan kepercayaan bahawa setiap kejadian ada rahmat tersembunyi disebaliknya.

Sebelum dilantik ke jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia(PDRM) itu, beliau telah menampilkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan dengan memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyiasat Kawasan Melaka Tengah pada tahun 1960. Selepas itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Antara jawatan yang pernah disandang sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara termasuk Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak pada 1967, Ketua Turus Polis Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 1969 yang bertanggungjawab untuk membendung pertelingkahan perkauman yang berlaku pada 13 Mei 1969, Ketua Polis Selangor(1971) dan Timbalan Ketua Polis Negara pada 1973. Semasa menjadi Ketua Polis MAGERAN, Tun haniff Omar melapor terus kepada Ketua MAGERAN, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak. Yakin melihat kebolehan Tun Haniff itulah yang mendorong Tun Abdul Razak melantik beliau sebagai Ketua Polis Negara lima tahun selepas itu.

Tun Mohammed hanif Omar telah dilahirkan di Teluk Intan, Perak pada 16 Januari 1939, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya(Singapura) dan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Birmingham, United Kingdom. Beliau juga merupakan seorang pemegang Sijil Guaman Majlis Peguam Malaysia.

Tun Mohammed Hanif telah mengambil pelbagai langkah drastik untuk memperkukuhkan PDRM bagi memastikan keselamatan awam tidak digugat oleh mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh. Beliau telah melengkapi pasukan polis dengan peralatan serba canggih, menubuhkan pasukan komando polis Unit Tindakan Khas yang berkemahiran tinggi dalam pertempuran moden(modern warfare) khususnya di dalam bandar, menambah kekuatan pasukan dan menyusun semula organisasi kepolisian di dalam negara.

Semasa kepimpinan beliau, negara telah berjaya menghapuskan sama sekali ancaman pengganas komunis yang diistiharkan tamat pada tahun 1984. Selain itu, untuk menyediakan modal insan yang berkualiti dan berpengetahuan dalam PDRM, Tun Mohammed Hanif Omar merupakan tokoh yang bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan Maktab Polis Diraja Malaysia pada tahun 1990.

Setelah menamatkan perkhidmatan dengan pasukan keselamatan, beliau masih aktif menyumbang kepakaran beliau dalam bidang pengurusan dan korporat dengan menganggotai lembaga pengarah beberapa buah syarikat awam yang baik dan pernah menjadi kolumnis untuk menyumbangkan buah fikiran melalui sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

Jumaat, 14 Februari 2014

Tun Fatimah Hashim

Tun Fatimah Hashim

1924 - 2010
Tun Fatimah Binti Hashim merupakan Menteri Kabinet Wanita Pertama dalam Jemaah Menteri Tunku Abdul Rahman yang memegang portfolio Menteri Kebajikan dari tahun 1969 - 1973. Beliau memegang kepimpinan Kaum Ibu UMNO(kini dikenali sebagai Wanita UMNO) selama 16 tahun(1956 - 1972). Beliau dicatatkan menyertai UMNO pada tahun 1947 ketika berusia awal 20-an sebagai ahli UMNO yang ke-315. Beliau dilantik sebagai Ketua Kaum Ibu yang keempat menggantikan Khatijah Sidek.

Suami beliau Tan Sri Abdul Kadir Yusuf bekas Ketua Peguam Negara yang kemudiannya juga dilantik sebagai Menteri Undang-Undang, menjadikan mereka sebagai satu-satunya pasangan Menteri Kabinet dalam sejarah politik negara. Beliau mendapat galakan dan sokongan penuh daripada suaminya dalam kerjaya yang dicuburinya.

Dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Parit Keroma, Muar, Johor, Tun Fatimah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma dan kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Perempuan, Mersing dan menyandang jawatan sebagai guru pada usia 16 tahun. Beliau mula mengorak langkah dalam dunia politik dengan manjadi ahli jawatankuasa Pergerakan Kaum Ibu UMNO Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru pada tahun 1948 dan pada masa yang sama menjadi Penolong Setiausaha Pergerakan Kaum Ibu Johor Bahru. Selepas itu, beliau mengikut suami beliau berpindah ke Kota Tinggi dan dilantiik sebagai Naib Pergerusi Kaum Ibu Kota Tinggi. Walaupun memperjuangkan politik, namum profesion perguruan tetap tebal dalam jiwa beliau apabila Tun Fatimah masih berkesempatan membuka kelas dewasa untuk membasmi masalah buta huruf di kalangan penduduk luar bandar di Kota Tinggi. Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Setiausaha Kaum Ibu UMNO Johor pada tahun 1951 dan 1953.

