Halaman

Isnin, 31 Mac 2014

Tun Ismail Mohamed Ali


1918 - 1998

Keistimewaan yang dimiliki oleh Tun Ismail dikagumi oleh Tun Razak, sehinggakan beliau dianggap sebagai seorang tokoh tersohor dan ikon kewangan negara. Datuk Abdullah Ahmad, memanggil Tun Ismail dengan gelaran "a man of great integrity" kerana beliau telah berkhidmat dalam tempoh masa yang lama dan juga telah memberi sumbangan besar sebagai Gabenor Bank Negara. Sepanjang beliau memegang jawatan tertinggi itu, beliau telah mempekenalkan sistem kewangan yang telus, berakauntabiliti, berintegriti dan mempunyai sistem penyampaian yang berkesan.


Tun Ismail dilahirkan pada 16 September 1918 di Pelabuhan Klang, Selangor dan telah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu. Beliau kemudiannya meneruskan pengajiannya di Victoria Institution (VII) bermula pada tahun 1931 sehingga 1938. Selama menjadi pelajar VI, Tun Ismail merupakan pelajar yang popular dan aktif dalam pelbagai aktiviti dan permainan seperti bola sepak, hoki, badminton dan renang. Beliau juga menjadi pelajar yang terkenal dalam kelas bahasa latin.

Kepintaran dan kecerdasan minda yang dimiliki oleh Tun Ismail menyebabkan beliau mendapat tajaan Biasiswa Queens untuk menyambung pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Cambridge, salah sebuah Universiti berprestij dunia. Beliau meninba ilmu di Universiti tersebut selama empat tahun iaitu dari 1983 sehingga 1941.

Selepas perang kedua berakhir, Tun Ismail menyertai perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (1946), kemudian dilantik Penolong Setiausaha jabatan Ekonomi dan Perbendaharaan Pulau Pinang dan Penolong Pengarah di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Tun Ismail juga diberi jawatan bertaraf Menteri di Kedutaan Malaya, Washington D.C, Amerika Syarikat dari tahun 1957 sehingga 1960.


Beliau juga pernah menyandang jawatan pengarah eksekutif di Bank Pembangunan Antarabangsa di Amerika Syarikat. Pengalaman beliau bekerja dalam sektor perbankan di dalam dan luar negara menjadikan beliau seorang tokoh kewangan yang amat berpengetahuan tentang selok belok dalam bidang kewangan dan pengurusan yang menjadi darah dagingnya ini. Semua pengalaman berkaitan pengurusan kewangan, perbankan dan koporat yang beliau kuasai dijadikan tonggak untuk beliau memberikan perkhidmatan cemerlang kepada sektor kewangan negara.

Pada Julai 1962, Tun Ismail dilantik sebagai Gabenor Bank Negara kedua, dan telah berkhidmat selama 18 tahun iaitu sehingga Julai 1980. Tun Ismail telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai gabenor untuk tempoh masa yang agak panjang dan dalam tempoh tersebut, beliau telah memberi banyak sumbangan bermakna terhadap sistem perbankan negara.

Setelah bersara daripada jawatan Gabenor Bank Pusat, Tun Ismail meneruskan sumbang bakti beliau kepada negara dengan menjadi pengerusi untuk beberapa syarikat berkaitan kerajaan seperti MIDF, syarikat-syarikat dalam kumpulan Permodalan Nasioanl Berhad seperti SIME Darby dan Golden Hope Plantation Berhad. Beliau juga pernah dilantik menjadi Pro-canselor Universiti Kebangsaan Malaysia  (UKM) dan Ahli Lembaga Pengelola Victoria Institutions.

Beliau telah kembali kepada penciptanya pada 19 Julai 1998. Sesungguhnya pemergian Tun Ismail Mohamed Ali mengingatkan kita kepada seorang anak Malaysia yang berwibawa dan berjaya menetapkan satu standard kualiti sistem serta perkhidmatan yang begitu tinggi bagi memastikan kita berada pada landasan yang betul dan sentiasa dihormati. Diantara wang kertas Malaysia yang ditandatangani oleh tun Ismail Mohamed Ali semasa menjadi Gabenor Bank Negara (1962 - 1980)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...