Halaman

Isnin, 3 Februari 2014

Dato' Bahaman

Dato' Bahaman

1868-1931
Dalam darah keturunan Melayu mengalir semangat kepahlawanan Dato' Hang Tuah. Semangat ini takkan pernah hilang dan luntur. Inilah yang dibuktikan oleh Dato' Bahaman ketika bangkit mengetuai penentangan terhadap British di negeri Pahang pada tahun 1892. Tanpa gentar dan takut Dato' Bahaman menentang pelaksanaan Undang-Undang barat yang telah mengetepikan adat resam orang Melayu.Pada usianya 24 tahun, Dato' Bahaman(Orang Kaya Semantan) dengan lantangnya menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan undang-undang tersebut serta ketidakadilan terhadap masyarakat Melayu pada waktu itu. Semangat keperwiraan Dato' Bahaman amat dikagumi dan walaupun tanpa kekuatan senjata yang mencukupi, beliau tetap berupaya mempertahankan orang Melayu di negeri Pahang.


Nama sebenar Dato' Bahaman ialah Abdul Rahman Bin Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang, Indonesia. Beliau mahir dalam seni pertahankan diri sehingga diberi gelaran Seman Tahan kerana dapat menyelesaikan masalah secara fizikal dan intelektual. Sejarah penentangan Dato' Bahaman berpunca daripada tindakan provokasi C.E.B  Desborough(Pemangku Pemungut Hasil Semantan) yang telah menangkap anak buah Dato' Bahaman atas tuduhan mengumpul hasil hutan tanpa kebenaran dan tidak membayar cukai.

Pembinaan balai polis di Lubuk Terua dianggap satu pencerobohan ke atas tanah orang Melayu dan menggangu kegiatan mereka menyebabkan Dato' Bahaman bangkit menentang peraturan yang menyusahkan kehidupan masyarakat tempatan.

Tindakan pertama yang diambil oleh Dato' Bahaman ke atas pasukan keselamatan penjajah British yang dipimpin oleh Desborough di Lubuk Terua sehingga berjaya membunuh 3 orang polis bersenjata lengkap dan mencederakan beberapa orang yang lain. Dalam serangan tersebut, Dato' Bahaman berjaya melepaskan pengikut beliau yang ditahan oleh British. Dato' Bahaman seterusnya memimpin sepasukan pejuang Pahang menyerang pelbagai kemudahan milik British seperti memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan serta barangan kepunyaan Syarikat Lombong Bijih di daerah Bentong dan Raub. Keupayaan Dato' Bahaman mengalahkan pasukan polis British telah menyemarakkan semangat perjuangan dalam kalangan orang Melayu untuk menentang British walaupun perlu berjuang dalam keadaan serba kekurangan dan hanya berbekalkan kehebatan gerak langkah Silat Melayu.

British melakukan serangan tindak balas ke atas kedudukan Dato' Bahaman dan pengikutnya serta menabur pelbagai fitnah dengan mendakwa bahawa Dato' Bahaman menulis surat kepada Residen Selangor, W.E Maxwell meminta supaya Semantan disatukan dengan Selangor. Tujuannya supaya masyarakat setempat membenci Dato Bahaman. Namun begitu usaha yang dilakukan British menemui kegagalan setelah usaha menyebarkan propaganda tidak berjaya, Inggeris mencari helah yang lebih halus dengan menggunakan nama Sultan Pahang.

Dato' Bahaman telah dianggap sebagai penderhaka sehingga diperintahkan oleh Sultan untuk menjawab segala tuduhan yang dibuat oleh British di Istana Pahang. Namun, Dato' Bahaman dengan bijaksana tidak berkompromi tipu muslihat British, sebaliknya bersembunyi di dalam hutan satu strategi untuk mengumpul kekuatan serta menyusun langkah seterusnya. Setelah usaha menggunakan kuasa Istana gagal, British bertindak balas dengan menahan pengikut Dato' Bahaman.

Dengan kehebatan dan kelicikan Dato' Bahaman, beliau berjaya membebaskan pengikutnya yang ditahan walaupun dikawal rapi oleh pihak British sehingga menimbulkan rasa takut kepada pihak British untuk menggunakan tenteranya sendiri bagi menyerang Dato' Bahaman dan pengikutnya kerana bimbang kehilangan anggota mereka. British kemudian bekerjasama dengan Tengku Mahmud yang mengetui 200 askar Melayu. Ini disebabkan askar Melayu tidak mahu bekerjasama dengan askar Sikh. Namun British tetap menghantar sepasukan 60 orang tentera Sikh yang diketui oleh Kapten Summer dan Hugh Clifford dan usaha itu tetap mengalami kegagalan.

Usaha terakhir yang dilakukan oleh British untuk menghapuskan Dato' Bahaman dan pengikutnya tidak lagi dengan menggunakan kekuatan tentera sebaliknya British telah melancarkan perang saraf di mana satu propaganda yang dinamakan 'Gerakan Sultan' pada 22 Januari 1892 di mana baginda Sultan dikatakan akan menghantar hadiah kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga Dato' Bahaman ditangkap atau dibunuh, namun tetap gagal.

Dato' Bahaman bersama pengikutnya melakukan serangan balas dan dapat menawan semula Lubuk Terua. Tindakan itu membangkitkan kemarahan British yang kemudian menghantar 300 askar Melayu yang diketui oleh Tengku Ali, Clifford dan Wise(Majistret di Temerloh) yang cuba menggunakan askar orang asli untuk menjejaki Dato' Bahaman, namun orang asli Pahang tidak mahu bekerjasama dengan Inggeris kerana menganggap Dato' Bahaman sebagai saudara mereka.


Walau bagaimanapun, dalam satu serangan balas besar-besaran British ke atas Dato' Bahaman di  Jeram Ampai pada tahun 1894, para pejuang Pahang termasuk Dato' Bahaman terpaksa berpecah dan berundur ke dalam hutan. Tokoh pejuang Pahang ini teus menghilangkan diri dan dikatakan berundur ke Terengganu, seterusnya ke Kelantan dan menetap di Siam. Nama Dato' Bahaman terus kekal di dalam lipatan sejarah sebagai pejuang tulen yang berani menentang penjajah dan Sekolah Menengah Dato' Bahaman, Lancang didirikan mengabadikan nama tokoh pejuang ini agar tidak dilupakan oleh zaman.

2 ulasan:

  1. Terima Kasih. Good effort. Banyak yg anak2 saya belajar dari blog encik. Semoga terus menulis dan memberi input yang baik kepada generasi muda. Saya juga banyak belajar dari blog encik.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih..ada masa saya akan tambah lagi..

      Padam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...