Halaman

Selasa, 1 April 2014

Tan Sri Dr. Zetti Akhtar Aziz

Tan Sri Dr Zeti Akhtar

1947
Y.M Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zeti Akhtar Binti Ungku Abdul Aziz menjadi wanita pertama menyandang jawatan paling terkemuka dalam dunia perbankan negara iaitu Gabenor Bank Negara Malaysia. Anak tunggal kepada tokoh ilmuwan terkenal, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan tokoh budayawan negara, Sharifah Azah Aziz ini dianugerahkan dengan kebijaksanaan yang diwarisi daripada kedua orang tuanya menjadikan beliau seorang yang sangat berjaya dalam bidang yang diceburinya. Beliau juga digelar sebagai pemimpin kewangan negara dan telah menjadi salah seorang wanita yang paling berkuasa di Malaysia.


Tan Sri Dr.Zeti dilahirkan pada 27 Ogos 1947 di Johor Bahru. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya pada tahun 1958. Seterusnya pada tahun 1970, beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Analitikal kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa pada 1978.

Setelah tamat pengajian, beliau bertugas sebagai penyelidik ekonomi di Pusat Latihan dan Penyelidikan Bank Pusat Asia Tenggara (South-East Asia Central Bank Training & Research Centre) pada tahun 1979 hingga 1984, kemudian dilantik sebagai Penolong Pengurus Jabatan Ekonomi di Bank Negara Malaysia. Dari tahun 1989 sehingga 1994 Tan Sri Zeti telah dihantar ke London sebagai Ketua Perwakilan di Pejabat Perwakilan Bank Negara Malaysia di London. Pada tahun 1994 pula, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia.


Tan Sri Zeti merupakan seorang yang amat komited dalam melaksanakan semua tugas yang diberikan kepadanya. Pelbagai jawatan yang dipegang menjadi bukti betapa kebolehan beliau dipercayai dan dikagumi oleh pelbagai pihak. Pada 1 September 1998, beliau telah dilantik sebagai Pemangku gabenor Bank Negara Malaysia. Pada ketika itu, negara sedang menghadapi kemuncak krisis kewangan dan beliau telah mengetuai pasukan yang ditubuhkan oleh Bank Negara bagi melaksanakan kawalan pertukaran terpilih. Pada 1 Mei 2000, Tan Sri telah dipilih sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh dan  mencatat nama sebagai wanita pertama dilantik dalam jawatan tersebut. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Bhd dari tahun 1998 sehingga 2000. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd sejak tahun 2004.

Hasil pentadbiran di Bank Negara, Malaysia berjaya menjalani pemulihan daripada krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia lebih pantas daripada yang dijangka. Kewangan negara kembali pulih seperti sedia kala di bawah pentadbiran beliau hasil pelbagai strategi berkesan yang beliau perkenalkan- memberi impak positif kepada sektor ekonomi dan kewangan. Kepakaran dan kewibawaan bukan hanya diiktiraf oleh kerajaan Malaysia bahkan juga oleh dunia kewangan antarabangsa.

 Di bawah pentadbirannya juga, perbankan islam giat dipromosi di Asia Barat. Beliau sendiri mengakui bahawa industri kewangan islam menawarkan pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan kewangan islam yang kompleks lagi canggih. Ketika bercakap dalam sidang kemuncak Kewangan Islam Tahunan ke -8, beliau menyatakan tentang perlunya untuk mengukuhkan kestabilan dan kedudukan sistem kewangan islam.

Diperingkat antarabangsa Tan Sri Dr Zeti Akhtar telah mendapat pengiktirafan sebagai Gabenor Bank Pusat yang terbaik di dunia. Beliau sering diberi penghormatan untuk diberi ucaptama di forum-forum kewangan antarabangsa sebagai wakil asia. Malah, kumpulan G7 turut memberi pengiktirafan kepada beliau apabila diundang untuk memberi taklimat mengenai perbankan Islam kepada pemimpin G7 di satu persidangan di Washington, Amerika Syarikat. Pada tahun 2003, beliau telah terpilih sebagai Gabenor Bank Pusat Terbaik Asia dalam satu pungutan suara di kalangan penganalisis kanan bank-bank seluruh dunia ketika Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di Dubai.

Pada tahun 2004, Banker's Magazine terbitan Financial Times:London telah menamakan Tan Sri Dr Zeti Akhtar sebagai penerima anugerah Global Central Banker of the year. Beliau terus meraih pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Gabenor Bank Pusat yang terbaik di Asia pada tahun 2008. Wang kertas terkini yang ditandatangani oleh Tan Sri Dr Zeti Akhtar.

2 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...