Halaman

Jumaat, 7 Mac 2014

Professor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim

Professor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim

1916 - 1999
Professor Emeritus Tan Sri Datuk Ahmad Ibrahim adalah tokoh perundangan yang hebat, disegani dan diiktiraf bukan sahaja di Malaysia bahkan diperingkat antarabangsa. sumbangan dan idea-idea yang bernas menjadi asas kepada pemantapan sistem perundangan dan kehakiman negara terutamanya dalam memartabatkan sistem Mahkamah Sya'riah. Beliau dilahirkan pada 12 Mei 1916 di Singapura dan meninggal dunia pada tahun 1999 di gombak, ketika masih berkhidmat sebagai pakar rujuk undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM)


Beliau merupakan lulusan Kolej Raffles, Singapura yang kemudiannya melanjutkan pelajaran ke England di University Cambridge dalam bidang ekonomi dan perundangan. Demi kesungguhannya dalam menimba ilmu pengetahuan, beliau dapat menghabiskan pengajiannya dalam waktu yang dijangka malah dengan kelulusan Ijazah Kelas Pertama dalam bidang ekonomi dan undang-undang.

Kerjayanya di bidang Perundangan dan kehakiman bermula pada tahun 1955 dengan memegang jawatan sebagai Majistret dan Hakim Daerah. Pada tahun 1966, beliau menjadi Peguam Negara Singapura yang pertama setahun selepas memperoh Doktor Perundangan daripada Universiti Singapura. Beliau banyak menulis dan mengkaji mengenai perbandingan undang-undang sivil dan perundangan Islam. Keprihatinan beliau terdapat perundangan Islam terserlah apabila beliau sangat berminat untuk menaik taraf sistem perundangan Islam agar setaraf dengan Perundangan Sivil. Beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang sistem perundangan Islam dan meningkatkan pengurusan Mahkamah Syariah.

Ketika di Cambridge, beliau pernah memenangi hadiah George Long bagi undang-undang Rom dan mendapat biasiswa McMahon dalam pengajian undang-undang di Kolej St.John. Beliau juga berjaya memperoleh kepujian dalam peperiksaan Akhir Majlis Peguam. Beliau telah dilantik oleh kerajaan Singapura untuk merangka sistem pentadbiran perundangan Islam dan meningkatkan peranan Mahkamah Syariah. Mulai tahun 1969, Tan Sri Ahmad Ibrahim berhijrah ke Malaysia kerana mendapat tawaran bekerja sebagai Profesor kajian undang-undang di Fakulti Pentadbiran dan Ekonomi Universiti Malaya dan kemudian dilantik sebagai dekan Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya(UM). Setelah lama berkhidmat di UM akhirnya beliau dilantik sebagai Sheikh dan Dekan Kuliyyah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) pada tahun 1983.

Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim lahir dalam keluarga yang berpegang teguh terhadap agama Islam. Ayahnya, Mohamed Ibrahim seorang yang cukup arif dalam gerakan sosial Islam dan khidmat masyarakat di Singapura. Isteri beliau ialah Puan Sri Salmah Mohamed Tahir dan mereka dikurniakan 9 orang anak yang juga menceburi bidang akademik dan perundangan. Tan Sri Datuk Profesor Ahmad Ibrahim meninggal dunia kerana serangan sakit jantung pada usia 82 tahun di rumahnya pada 17 April 1999. Mulai dari tarikh tersebut, negara telah kehilangan seorang wira yang telah banyak memberi sumbangan dalam bidang perundangan.

Semasa hayatnya, beliau telah dikurniakan pingkat Johan Mangku Negara(J.M.N) daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1974. Pada tahun 1979, beliau dikurniakan pula Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara(D.M.P.N) oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk dan pada tahun yang sama juga diberi pengiktirafan dari kerajaan Pakistan apabila dianugerahkan pingat Muhammad Iqbal. Beliau mendapat gelaran Tan Sri setelah dianugerahkan pingat P.S.M oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong.

1 ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...