Kegiatan politik beliau terhenti buat sementara waktu apabila mengikut suaminya melanjutkan pelajaran ke England pada tahun 1954 dan sekembalinya ke Tanah Melayu pada 1955 suami beliau telah ditugaskan di Ipoh Perak. Pergerakan UMNO pusat telah meminta jasa baik beliau menubuhkan cawangan Pergerakan Kaum Ibu di Ipoh Perak dan beliau secara automatik dipilih mengetuai Kaum Ibu Bahagian Ipoh dan Dalam Mesyuarat Agung UMNO yang diadakan pada April 1956 beliau telah diberi tanggungjawab yang lebih mencabar iaitu mengetuai UMNO Negeri Perak.


Tan Sri Abdul Kadir dipindahkan pula ke Negeri Kedah pada tahun 1958 dan Tun Fatimah dipilih oleh pucuk pimpinan untuk bertanding untuk keusi Parlimen Jitra/Padang Terap dalam Pilihan Raya Umum 1959 merupakan  satu aliran baru politik negara yang menjadi ikutan parti-parti lain selepas itu.

Semasa menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau gigih memperjuangkan hak wanita supaya tidak didiskriminasi dalam pembayaran gaji dan pencen, mendapat perlindungan sewajarnya serta memastikan kebajikan wanita tidak diabaikan setelah berlaku perceraian. Berbekalkan semangat kental dan keinginan untuk melihat negara maju sebagai sebuah Negara berdaulat mengikut acuannya sendiri, tiada sebarang imbuhan yang diharapkan daripada setiap sumbangan dan pengorbanan yang dihulurkan.

Beliau telah dianugerahkan bintang Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri, menjadikan beliau penerima wanita pertama anugerah tersebut di negara ini.Beliau menerima gelaran Tun setelah dianugerahkan Pingat Seri Setia Mahkota pada tahun 2003.

Beliau telah terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Kemasyarakatan pada tahun 2009 dan disemadikan sebagai seorang srikandi negara di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur. 
  

Khamis, 13 Februari 2014

Dr Burhanudin Al-Helmy

Dr.Burhanuddin Al-Helmy

Jepun telah berjanji kepada Sukarno untuk memberikan kemerdekaan sebaik berakhirnya Perang Dunia Kedua. Dr. Burhanuddin dan Ibrahim Yaacob juga mahu bersama-sama dengan Sukarno untuk mencapai kemerdekaan. Atas matlamat tersebut, satu rundingan telah diadakan dengan Sukarno dan Hatta di Taiping, Perak pada 12-13 Ogos 1945. Ketika itu, Sukoarno dan Hatta sebenarnya baru pulang dari Vietnam menuju ke Indonesia setelah bertemu Pemerintah Tertinggi Tentera Jepun di Asia Tenggara, Terauuchi.

Atas Inisiatif Dr.Burhanuddin, satu mesyuarat susulan telah diadakan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos 1945 bagi memerancang beberapa langkah yang perlu dibuat untuk menghalang kemasukan semula koloni British. Mesyuarat juga memutuskan untuk membentuk kabinet Tanah Melayu yang dicadangkan bernama Negara Demokratik Rakyat Malaya. Mesyuarat juga turut membincangkan bagaimana menghalang anggota MPAJA keluar menganas dari dalam hutan.

Pada 17 Ogos 1945, pemimpin tertinggi KRIS telah mengadakan pertemuan dengan Jeneral Itagaki dan diberitahu bahawa rancangan pembentukan Melayu Raya dan mendapatkan kemerdekaan tidak dapat dilaksanakan kerana kekalahan Jepun yang mendadak. Kegagalan tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangat Dr.Burhanuddin.

Slogan yang ditimbulkan oleh beliau setelah kegagalan idea penyatuan dengan Indonesia ialah semangat kemerdekaan untuk Tanah Melayu bagi membela hak keadilan putera melayu. Selepas gagal dengan KRIS , beliau telah menubuhkan Parti Kesatuan Melayu Muda(PKMM) dengan matlamat yang sama. Selama menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua PKMM,beliau turut menghadiri Kongress Melayu Semalaya anjuran Dato' Onn Jaafar dan terlibat dalam penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(UMNO) pada 11 Mei 1946. Beliau kemudiannya menubuhkan Hizbul Muslimin pada 17 Mac 1948 tetapi telah diharamkan oleh pemerintah British kerana dituduh sebagai radikal dan bersubahat dengan Parti Komunis Malaya(PKM).

Satu sumbangan besar Dr.Burhanuddin al-Helmy melalui PUTERA(Pertubuhan Melayu Anti-UMNO)ialah merangka The People Constitution Of Malaya yeng menggariskan kehendak dan suara rakyat Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, perlembagaan ini telah ditolak oleh British dan UMNO. Sebaliknya British dan UMNO mengadakan rundingan membentuk perlembagaan Tanah Melayu.

Nama sebenar beliau ialah Amir Burhanuddin Bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama Sekolah Melayu. Beliau dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatera Barat pada tahun 1924 hingga 1926. Pada tahun 1926, Burhanuddin al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ, beliau menuntut pula di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas IV Thanawi pada tahun 1934.

