Halaman

Rabu, 22 Januari 2014

Tokoh : Tun Abdul Razak Bin Hussein

Tun Abdul Razak Bin Hussein

Tun Abdul Razak Bin Hussein telah memperkenalkan "Dasar Ekonomi Baru"(DEB) yang bertujuan untuk mengurangkan secara drastik jurang perbezaan ekonomi antara kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera Malaysia. Tujuannya adalah untuk membasmi kemiskinan yang seterusnya mewujudkan keseimbangan ekonomi di kalangan masyarakat berbilang kaum sebagai agenda utama negara.

Tun Abdul Razak mengilhamkan penubuhan Perbadanan Pembangunan Tanah Persekutuan(FELDA) yang diamanahkan untuk bertanggungjawab terhadap program Pembukaan Tanah Rancangan yang menjadi pemangkin kepada usaha membasmi kemiskinan tegar di kalangan penduduk Malaysia khususnya orang Melayu yang telah sekian lama tertinggal daripada arus pembangunan. Tugas utama FELDA adalah sebagai agensi pelaksana agenda nasional ini telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang berjaya menguruskan kemiskinan rakyatnya secara tersusun dan berwawasan.

Tun Abdul Razak yakin bahawa kemajuan boleh dikecapi jika rakyat berpendidikan dan bersatu sebagai warga sebuah negara. Oleh sebab itu, ketika mengetui Jawatankuasa Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan setahun sebelum negara mencapai kemerdekaan, beliau telah merencanakan Laporan Razak yang menjadi asas kepada Sistem Pelajaran Kebangsaan. Laporan Razak mengantikan Penyata Barnes yang hanya memberi tumpuan kepada pendidikan menengah di bandar-bandar telah dikeluarkan pada 1950. Laporan ini penting sebagai garis panduan pendidikan negara yang diaktifkan sebagai Ordinan Pelajaran 1957.

Beliau dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan Pahang pada 11 Mac 1922 merupakan seorang putera sulung kepada Dato' Hussein Bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah Binti Daud ini telah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kg. Jambu. Apabila tamat pendidikan peringkat rendah, beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan seterusnya di Raffles College Singapore(RSC). Beliau telah memilih bidanng perundangan dan menamatkan pengajian di Lincoln's Inn, London dalam masa 18 bulan sahaja. Semasa di London beliau merupakan seorang pelajar yang terpilih sebagai 'King's Scholar'.

Walau bagaimanapun, semua aktiviti pembelajaran beliau terhenti dari tahun 1943 hingga 1945 berikutan berlakunya Perang Dunia Kedua. Dasar Imperialisme Jepun yang diasaskan atas slogan 'Asia For Asian' telah menbawa benua Asia khususnya rantau Asia Pasifik ke kancah peperangan yang besar. Seluruh Tanah Melayu tidak ketinggalan merasai kesannya secara langsung apabila dijajah oleh tentera Jepun. Tun Abdul Razak menganggotai pasukan bersenjata Force 136 yang ditubuhkan oleh British untuk menentang Jepun.

Selepas Perang Dunia Kedua tamat, Tun Abdul Razak kembali ke England untuk menyambung semula pengajiannya. Beliau telah berhenti belajar apabila ayahnya kembali ke rahmatullah pada bulan April 1950 dan Tun Abdul Razak telah berkhidmat dengan kerajaan Pahang sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri. Selepas 2 tahun berkhidmat, beliau dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan seterusnya diangkat sebagai Menteri Besar Pahang paling muda ketika berusia 33 tahun.

Keramahan Tun Abdul Razak

Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dari tarikh negara Merdeka sehingga tahun 1970 dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri pada usia 48 tahun. Antara kejayaan penting yang beliau tempa adalah menamatkan konfrontasi dengan negara jiran serumpun, Indonesia dan menyumbang idea sehingga membolehkan Dialog Selatan-Selatan diwujudkan. Zaman pentadbiran Tun Razak juga menyaksikan dasar luar negara berubah daripada dasar Pro-Barat pada zaman Tunku kepada dasar berbaik-baik dengan semua negara. Beliau telah merintis persahabatan pada tahun 1974 dan menjadi pemimpin pertama rantau ini dalam menghulurkan persahabatan dengan negara China ketika negara lain bersikap dingin dengan negara tersebut akibat dasar tutup pintu yang diamalkan selama ini. Perbincangan telah diadakan dengan Ketua Negaranya, Mao Zedong serta Perdana Menteri, Zao Enlai.

Untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan program pembangunan yang dirangka, Tun Abdul Razak melaksanakan strategi beliau dengan sistematik dan penuh ketelitian melalui wujudnya 'Bilik Gerakan' bagi memantau setiap perkembangan yang berlaku. Selain itu, beliau menggunakan pelbagai agensi kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat pendalaman.

RISDA, FELDA, MARA

Tun Abdul Razak adalah pemimpin yang bertanggungjawab mempersiapkan platform yang teguh untuk negara ini menenpa kemajuan dalam jangka masa panjang. Wawasan beliau telah meninggalkan legasi yang tidak ternilai untuk kita semua. RISDA, MAS, PETRONAS, MARA, FELDA, PERNAS, UDA, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan dan Dasar Pembangunan Luar Bandar adalah antara pembaharuan yang diilhamkan dalam usaha beliau memastikan matlamat keseimbangan sosial di negara ini menjadi kenyataan. Malah Projek Lebuhraya Utara-Selatan yang menjadi pemangkin perhubungan serta pembangunan negara juga hasil perancangan beliau.

Dalam memupuk perpaduan antara kaum, Tun Abdul Razak telah melancarkan 'RukunNegara' pada 31 Ogos 1970. Rukun Negara merupakan ideologi kebangsaan yang mengandungi iltizam murni ke arah membentuk sebuah masyarakat dan negara Malaysia yang demokratik, adil, saksama, liberal dan progresif. Kepimpinan Tun Abdul Razak adalah era revolusi mental yang menampilkan falsafah budaya, sosial, politik, pendidikan dan ekonomi. Justeru, tidak hairanlah Tun Abdul Razak digelar sebagai 'Bapa Pembangunan Malaysia'.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...