Halaman

Sabtu, 25 Januari 2014

Tokoh : Tun Abdullah Ahmad Badawi

Tun Abdullah Ahmad Badawi

Bapa Pembangunan Modal Insan
1939

Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima pada 31 Oktober 2003 dan lebih dikenali dengan konsep Islam Hadhari. Beliau dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas Pulau Pinang. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, beliau seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Pendidikan Islam.

Tun Abdullah bukan sahaja dilihat sebagai pemimpin Islamik dan serdahana, malah merupakan satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang mempunyai latar belakang pendidikan Islam. Kecenderungan Tun Abdullah dalam pendekatan berasaskan Islam bukan sahaja sesuatu yang asing kerana beliau adalah cucu kepada tokoh agama terkenal di Pulau Pinang iaitu Hj Abdullah Fahim.

Tun Abdullah menerapkan pemikiran tentang Islam sebagai cara hidup yang sentiasa sesuai untuk seluruh umat manusia melalui gagasan Islam Hadhari yang memfokus terhadap Islam yang menolak sama sekali aktiviti keganasan. Selain itu, penekanan terhadap gagasan ini dilihat semakin mendesak berikutan persepsi buruk dan tekanan hebat yang diberi oleh pihak barat terhadap umat Islam selepas berlakunya Peristiwa 9/11.

Tun Abdullah merupakan seorang yang cukup pengalaman dalam pentadbiran kerajaan kerana pernah berkhidmat dalam sektor awam dalam suatu jangka waktu yang lama.  Justeru beliau mempunyai pemahaman dalam selok belok pentadbiran dengan secukupnya. Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha MAGERAN di zaman pentadbiran zaman dan menjadi Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung(GPMS) pada tahun 1961 dan 1946.


Semasa menerajui pentadbiran negara, beliau telah melaksanakan pendekatan berdialog dan kerjasama dalam merintis permuafakatan yang seterusnya menjana imej sebagai pemimpin yang pragmatik. Lawatan keAmerika Syarikat, Perancis, Britain mengambarkan penerimaan kuasa-kuasa besar ke atas kepimpinan beliau. Ini terbukti dengan ucapan sulungnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu pada September 2004 telah meninggalkan dampak positif berhubung penerimaan antarabangsa terhadap dasar politiknya.

Beliau juga bertanggungjawab menaik taraf Badan Pencegah Rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dengan tekad dan komitmen untuk memerangi amalan rasuah bukan sahaja di kalangan penjawat awam malah turut meliputi kakitangan swasta. Usaha menghapuskan gejala rasuah telah menjadi antara agenda utama dalam pentadbiran beliau. SPRM telah diberikan kuasa yang lebih meluas serta memiliki saluran meluas bagi membolehkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Penubuhan Institut Etika Awam dan Akedemi Pembanterasan Rasuah di peringkat serantau memperlihatkan kesungguhan beliau dalam menangani isu rasuah yang dilihat berpotensi menjadi barah yang menular mengancam kemakmuran negara.

Tun Abdullah juga telah menggerakkan beberapa pembaharuan ketika menerajui pentadbiran kerajaan. Antara yang paling dirasai ialah pelancaran Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) yang memberi impak besar terhadap usaha memperkasakan sekolah kebangsaan, menaik taraf sekolah-sekolah agama negeri, menyamaratakan peluang pendidikan, meningkatkan kebajikan guru, mendorong peningkatan profesion perguruan setaraf dengan bidang profesional lain dan menggalakkan pembangunan negara sebagai hub pendidikan serantau dan global. Langkah ini berjaya mewujudkan satu sumber pendapatan negara selain sektor sedia ada.

Tun Abdullah

Semangat untuk memajukan masyarakat bumiputera di kawasan pendalaman serta memberi peluang pekerjaan di daerah kelahiran mereka telah mencetuskan ilham kepada beliau untuk menjalankan projek mega yang melibatkan lima koridor pembangunan dengan tujuan untuk mengagihkan kekayaan dan kemajuan ekonomi secara sama rata di koridor tersebut. Kawasan koridor tersebut dikenali sebagai Koridor Pembangunan Sabah, Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak(SCORE), Koridor Pembangunan Pantai Timur(ECER), Koridor Wilayah Pembangunan  Utara(NCER) dan Wilayah Pembangunan Iskandar (Johor).

Semasa menyandang jawatan Perdana Menteri, Tun Abdullah telah dilantik sebagai pengerusi Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan pertubuhan Negara-Negara Islam(OIC). Bermula dari 2005, beliau juga telah dilantik sebagai pengerusi ASEAN. Ketrampilan beliau yang sederhana dan bersahaja, menyebabkan beliau mudah didekati dan cepat mesra, malahan rakyat jelata tanpa rasa segan memanggil beliau sebagai 'Pak Lah'. Beliau sering mengadakan lawatan mengejut ke pejabat-pejabat kerajaan untuk memastikan 'delivery-system' ataupun sistem penyampaian perkhidmatan, berjalan dengan efektif. Beliau sentiasa berpegang kepada falsafah menggagap rakyat, pegawai kerajaan, pemimpin masyarakat, dan pemimpin politik sebagai rakan dalam menjayakan cita-cita bangsa. 'Bekerja bersama-sama dengan saya dan bukan untuk saya' slogan 'Cemerlang,Gemilang dan Terbilang' sering diungkapkan oleh beliau. Setelah bersara, beliau dilantik untuk menerajui IKIM sehingga kini.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...