Beliau kemudiannya mendapat peluang belajar di Universiti Aligarh, India dalam bidang Sastera dan Falsafah sekaligus mempelajari bahasa Inggeris, Perancis, German, dan perubatan homeopati. Pelajaran Homeopati yang dipelajari beliau juga berjaya ditamatkan di Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Semasa belajar di India pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali jinnah dan Pandit Jawaharlal Nehru. Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki.

Ahmad Boestamam pernah menjelaskan tentang perjuangan Dr.Burhanuddin dan menganggap beliau seorang yang patriot negara yang banyak berjasa. Beliau turut diberi gelaran "Bapa Kebangsaan Melayu" kerana hingga akhir hayatnya beliau tetap konsisten dengan penubuhan negara bangsa yang dinamakan Melayu. Berasaskan kepada keteguhan semangat beliau memperjuangkan politik berlandaskan perjuagan Islam, Dr.Burhanuddin telah terpilih sebagai Presiden Parti Islam Semalaya(PAS) yang ketiga dalam perhimpunan kelima parti tersebut pada tahun 1956.

Selain terlibat dalam bidang politik, beliau turut menghasilkan beberapa karya penulisan yang bertujuan untuk membuka mata masyarakat terutama orang melayu mengenai maksud sebenar perjuangan dan perkaitannya dengan Islam. Antara karya penulisannya ialah:

  1. Perjuangan Kita(1946)
  2. Falsafah Kebangsaan Melayu(1947)
  3. Agama & Politik(1954)
  4. Ideologi Politik Islam(1957)
Perginya Dr.Burhanuddin pada 25 Oktober 1969 bererti politik negara kehilangan seorang bunga bangsa yang terkenal dengan keteguhan prinsip perjuangan yang tetap beliau pertahankan hingga akhir hayat.






Rabu, 12 Februari 2014

Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah

Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah

1903 - 1973
Tun Temenggung Jugah Anak Barieng adalah sahabat baik Tunku Abdul Rahman dari bumi Kenyalang dan merupakan satu-satunya pemimpin Sarawak yang memainkan peranan utama dalam usaha penubuhan Malaysia. Beliau turut serta dalam rombongan ke London bersama-sama Tunku Abdul Rahman bagi membincangkan penubuhan Malaysia. Dengan wajah tipikal istimewa kaum Iban, beliau cukup mudah dikenali dan mendapat perhatian penduduk Sarawak ketika penubuhan Parti Pesaka Rakyat Sarawak(PESAKA) yang menjadi salah satu parti Perikatan Sarawak.

Tun Temenggung Jugah juga antara tokoh terawal menyokong cadangan penubuhan Malaysia kerana mengetahui faedah-faedah yang dapat diperoleh oleh rakyat Sarawak daripada penyatuan itu. Beliau juga antara tokoh yang terlibat dalam Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia(JPPM) bagi mendapatkan pandangan para pemimpin Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak tentang cadangan penubuhan Malaysia. Ketika pembentukan Kabinet Pertama Malaysia, beliau antara yang dilantik menjadi Menteri dalam kabinet Kerajaan Persekutuan untuk menguruskan hal-ehwal Sarawak yang melibatkan usaha-usaha peningkatkan taraf hidup, hak-hak peribumi, penyediaan prasarana dan kemudahan asas. Penglibatan aktif beliau yang begitu prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat menjadikan beliau cukup dihormati, disenangi sebagai seorang pemimpin sejati berjiwa rakyat yang terus dikenang hingga ke hari ini.

Temenggung Jugah anak Barieng dilahirkan di Ulu Kapit, Sarawak pada tahun 1903. Beliau merupakan anak Ketua Orang Iban yang mencintai tradisi kehidupan Iban serta sangat dihormati oleh kaum Iban di Sarawak. Beliau menjadi tokoh penting yang menubuhkan Parti PESAKA pada tahun 1962. Peranan beliau banyak mengangkat martabat kaum Iban dan menjadikan mereka lebih terbuka dan sedia berinteraksi dengan kaum-kaum lain ketika negara melangkah meredah arus kemajuan.

Bersama-sama dengan 4 orang pemimpin daripada kaum Iban di Sibu, Tun Jagaya yang meninggalkan Parti Negara Sarawak(PANAS) mengasaskan PESAKA untuk menentang SNAP yang mendapat sokongan kuat daripada kaum Iban Sibu. Pada 30 April 1973, PESAKA bergabung dengan Parti Bumiputera yang menubuhkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak(PBB) yang dipimpin oleh Datu Patinggi Abdul Rahman Ya'akob. Peranan beliau dalam politik Malaysia memang tidak dapat dinafikan. Beliau merupakan pemimpin Sarawak terawal yang menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dan antara pemimpin Sarawak terawal yang duduk dalam Kabinet Malaysia.


