Halaman

Jumaat, 31 Januari 2014

Tun Musa Hitam

Tun Musa Hitam

1934
Tun Musa Hitam merupakan antara nama besar dalam persada politik tanah air yang telah memberi kesan ketara kepada perkembangan lanskap politik ketika bergandingan dengan Tun Dr Mahathir. Beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri Kelima(1981-1986) dengan agenda memperkasakan ekonomi Melayu di bawah pelan rancangan Dasar Ekonomi Baru(DEB). Beliau juga terlibat merangka gerak kerja untuk membangunkan masyarakat luar bandar. Tun Musa Hitam amat dikenali sebagai seorang pemimpin yang bersifat pragmatik, berani, analitik dan berfikiran strategik. Pada zaman awal beliau bergandingan sebagai Timbalan Perdana Menteri, rakyat Malaysia amat yakin dengan kestabilan politik yang dibina oleh kedua-dua kepimpinan tertinggi itu.


Pada era Tun Musa Hitam memegang tampuk kepimpinan sebagai Timbalan Perdana Menteri, negara berhadapan dengan cabaran kumpulan ekstremis agama yang ditandai dengan peristiwa hitam Mamali. Tun Musa Hitam yang pada ketika itu juga merupakan Menteri Dalam Negeri telah diamanahkan oleh Tun Dr.Mahathir untuk menangani gerakan tersebut dan berjaya menyekat gelombang cabaran aliran fahaman sedemikian. Namun sifat berani, analitik dan strategik Tun Musa Hitam juga telah menyebabkan beliau amat kritis kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhirnya beliau bertindak meletak jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sejak peristiwa tersebut, Tun Musa Hitam telah menjauhi dunia politik.

Walaupun tidak lagi terlibat dalam perjuangan membela nasib rakyat secara langsung melalui wacana siasah beliau yang dikagumi ramai, Tun Musa Hitam tetap aktif menyumbang tenaga demi pertiwi tercinta. Beliau seringkali menyuarakan hak kebebasan bersuara dan mencetuskan kesedaran orang ramai tentang hak asasi manusia apabila dilantik sebagai Ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(SUHAKAM) dari tahun 1999 hingga 2000.


Tun Musa berasal dari Segamat, Johor dan pendidikan awal beliau bermula di Maktab Sultan Abu Bakar sebelum menamatkan pengajian ijazah di Universiti Malaya. Semasa bergelar penuntut, beliau bergiat aktif dalam politik kampus sehingga dilantik sebagai setiausaha bagi benua Asia untuk sekretariat mahasiswa antarabangsa dalam mesyuarat di Lagos. Dilahirkan dari keluarga rakyat biasa dan mencapai kegemilangan setelah menempuh pelbagai liku hidup hinggalah menjadi Menteri Pelajaran dan seterusnya ke kemuncak kerjayanya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kepakarannya dalam bidang politik antarabangsa telah menarik minat kerajaan sehingga melantik beliau memegang pelbagai jawatan di peringkat antarabangsa, antaranya Pengerusi Persatuan Parlimen Komanwel, Ahli Lembaga UNESCO, Ketua Perwakilan Pemerhati Komanwel untuk pilihan raya umum Malawi serta Ahli Perwakilan Menteri Komanwel ke Nigeria, Pakistan, Fiji dan Gambia.

Pada tahun 1960-an, Musa dilantik menjadi Pemangku Setiausaha Agung UMNO. Beliau diangkat menjadi Ahli Parlimen buat pertama kali pada tahun 1969 dan berkhidmat sebagai Timbalan Menteri sebelum beliau menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Hubungan Politik Antarabangsa di Universiti Sussex,UK. Apabila kembali ke Malaysia pada tahun 1971, beliau kembali aktif berpolitik, apabila dilantik sebagai Timbalan Whip Parlimen untuk Parti Perikatan dan dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau turut dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada 1978. Pada tahun 1981, Tun Musa terpilih sebagai Timbalan Presiden UMNO, seterusnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Sebelum menjawat kerusi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada 1981-1986, Tun Musa telah menjawat beberapa jawatan dalam kerajaan seperti Pengerusi FELDA, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Menteri Pendidikan(1978-1981).


Ibarat kata perpatah, "Air dicincang takkan putus" walaupun menyepi seketika selepas meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1986, namun hubungan beliau dengan Tun Dr.Mahathir kembali bertaut apabila Tun Musa menerima pelantikan sebagai Utusan Khas Malaysia untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) pada tahun 1990-1991 dan sekali lagi pada tahun 1995. Tun Musa juga pernah menjadi utusan Khas Perdana Menteri untuk Kumpulan Bertindak Peringkat Menteri Komanwel(CMAG) dan juga mengetuai perwakilan Malaysia untuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB(UNCHR) dari 1993 hingga 1998, dan dipilih sebagai Pengerusi Sesi Ke-52 untuk Suruhanjaya tersebut pada tahun 1995.

Walaupun telah bersara dari arena politik tempatan, Tun Musa Hitam masih tetap bersedia menabur bakti kepada negara melalui Badan-Badan NGO dan syarikat-syarikat multinasional. Ini terbukti dengan pelantikannya sebagai pengerusi Sime Darby dari tahun 2007 sehingga 2009.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...