Halaman

Rabu, 5 Februari 2014

Dato' Maharajalela

Dato Maharajalela

Perjuangan Dato' Maharajalela Pandak Lam menentang British merupakan satu perjuangan yang suci dan murni. Beliau tidak mahu mengotorkan dirinya menjadi pencacai British, sebaliknya dengan penuh strategi dan umpamanya mempertahankan sistem tradisional di Perak yang diganggu gugat oleh pihak British melalui pengenalan Sistem Residen.

Sebagai Pembesar Yang Lapan di Perak, beliau antara tokoh yang dianggap berwibawa dan begitu dihormati oleh penduduk. Keprihatinan beliau membela nasib rakyat dan menghalang gangguan British mendapat sokongan ramai. Seruan beliau agar mengatur rancangan menghalang pertapakan British telah mengundang ramai pengikut, bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malahan juga orang asli sendiri, antaranya Seputum yang ditugaskan membunuh J.W.W.Birch.

Dato' Maharajalela berketurunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Tidak hairanlah, jika darah kepahlawan Bugis mengalir dalam dirinya. Beliau pantang berundur, apa yang dikatakan akan dikotakan. Ketika penentangan dilancarkan ke atas British di Pasir Salak, Perak adalah di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Pengetahuan agama dan ketinggian keperibadiannya, menyebabkan beliau dilantik sebagai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato' Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa yang boleh memancung tanpa bertanya.

Gerakan terhadap British oleh beliau di Perak turut disertai oleh ramai golongan bangsawan dan rakyat jelata. Antara yang sama berjuang dengan beliau ialah Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk dan tercatat dalam buku sejarah sebagai Dato' Sagor', juga Ngah Kandin, Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim. Perancangan beliau ternyata licik sehingga segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.


Semuanya bermula rentetan mesyuarat yang diadakan bersama-sama dengan orang-orang bangsawan anti-British dan pengikutnya di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875, iaitu 6 bulan setelah sistem Residen diperkenalkan di Perak. Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Raja Abdullah dan Raja Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.

Penglibatan Dato' Maharajalela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W.Birch mendapat sanjungan rakyat Perak, namun terdapat tali barut dalam kalangan orang Melayu sendiri yang melaporkan kepada British tentang penglibatannya sebagai pelaku utama dalam rancangan membunuh Birch hingga beliau akhirnya ditangkap dan dibicarakan secara tidak adil oleh Mahkamah. Akhirnya pahlawan berani Perak ini dijatuhi hukuman gantung, bersama-sama Dato' Sagor dan Seputum manakala pembesar yang lain dibuang negeri ke Pulau Sychelles.

Nama Dato' Maharajalela sebagai pengasas kebangkitan Perak akan terus diingati dan dikenang sehingga terkorban bagi mempertahankan prinsip perjuangan. Sikap dengki, iri hati dan pengkhianatan golongan bangsawan dalam kes Dato Maharajalela menyedarkan kita bahaya perpecahan yang melanda orang Melayu. Perjuangan beliau menjadi iktibar dan semangat buat orang Melayu untuk terus bersatu mempertahankan segala yang telah diperjuangkan. Kisah Dato Maharajalela telah membuktikan kewujudan bukan satu mitos dimana kewujudan beliau telah tercatat pada tugu peringatannya.

1 ulasan:

  1. Dato Maharajalela dan Dato Sagor sangat dihormati oleh rakyat negeri Perak. Kedua2 pahlawan Perak ni (dan beberapa pahlawan yg lain) sanggup berkorban nyawa untuk raja dan tanahair.

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...