Tun Temenggung Jugah telah membuktikan bahawa masyarakat pedalaman sepertinya boleh ke hadapan jika diberi peluang. Beliau telah membuktikan ketokohan kepimpinannya ketika menerajui parti PESAKA dan berupaya memikul tanggungjawab yang diberikan secara berkesan sebagai ahli Parlimen dan Menteri Kabinet. Malahan, banyak isu-isu yang melibatkan kaum Iban dan masyarakat pedalaman Sarawak telah disuarakan oleh beliau.

Pada tahun 1973, parti pimpinan Tun Temenggung Jugah iaitu PESAKA telah bergabung dengan parti PANAS dan BERJASA membentuk parti baru yang dipanggil Parti Bumiputera Bersatu iaitu PBB yang memerintah Sarawak. Tun Jugah telah dipilih menjadi Presiden pertama PBB dan dilantik dalam Kabinet negeri sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Sepanjang menerajui jawatan tersebut beliau memberi sepenuh tumpuan bagi meningkatkan taraf hidup kaum bumiputera Sawarak bukan hanya kaum Iban juga kaum-kaum lain termasuklah Bidayuh, Kayan, Kenyah, Penan dan lain-lain.

   

Selasa, 11 Februari 2014

Tun Lee Hau Shik

Tun Lee Hau Shik

1900 - 1988
Tun Lee Hau Shik atau lebih dikenali sebagai Tun H.S Lee merupakan seorang tokoh dan pemimpin Cina yang berpegaruh pada awal zaman kemerdekaan. Beliau bertanggungjawab sebagai perintis penubuhan MCA dan rundingan kerjasama dengan UMNO. Dengan kata lain, beliau antara tokoh Cina terawal yang bertanggungjawab mewujudkan kerjasama politik antara orang Cina dan Melayu, seterusnya mewujudkan Parti Perikatan. Tokoh ini merupakan anak kelahiran negara China yang dilahirkan pada tahun 1900 di Guandong, Hong Kong yang merupakan Tanah jajahan mahkota Inggeris. Beliau kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu untuk menjalankan perusahaan perlombongan bijih timah pada tahun 1924. Beliau turut dikenali kerana menjadi pengasas China Press pada tahun 1946. Dua bidang perniagaan ini sebati dengan kehidupan beliau, sehingga ke akhir hayat beliau pada tahun 1988.

Tun H.S Lee mendapat pendidikan awal di Queen College,Hong Kong sehinggalah beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perundangan dan ekonomi dari University Cambridge, England. Setelah itu, beliau memulakan kerjaya di Hainan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Bank Hong Kong. Apabila tiba di Tanah Melayu dan berjaya dalam perniagaan bijih timah, beliau bersama-sama dengan Leong Yew Koh dan Lim Chong Eu(Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) telah menubuhkan Malayan Chinese Association(MCA) pada tahun 1949.

Berdasarkan kepada ketokohan beliau serta peranan penting yang dimainkan dalam menyatukan orang-orang Cina di Tanah Melayu, Tun H.S Lee telah dipilih sebagai salah seorang anggota rombongan ke London yang diketui Tunku Abdul Rahman bagi merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu. Setelah bersara pada tahun 1959, beliau menubuhkan DCB Bank manakala dua orang anaknya turut menceburi bidang politik iaitu Datuk Douglas Lee yang telah memenangi Pilihanraya Majlis Bandaraya Kuala Lumpur(1952) dan Tan Sri Dato' Alex Lee dari parti Gerakan yang juga pernah menggangotai kabinet Tun Dr.Mahathir pada tahun 1980-an.

Tun H.S Lee bukan sahaja prihatin terhadap perkembangan politik di negara ini, malah semasa Jepun menyerang Tanah Besar China pada tahun 1937, Lee telah mengetuai usaha kutipan tabung bantuan kemanusiaan China dan bekerjasama dengan Parti Kuomintang China. Ketika menakluki Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua, Lee dan keluarganya berpindah ke India dan bertemu dengan Chiang Kai Shek di Congqing, China. Sebagai menghargai jasa dan penglibatannya dalam arena politik tempatan dan sumbangannya kepada masyarakat Cina, Chiang menganugerahkan beliau dengan gelaran "Kolonel" dan turut dihantar bertugas ke sempadan China-Burma sebagai perantara tentera China dan British.

