Halaman

Rabu, 29 Januari 2014

Tan Sri Muhyiddin Bin Mohd Yaasin

Tan Sri Muhyiddin Yaasin

1947
Beliau merupakan anak jati Pagoh, Muar Johor yang muncul sebagai tokoh UMNO yang progresif setelah menunjukkan kecemerlangan ketika menerajui Johor sebagai Menteri Besar. Apabila Dato' Sri Mohd Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau dipilih untuk berganding sebagai Timbalan Perdana Menteri dan turut memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran.

Sebaik sahaja menerajui Kementerian Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin telah melaksanakan 2 dasar yang penting iaitu memansuhkan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Ingeris bermula 2012 dan menggantikan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Ingeris. Disamping itu, semua calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) hanya dibenarkan mengambil 10 mata pelajaran bermula tahun 2010. Beliau juga mengumumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi(SBT) dan memberikan bantuan kewangan RM700000.00 bagi setiap sekolah yang terpilih.

Dilahirkan pada 15 Mei 1947, Tan Sri Muhyiddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani Muar dan kemudian di Sekolah Kebangsaan Ismail Muar. Beliau meneruskan zaman persekolahan di Sekolah Tinggi Muar yang terkenal sebelum mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya(UM) Kuala Lumpur dalam bidang ekonomi dan kajian Bahasa Melayu.


Sesuai dengan kecenderungan dalam bidang politik, anak kepada seorang ulama dan penceramah agama yang sangat dihormati di negeri Johor ini sangat suka membaca dan mempunyai pengetahuan yang luas. Sebelum menceburi bidang politik, Tan Sri Muhyiddin pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Setiausaha di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penolong Pegawai Daerah.

Kepimpinan beliau mula mendapat perhatian apabila dilantik sebagai ketua UMNO Pagoh pada tahun 1974. Beliau telah dilantik sebagai setiausaha Pemuda UMNO Johor pada tahun 1976 dan kemudiannya dipilih mengaggotai Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor. Selepas itu, beliau diberi tanggungjawab menyandang jawatan Ketua UMNO Johor dan dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada tahun 1986 sehingga 1995. Di bawah kepimpinan beliau, banyak bandar baru diwujudkan dan peluang pekerjaan bertambah sehingga melonjakkan Johor menjadi salah sebuah negeri termaju dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh pada masa itu meskipun ketika itu kemelesetan ekonomi global.


Antara projek pembangunan utama yang dilaksanakan semasa Johor di bawah teraju pentadbiran beliau adalah usaha menaik taraf Lapangan Terbang Senai, Memajukan Pelabuhan Tanjung Pelepas sehingga mampu menarik ramai pelabur dan bersaing dengan Singapura, menerajui pembangunan sistem telekomunikasi bernilai RM700 juta, menambah bidang Teknologi di UTM, membina perpustakaan Sultan Ismail dan membina Lebuhraya Link Ke-2 Johor-Singapura, sekaligus mewujudkan hubungan yang lebih erat dengan negara jiran itu. Beliau turut menaik taraf perkhidmatan kesihatan dengan membesarkan Hospital Sultanah Aminah, meluluskan penstrukturan Jabatan dan Majlis Agama Islam Johor, menggabungkan perusahaan kecil di peringkat kampung untuk menjadi industri dan kemuncak kejayaan beliau apabila Johor Bahru berjaya diistiharkan sebagai bandaraya pada 1 Januari 1994.

Diperingkat Persekutuan, pengalaman pentadbiran beliau diasah dan dipupuk dalam pelbagai kementerian, meliputi portfolio yang luas, antaranya beliau pernah menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Tan Sri Muhyiddin merupakan nadi utama dalam menjayakan SUKOM XIII yang mendapat pujian di kalangan negara Komenwel.


Kejatuhan beberapa buah negeri di semenanjung ke tangan pihak pembangkang semasa pilihanraya umum ke-12 tahun 2008 dilihat sebagai masa yang tepat untuk mengangkat Tan Sri Muhyiddin sebagai tokoh kanan kepada Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak. Pemilihan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia merupakan keputusan yang sangat wajar kerana pada ketika itu Dato' Sri Mohd Najib amat memerlukan barisan kepimpinan yang teguh, tegas dan kritis bagi membantu beliau menghadapi cabaran semasa di tengah gelombong politik Malaysia ketika itu.

Kemampuan dan kreativiti beliau yang tinggi diterjemah kepada hasil kerja cemerlang sehingga membolehkan setiap Kementerian yang diterajuinya menampilkan perubahan dan pembaharuan. Beliaulah yang mencanangkan slogan 'Pertanian Adalah Satu Perniagaan' semasa menjadi Menteri Pertanian bagi menyedarkan golongan belia agar mengubah mentaliti mereka menyertai bidang pertanian dan tidak hanya mengharapkan kerja makan gaji sahaja. Skim galakan Siswazah Tani juga dilancarkan dalam usaha menarik lepasan Universiti menceburi bidang keusahawanan tani dengan menggunakan teknologi moden.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...