Halaman

Jumaat, 28 Februari 2014

Abdul Rahim Kajai


1894 - 1943
Di antara ruang yang ditulis oleh Abdul Rahim Kajai yang mendapat sambutan hangat ialah Rencana Pengarang. Ruangan ini banyak memberi pengajaran dan kata-kata semangat untuk memajukan bangsa Melayu yang ketika itu masih teraba-raba mencari hala tuju kehidupan dan perjuangan. Anak kelahiran Setapak Kuala Lumpur ini dilahirkan pada tahun 1894 dan terkenal dengan panggilan ringkas Kajai sahaja yang merujuk kepada tempat lahir bapanya, Salim di Kampung Kajai Sumatera Barat.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Setepak pada tahun 1900 kemudian dipilih untuk melanjutkan pelajaran untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris tetapi ditolak oleh ibubapanya, sebaliknya menghantar beliau belajar agama ke Mekkah selama 3 tahun dan sebaik tamat darjah 5 sekolah Melayu Setapak pada tahun 1906. Abdul Rahim merupakan seorang anak muda yang bersemangat waja, biarpun tidak ke Sekolah Inggeris, beliau mengambil inisiatif untuk belajar sendiri Bahasa Inggeris melalui buku-buku yang dipinjamnya daripada rakan-rakan.

Sekembalinya dari Mekah, pada tahun 1909 Abdul Rahim mendapat pekerjaan sebagai penjilid buku dan pengatur huruf Melayu di Pejabat Cap Kerajaan di Kuala Lumpur selama 3 setengah tahun. Kemudian beliau ke Singapura (1912-1913) untuk bekerja sebagai pengatur huruf Inggeris di Malaya Publishing House(MPH). Setelah kembali ke Kuala Lumpur, beliau telah menimba pengalaman sebagai pelukis sementara di Jabatan Ukur, Kuala Lumpur dan pada masa yang sama turut menyumbang rencana-rencana berkenaan sosial dan agama serta berita di dalam Utusan Melayu dan Lembaga Melayu. Antara personaliti penting yang membimbing Abdul Rahim dalam bidang kewartawanan termasuk Mohd Yunus Abd Hamid dan Syed Syeikh Ahmad Al-Hadi.

Pada tahun 1920, beliau telah pergi ke Mekah untuk menguruskan hal-hal perniagaan dan bekerja sebagai Sheikh Haji. Dalam masa yang sama, beliau turut menjadi wakil wartawan bagi suratkahbar mingguan Idaran Zaman dan menyumbang berita-berita menarik dari Mekah selama lebih kurang tiga tahun sehingga 1927. Ini membuktikan ketokohan Abdul Rahim sebagai seorang wartawan berwawasan kerana beliau boleh dianggap sebagai wakil akhbar tersebut di Mekah seperti mana yang sering dilakukan oleh akhbar masa kini  yang menghantar wakil mereka ke lokasi-lokasi utama seluruh dunia. Pada tahun 1928, beliau sekeluarga kembali ke Tanah Melayu berikutan kematian ibunya.

Pada Mac 1930, Abdul Rahim bertugas sebagai penolong pengarang akhbar Saudara dan kemudian sebagai pengarang di akhbar Majlis yang memulakan pernebitannya pada 17 Disember 1931 di Kuala Lumpur. Pada 1 Februari 1935,beliau memegang jawatan sebagai wakil akhbar Warta Malaya di Kuala Lumpur dan seterusnya dilantik sebagai pengarang Warta Malaya di Singapura. Perjalanan idea yang bernas dalam setiap penulisannya menjadikan beliau seorang wartawan yang amat disegani.

Abdul Rahim kemudian dilantik sebagai pengarang pertama Utusan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1939. Beliau sanggup membelakangkan kepentingan dirinya dalam berkhidmat dengan Utusan Melayu yang dibiayai sepenuhnya oleh orang Melayu. Berkat kesungguhan dan kerja kuatnya, akhirnya akhbar Utusan telah diterima oleh masyarakat dan menjadi lidah utama masyarakat Melayu. Kritikan dalam penulisannya yang tajam tentang nasib orang Melayu di bawah pemerintahan British membuatkan beliau dan Utusan Melayu menjadi terkenal.

Pada bulan Mac 1941, Haji Othman Abdullah, Abdul Rahim Kajai dan Haji Dahlan Mas'ud telah bersetuju menerbitkan akhbar yang dinamakan 'Perubahan Baharu' atas nasihat Jepun. Beliau juga diminta oleh pihak Jepun untuk bertugas sebagai pengarang akhbar berita Malai pada 1 Januari 1943, tahun yang sama dunia kewartawanan Melayu kehilangan beliau.

Tulisannya dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah banyak memberi aspirasi dna motivasi kepada sesiapa jua yang membaca dan menghayatinya. Ratusan rencana, artikel, cerpen dan buku yang dihasilkan membuktikan kesungguhan beliau merencana perubahan untuk anak bangsanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...