Ketokohan Tun H.S Lee telah membuka laluan penting kepada kerjasama politik antara orang Melayu dan Cina di Tanah Melayu yang menjadi asas untuk persiapan ke arah kemerdekaan. Malah, ketika rombongan rundingan kemerdekaan ke London banyak yang telah beliau sumbangkan bagi merealisasikan kemerdekaan negara. Hasilnya, rombongan tersebut berjaya memperoleh keputusan yang positif apabila pihak koloni British bersetuju memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


Isnin, 10 Februari 2014

Tun Tan Cheng Lock

Tun Tan Cheng Lock

1887-1960
Berdasarkan kepada daya intelektual yang tinggi dan kewibawaannya, Tun Tan Cheng Lock telah dilantik sebagai Presiden Malayan Chinese Association(MCA) yang pertama pada tahun 1949. Beliau merupakan anak jati yang dilahirkan di negeri Hang Tuah, Melaka pada 5 April 1883. Beliau merupakan tokoh penting yang merintis kepada kerjasama politik antara UMNO dan MCA bagi mewujudkan kestabilan politik dan perpaduan masyarakat di Malaysia. Sumbangan dan ketokohan beliau membolehkan MCA dan UMNO memenangi pilihanraya umum pertama 1955 sehingga melahirkan idea penubuhan Parti Perikatan yang kemudiannya disusuli oleh parti Malayan Indian Congress(MIC). Detik tersebut telah melahirkan kerjasama erat antara parti UMNO, MCA dan MIC yang buat pertama kali berlaku di negara kita.

Tun Tan Cheng semasa di zaman persekolahannya merupakan seorang pelajar yang cerdas, pintar dan sentiasa menhormati para gurunya. Setelah menamatkan persekolahan menenggah di Sekolah Tinggi Melaka, beliau menyambung pelajaran di Kolej Raffles, Singapura dan menjadi guru sekembalinya ke Tanah Air. Setelah meletak jawatan sebagai guru, beliau menyandang jawatan sebagai Penolong Pengurus Ladang Getah Bukit Kajang Berhad sebelum menubuhkan syarikat beliau sendiri, Ladang Ayer Molek Berhad. Pada tahun 1913, beliau berkahwin dengan Yeo Yeok Neo dan dikurniakan 5 orang cahaya mata. Salah seorang daripadanya ialah ahli politik yang terkemuka di Malaysia dan pernah memegang tampuk pimpinan MCA seperti ayahnya, iaitu Tun Tan Siew Sin.

Rentetan perjuangannya yang cukup lama, bermula sejak awal abad ke-20 lagi apabila pertubuhan Sukarelawan  Cina Melaka dihidupkan semula, beliau menjadi ahlinya pada tahun 1915. Beliau juga telah menghidupkan semula Persatuan Orang Cina Peranakan British(SCBA) bagi melindungi kepentingan golongan ini di Negeri-Negeri Selat dan secara sebulat suara beliau telah dilantik menjadi Presiden SCBA. Melihatkan kewibawaan dan ketokohan beliau, British melantik beliau menjadi Ahli Tidak Rasmi Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat bermula pada tahun 1925 sehingga 1934. Apabila Jepun mendarat di Tanah Melayu, Tan melarikan diri ke Madras India dan menetap di situ sehinggalah Perang Dunia Kedua tamat dan Jepun meninggalkan Tanah Melayu.

Ketika sewaktu zaman perang, Tun Tan Cheng Lock menubuhkan Persatuan Cina Perantauan India(OCAI) dan menghantar memorandum kepada Pejabat Tanah Jajahan untuk membolehkan penduduk berbangsa cina mendapat kerakyatan Tanah Melayu. Cadangan dalam memorandum inilah yang dimasukkan oleh British dalam perlembagaan Malayan Union.

Jalan Tun Tan Cheng Lock Melaka

Sebagai Presiden MCA, beliau telah mengetuai kempen-kempen mempertingkatkan keahlian MCA dalam kalangan pemuda cina. Kedudukan MCA dalam kancah politik negara kian berkembang apabila menjalin kerjasama dengan UMNO dalam pilihanraya Perbadanan Kuala Lumpur. Sejak itu, kerjasama terus terjalin hinggalah membawa kepada penubuhan Parti Perikatan. Cita-cita beliau untuk memperoleh taraf kewarganegaraan bagi kaum cina di Tanah Melayu dicapai apabila UMNO mempersetujui cadangan tersebut dan memasukkannya ke dalam memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid yang ditugaskan untuk menulis Perlembagaan Persekutuan.

Jasa dan sumbangan dalam mewujudkan perpaduan kaum diiktiraf dan disanjung sehingga dianugerahkan pingat D.P.M.J oleh Sultan Ibrahim inbin Almarhum Sultan Abu Bakar,Johor(1949), Komander Empayar British(1949),Komander Kesatria Empayar British yang membawa gelaran Sir dan gelaran Tun oleh Yang Dipertuan Agong. Nama beliau akan terus terpahat sebagai tokoh Cina berhati waja, yang kuat semangat dan bercita-cita tinggi. Beliau meninggal dunia pada 13 Disember 1960 di Hospital Besar Melaka akibat serangan sakit jantung ketika berumur 77 tahun.

