Halaman

Jumaat, 4 April 2014

Datuk Dr. Mazlan Othman

Datuk Dr Mazlan

Nama beliau terkenal di Malaysia terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan kajian astronomi negara. Selain itu, satu perkara yang paling membanggakan tentang Datuk Dr Mazlan ialah beliau merupakan satu-satunya wanita dalam bidang astronomi dan profesional astrofizik di negara kita. Di luar negara, beliau telah dilantik sebanyak dua kali sebagai Ketua Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOOSA)


Beliau dilahirkan di Seremban Negeri Sembilan pada 11 Disember 1951, kepintarannya mula terserlah setelah melanjutkan pelajaran peringkat menengah di Kolej Tunku Kurshiah Seremban Negeri Sembilan. Seterusnya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains dengan kepujian dari Universiti Otaga New Zealand pada tahun 1975 di bawah Colombo Plan Scholarship dan mengukir nama sebagai wanita pertama yang memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Astrofizik dari Universiti yang sama pada tahun 1981. Beliau kembali ke Malaysia sebagai ahli Fizik bintang pertama negara dan menawarkan kursus astronomi di universiti untuk pelajar pra siswazah serta aktif mempromosi Sains Angkasa.

Datu Dr Mazlan dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Fizik UKM pada tahun 1988. Dari tahun 1990 hingga Oktober 1995, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri untuk mengawasi dan mengurus pembangunan Planetarium Negara Kuala Lumpur. Pada tahun 1994, beliau dinaikkan pangkat menjadi Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada Oktober 1995 pula, beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Bahagian Kajian Sains Angkasa Negara (ANGKASA) di Kementerian Sains Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI)

Ketokohan beliau bukan sahaja mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan tetapi juga dikagumi di arena antarabangsa sehingga dilantik oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) Kofi Annan sebagai Ketua United Nation Office For Outer Space Affairs(UNOOSA) di Vienna pada November 1999.


Atas permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir, beliau kembali ke Malaysia pada 22 Julai 2002 dan berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Bahagian Sains Angkasa (BAKSA) Malaysia yang antara lain bertanggungjawab terhadap penubuhan Agensi Angkasa Lepas Malaysia. Antara tugas penting yang diamanahkan ialah melancarkan Program Angkasawan Negara yang diilhamkan oleh Datuk Dr.Mazlan pada tahun 2002 untuk meletakkan nama Malaysia seiring dengan nama luar yang berjaya dalam bidang angkasa lepas.

Selepas bersara daripada perkhidmatan awam, beliau dilantik semula sebagai pengarah UNOOSA yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland pada tahun 2007. Di UNOOSA beliau memfokuskan isu-isu berkaitan dengan kerjasama antarabangsa dari segi sains angkasa dan koordinasi undang-undang angkasa lepas.


Beliau juga telah mengabung sains dan seni bersama dan menubuhkan satu Perkhemahan Sains Mengilham Seni yang ditaja oleh Galeri Seni Kebangsaan. Program ini telah berjaya mengumpul para artis dan saintis terkemuka bersama. Beliau adalah instrumen dalam produksi bagi dua format besar filem Dokumentasi Sains dan telah menghasilkan empat tayangan planetarium.

Sumbangan dan idea bernas dalam bidang Sains Fizik dan Astronomi, membolehkan beliau menerima banyak anugerah yang berprestij. Antara anugerah yang tertinggi ialah Panglima Jasa Negara yang dikurniakan oleh DYMM Yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Datuk, Ijazah Doktor Sains (Kehormat) daripada Universiti Otago, New Zealand dan yang terkini Datuk Dr Mazlan telah dinobatkan sebagai wanita pertama yang menerima gelaran Tokoh Melayu Terbilang bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-65 pada 11 Mei 2011.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...