Jumaat, 7 Februari 2014

Tun VT Sambathan

Tun VT Sambanthan

Tokoh yang berasal dari Sungai Siput,Perak ini dilahirkan pada 16 Jun 1919. Kepintarannya mula terselah setelah melanjutkan pelajaran peringkat menenggah di Sekolah Clifford, Kuala Kangsar seterusnya mendapat Ijazah Sarjana Muda dari University Annamalai, India dalam bidang ekonomi. Minatnya dalam bidang Pollitik dipengaruhi oleh dua tokoh besar India idola beliau iaitu Mahatma Ghandi dan Jawaharlal Nehru.

Kepetahun Tun Sambanthan berpidato memang memenuhi kualiti seorang ahli politik melahan beliau juga bijak berlawak jenaka. Kesedaran politik beliau mula bercambah apabila menyedari bahawa kaum India di Tanah Melayu memerlukan pemimpin berwibawa untuk memperjuangkan nasib mereka yang masih ketinggalan dalam segenap bidang kehidupan. Beliau bergiat aktif dan mendapat sambutan yang meluas memegang pelbagai jawatan dalam MIC sebaik sahaja pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian. Jasa dan sumbangan terpenting beliau dalam bidang politik negara dapat dilihat pada kejayaan beliau membawa masuk MIC menyertai Parti Perikatan kerana beliau meletakkan kepercayaan penuh bahawa Perikatan merupakan platform yang paling sesuai untuk memperbaiki nasib bangsanya di negara ini.

Sebaik sahaja memenangi Pilihanraya Umum Pertama 1955 bagi kerusi Parlimen Kinta, beliau dilantik mengetuai Kementerian Buruh sesuai dengan hasrat beliau untuk meningkatkan taraf hidup golongan pekerja ladang dan golongan berpendapatan rendah. Beliau mempelopori Penubuhan National Land Finance Cooperative Society(NLFCS) untuk menguruskan ladang dengan lebih tersusun.


Beliau juga antara anggota rombongan ke London merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu dan terlibat menendatangani perjanjian kemerdekaan. Selepas 1 penggal sebagai Menteri Buruh, beliau bertukar portfolio sebagai Menteri Tenaga, Telekom dan Pos(1959) sehinggalah jawatan terakhir sebelum bersara iaitu Menteri Perpaduan Negara. Di peringkat antarabangsa, beliau telah berjasa menyatupadukan masyarakat India dan masyarakat peribumi Fiji dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Jesteru, atas jasa beliau yang begitu luas, tidak hairanlah beliau dimasyurkan sebagai salah seorang negarawan tersohor di negara kita.

Pemilihan Tun VT Sambanthan sebagai salah seorang tokoh terkemuka negara adalah setimpal dengan sumbangan besar beliau terhadap kemajuan negara ini khususnya kepada penduduk berbangsa India. Beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC serta Menteri Perpaduan Negara pada tahun 1973 setelah mengadu sesak nafas dan mengalami komplikasi jantung. Bagi mengabadikan jasanya yang besar terhadap negara, sebatang jalan dan sebuah bangunan telah dinamakan Jalan VT Sambanthan di Brickfields dan Wisma Sambanthan di Brickfields kedua-duanya di Kuala Lumpur. Semangat dan dedikasi beliau ini perlu dicontohi oleh generasi muda negara untuk meneruskan kelangsungan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini. Beliau merupakan pelopor dan pemimpin ulung yang tiada tolak banding hingga ke hari ini. Pemikiran dan idea beliau terhadap masyarakat berbilang kaum sentiasa dijadikan rujukan oleh generasi kini.

Khamis, 6 Februari 2014

Rosli Dhobie

Rosli Dhobie

Sebagai anak muda yang berhati waja daripada kumpulan Rukun 13, beliau tidak bersetuju dengan cara rundingan yang dijalankan kerana banyak merugikan rakyat Sarawak. Bagi beliau, penentangan harus dibuat secara radikal dan kekerasan untuk mengajar pihak British  dan memberi amaran kepada penjajah bahawa rakyat Sarawak yang selama ini ditindas juga mampu bangkit.

Dilahirkan di Kampung Pulo, Sibu pada tahun 1932. Rosli Dhobie dibesarkan dengan penuh kasih sayang dalam sebuah keluarga sederhana yang terdiri daripada seorang kakak iaitu Fatimah dan seorang adik perempuan iaitu Ainie. Rosli memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Rakyat Sibu pada tahun 1947. Beliau amat meminati karya-karya golongan nasionalis nusantara seperti Jose Rizal dan Soekarno. Beliau turut mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Dengan menggunakan nama samaran Lidros, beliau menulis puisi tentang kebangkitan menentang penjajah. Puisinya "PanggilanMu Yang Suci " telah tersiar dalam Utusan Sarawak pada 28 Februari 1948. Penggunaan nama pena ini bertujuan untuk menyukarkan pihak British mengesan penulisnya yang melaungkan agenda kemerdekaan dan anti penjajah.

Selepas tamat perang Dunia Kedua, Vyner Brooke berhasrat untuk menyerahkan Sarawak kepada British sebagai Tanah Jajahan Mahkota tanpa mewariskannya kepada anak beliau, Anthony Brooke yang dianggap kurang cekap dalam menguruskan hal-ehwal pentadbiran negeri. Rundingan demi rundingan yang dilaksanakan oleh pemimpin kaum untuk menghalang penyerahan Sarawak tetap tidak membuahkan hasil.

Keadaan ini sangat mengecewakan banyak pihak terutama golongan belia daripada Pertubuhan Pemuda Seluruh Sarawak yang turut ditunjangi oleh Barisan Pemuda Sibu yang secara langsung terbabit dalam Gerakan Anti Penyerahan Sarawak. Golongan pemuda ini melihat rundingan diplomatik tidak lagi berguna, tambahan tarikh perlantikan Gabenor baharu British juga sudah kian hampir lalu mereka menubuhkan Kumpulan Rukun 13 yang memikul amanah mempersiapkan perancangan rapi untuk menggagalkan sebarang percubaan menabalkan Gabenor Sarawak.


Mereka sebulat suara berpendapat bahawa tindakan yang paling berkesan ialah menamatkan riwayat sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Gabenor Sarawak. Pemimpin gerakan tersebut telah memilih Rosli Dhobie dengan dibantu oleh Morshidi Sidek, Awang Ramli, Amit Mohd Deli dan Bujang Suntong untuk melaksanakan tindakan tersebut. Rosli dipilih untuk melaksanakan serangan nekad dengan menikam Sir Duncan Steward kerana usianya yang masih muda tidak akan menimbulkan sebarang syak wasangka British serta beliau dijangka dapat melepasi pemeriksaan ketat dengan mudah pada hari pertabalan Sir Duncan Steward.

Rosli Dhobie faham risiko yang akan dihadapinya, namun demi negeri Sarawak dan semangat kebangkitan Sarawak, beliau rela berhadapan bahaya asalkan perjuangannya dapat menginspirasikan gelombang anti-British. Beliau adalah simbol wira Sarawak sejati dan mendukung teguh prinsip perjuangan mendaulatkan Sarawak dan menentang kehadiran British.

Pada 3 Disember 1949, ketika Gabenor Sarawak disambut di Jeti Sibu dalam rangka lawatan ke bandar-bandar utama di Sarawak, beliau telah menikam Gabenor British itu sehingga meragut nyawanya.

Serangan itu amat mengejutkan semua delegasi yang mengiringi Gabenor Inggeris tersebut dan beliau telah ditangkap ketika itu juga lalu dihantar ke Kuching sebagai seorang banduan. Beliau bersama-sama dengan Awang Ramli, Amit Mohd Deli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong dibicarakan dan didapati bersalah. Kesemua mereka dijatuhi hukuman mati, sementara Rosli Dhobie dipenjara sehingga 3 Mac 1950 bagi menunggu usia beliau genap mencapai dewasa sebelum menjalani hukuman tersebut. Beliau digantung pada usia 18 tahun, dan kisah beliau ditafsirkan dalam pelbagai versi, namun apa yang pasti beliau adalah wira Sarawak yang sejati.

Keberanian Rosli Dhobie terus segar dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia khasnya rakyat Sarawak. Nama beliau terus terpahat sebagai pejuang Borneo yang berani mempertahankan hak dan teguh dengan prinsip perjuangan malahan turut memberi pengaruh kepada pejuang-pejuang lain untuk bangkit menyuarakan hak-hak mereka.

Rabu, 5 Februari 2014

Dato' Maharajalela

Dato Maharajalela

Perjuangan Dato' Maharajalela Pandak Lam menentang British merupakan satu perjuangan yang suci dan murni. Beliau tidak mahu mengotorkan dirinya menjadi pencacai British, sebaliknya dengan penuh strategi dan umpamanya mempertahankan sistem tradisional di Perak yang diganggu gugat oleh pihak British melalui pengenalan Sistem Residen.

Sebagai Pembesar Yang Lapan di Perak, beliau antara tokoh yang dianggap berwibawa dan begitu dihormati oleh penduduk. Keprihatinan beliau membela nasib rakyat dan menghalang gangguan British mendapat sokongan ramai. Seruan beliau agar mengatur rancangan menghalang pertapakan British telah mengundang ramai pengikut, bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malahan juga orang asli sendiri, antaranya Seputum yang ditugaskan membunuh J.W.W.Birch.

Dato' Maharajalela berketurunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Tidak hairanlah, jika darah kepahlawan Bugis mengalir dalam dirinya. Beliau pantang berundur, apa yang dikatakan akan dikotakan. Ketika penentangan dilancarkan ke atas British di Pasir Salak, Perak adalah di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Pengetahuan agama dan ketinggian keperibadiannya, menyebabkan beliau dilantik sebagai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato' Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa yang boleh memancung tanpa bertanya.

Gerakan terhadap British oleh beliau di Perak turut disertai oleh ramai golongan bangsawan dan rakyat jelata. Antara yang sama berjuang dengan beliau ialah Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk dan tercatat dalam buku sejarah sebagai Dato' Sagor', juga Ngah Kandin, Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim. Perancangan beliau ternyata licik sehingga segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.


Semuanya bermula rentetan mesyuarat yang diadakan bersama-sama dengan orang-orang bangsawan anti-British dan pengikutnya di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875, iaitu 6 bulan setelah sistem Residen diperkenalkan di Perak. Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Raja Abdullah dan Raja Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.

Penglibatan Dato' Maharajalela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W.Birch mendapat sanjungan rakyat Perak, namun terdapat tali barut dalam kalangan orang Melayu sendiri yang melaporkan kepada British tentang penglibatannya sebagai pelaku utama dalam rancangan membunuh Birch hingga beliau akhirnya ditangkap dan dibicarakan secara tidak adil oleh Mahkamah. Akhirnya pahlawan berani Perak ini dijatuhi hukuman gantung, bersama-sama Dato' Sagor dan Seputum manakala pembesar yang lain dibuang negeri ke Pulau Sychelles.

Nama Dato' Maharajalela sebagai pengasas kebangkitan Perak akan terus diingati dan dikenang sehingga terkorban bagi mempertahankan prinsip perjuangan. Sikap dengki, iri hati dan pengkhianatan golongan bangsawan dalam kes Dato Maharajalela menyedarkan kita bahaya perpecahan yang melanda orang Melayu. Perjuangan beliau menjadi iktibar dan semangat buat orang Melayu untuk terus bersatu mempertahankan segala yang telah diperjuangkan. Kisah Dato Maharajalela telah membuktikan kewujudan bukan satu mitos dimana kewujudan beliau telah tercatat pada tugu peringatannya.

Selasa, 4 Februari 2014

Mat Kilau

Mat Kilau

1847-1970
Keberanian sebagai pahlawan terbilang sentiasa diingati hingga ke hari ini. Mat Kilau dikenali sebagai seorang pejuang yang tidak gentar menentang penjajah di Pahang. Beliau turut sama membantu pejuang-pejuang di Kelantan dan Terengganu dalam usaha membebaskan negeri itu dari cengkaman penjajah. Tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar, Jerantut Pahang ini bangkit untuk menentang penjajah British pada penghujung abad ke-19 hingga menjadi buruan kemudian menghilangkan diri dan muncul semula pada tahun 1970 ketika usia 123 tahun. 

Jiwa perjuangannya tidak pernah luntur terutama memikirkan bagaimana kuasa asing yang jauh boleh datang menguasai negeri. Ketika peperangan Semantan meletus, beberapa Pembesar Pahang ditangkap dan dihukum, walaubagaimanapun, Mat Kilau terselamat bersama rakan-rakannya dan berundur ke Hulu Kelantan untuk mendapatkan pelindungan. Kemudian, beliau ke Kuala Berang, Hulu Terengganu kerana mendapat sokongan daripada ulama Terengganu yang terkenal iaitu Tokku Paloh dan Hj Abdul Rahman Limbong. Di sana, Mat Kilau belajar ilmu agama daripada Tokku Paloh.

Mat Kilau sangat mahir dengan gerak geri silat Melayu dan jalan denai di hutan yang bersempadan antara tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Malahan jalan denai yang dirintis Mat Kilau menjadi laluan pencari kayu gaharu hingga ke hari ini. Beliau memang bijak dan mahir selok-belok hutan, malahan mempunyai ilmu firasat yang cukup tinggi.

 Antara jalan denai yang dilalui Mat Kilau ialah dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang, Kelantan. Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelak diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja. Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan beliau menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dilabel sebagai penderhaka. Pada 14 Jun 1894, beliau bersama pahlawan Melayu Pahang yang lain seperti Tok Gajah, Dato' Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai.


Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris, The Free Press yang diterbitkan di Singapura, menyatakan bahawa Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dilaporkan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bahru disebabkan kehilangan darah yang banyak. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu tersebut. Namun apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Dermali, Raja Ibrahim(Pak Him) dan Mat Kelantan.

Disebabkan Mat Kilau dilabel sebagai 'Penderhaka' dan disahkan mati oleh Inggeris, beliau mengasingkan diri dan bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Mat Kilau terpaksa menukar namanya beberapa kali dan akhirnya menggunakan nama Mat Siam. Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada waktu itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad Bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Atas daya usaha anaknya Omar, pahlawan Melayu itu dibawa pulang ke kampung asalnya, Kampung Masjid,Pulau Tawar.

Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Beliau akhirnya disahkan sebagai Mat Kilau pada 6 Ogos 1970 oleh Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mohd Seh. Empat hari kemudian, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. 
   

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...