Halaman

Ahad, 26 Januari 2014

Tokoh : Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak 

Dato' Sri Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia keenam, adalah putera sulung kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia Kedua. Sebaik sahaja mengambil alih kepimpinan negara pada tahun 2009, Dato' Sri Najib telah membuka dimensi baru dalam paradigma Melayu melalui istilah "Melayu Glokal" bagi membangkitkan semangat daya saing yang sihat di kalangan penduduk berbangsa Melayu di Malaysia untuk mencapai kegemilangan hingga ke peringkat global.

Dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang pada 23 Julai 1953, Dato' Sri Najib menerima pendidikan awal di St.John Institution, Kuala Lumpur. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Malvern di Worchestershire di England dan selepas itu melanjutkan pelajaran tinggi di Universiti Nottingham dalam bidang ekonomi industri. Beliau menamatkan pengajiannya pada tahun 1974.

Kerjaya politik beliau dalam UMNO bermula dengan menerajui Ketua Pemuda Bahagian Pekan dan ahli exco pemuda UMNO pada tahun 1976. Daya kepimpinan dan pemikirannya yang proaktif menonjolkan beliau sebagai pemimpin pelapis UMNO yang penuh karisma sehingga membolehkan beliau memenagi jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO sejak tahun 1981. Setelah Datuk Mokhtar Hashim  mengosongkan jawatan Naib Pemuda UMNO, beliau mengisi kekosongan jawatan itu.

Kualiti kepimpinan Dato' Sri Najib telah teruji sejak zaman mudanya lagi apabila dilantik menerajui Kerajaan Negeri Pahang sebagai Menteri Besar pada usia 29 tahun. Menteri Besar termuda dalam sejarah politik negara kita. Beliau juga telah dipilih oleh rakyat sebagai Ahli Parlimen Pekan pada usia 23 tahun bagi menggantikan tempat ayahandanya. Kerusi parlimen itu kekal dipegang oleh beliau sehingga kini.

Pada usia 30-an beliau telah menjadi Menteri Kabinet penuh selepas menjadi Menteri Besar Pahang selama 4 tahun. Portfolio pertama yang beliau pegang adalah sebagai Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1986. Di bawah kepimpinannya, Malaysia berjaya memperoleh pencapaian terbaik dalam Sukan Asia Tenggara(Sukan SEA). Beliau memperkenalkan Dasar Sukan Negara yang menggariskan pembangunan sukan dan memperkenalkan ganjaran insentif kepada atlet yang memenangi pingat di Sukan Olimpik.

Bersama keluarganya

Sewaktu menyandang jawtaan Menteri Pertahanan pada tahun 1990, beliau telah mengambil langkah untuk memodenkan Angkatan Tentera Malaysia melalui peningkatan keupayaan, pemerolehan dan latihan strategik. Usaha pemodenan ini menyaksikan Malaysia memperoleh aset-aset terkini untuk seluruh pasukan bersenjata negara seperti pesawat pejuang MiG 29, F-18 Super Hormet, Kapal Frigate F-2000 dan artileri 155mm. Beliau juga meningkatkan kualiti kehidupan anggota tentera dengan memperbaiki pelbagai kemudahan asas mereka seperti menyediakan perumahan yang lebih berkualiti dan meningkatkan elaun sara hidup untuk seluruh pasukan keselamatan negara.

Setelah itui, Dato' Sri Najib diberi portfolio yang penting iaitu sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1995. Di bawah terajunya, sistem pendidikan negara mengalami perubahan besar termasuk memperkenalkan Akta Pelajaran 1996. Keprihatinan  beliau terhadap warga pendidik terserlah dan beliau mengambil langkah-langkah penting untuk memajukan pendidikan negara. Antara langkah yang dilaksanakan adalah penubuhan Kolej Komuniti di setiap kawasan Parlimen, meluluskan peruntukkan untuk pembinaan SJKC dan SJKT yang baru serta mempercepatkan langkah pembestarian sekolah melalui penerapan ICT dalam pengajian dan pembelajaran. Beliau turut mengumumkan kenaikan taraf Sijil Perguruan kepada Diploma Pendidikan untuk guru terlatih lepasan Maktab Perguruan.

Sebaik sahaja menyandang jawatan Presiden UMNO yang ketujuh selepas pengunduran Tun Abdullah Ahmad Badawi secara rasmi pada 3 April 2009, Dato' Sri Najib telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Serentak dengan itu, beliau mengumumkan gagasan 'Satu Malaysia' sebagai agenda nasional, meneruskan agenda perpaduan kaum Almarhum Ayahandanya dan bapa saudaranya, Tun Hussein Onn. Kepelbagaian portfolio yang beliau sandang sebelum menjawat jawatan kepimpinan tertinggi politik negara telah mematangkan pemikiran dan pendekatan beliau dalam bidang politik, khususnya dalam menangani pelbagai karenah dan keperluan dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

Gagasan 'Satu Malaysia' yang diperkenalkan adalah satu justifikasi bagi mengiktiraf peranan semua kaum dalam membina negara dan membangunkan bangsa tanpa membezakan keturunan, agama dan latar belakang dengan menitikberatkan semangat kecintaan terhadap negara. Beliau juga telah mengistiharkan Biasiswa Nasional untuk memberi tajaan pendidikan kepada pelajar cemerlang dalam kalangan semua kaum.


Dato' Sri Najib menarik perhatian antarabangsa apabila menyampaikan ucapan yang bernas semasa menghadiri Sidang Kemuncak Ekonomi di Davos, Switzerland. Dalam ucapan tersebut beliau menjelaskan perbezaan antara ekstrimis dangan pengganas yang sering menjadi senjata media barat menyerang umat Islam di seluruh Dunia. Beliau juga merasakan sudah sampai masanya pihak Barat memberi layanan yang lebih adil kepada umat Islam kerana selepas peristiwa 9/11 umat islam sering menjadi sasaran sikap prejudis barat.

Dalam pada itu, beliau juga telah memperkenalkan Program Tranformasi Nasional (NTP) yang merangkumi transformasi menyeluruh keatas 2 sektor utama di negara ini untuk melonjakkan ke suatu tahap yang lebih tinggi - misi nasional merealisasikan Wawasan 2020 untuk Malaysia mencapai status negara maju sepenuhnya. Kedua-dua teras utama yang terkandung di dalam NTP ini meliputi Program Transformasi Kerajaan(GTP) dan Program Transformasi Ekonomi(ETP).

Melalui GTP, kerajaan telah memperkenalkan 6 bidang utama yang merangkumi, Bidang Keputusan Utama Nasional iaitu mengurangkan jenayah, membenteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan pendapatan isi rumah bagi keluarga yang berpendapatan rendah, memperbaiki infrastruktur di luar bandar dan mempertingkatkan keupayaan pengangkutan di bandar.

Bagi bidang yang tidak meliputi di dalam kenam-enam NKRA ini, Dato' Sri Najib meletakkan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA) di mana setiap kementerian perlu memberi perhatian kepada isu-isu semasa dan mempertingkatkan prestasi masing-masing. Kemajuan yang dicapai oleh setiap Kementerian adalah menjadi tanggungjawab langsung menteri-menterinya dengan memastikan ia memberi kesan langsung yang dapat dirasai oleh rakyat seperti kepantasan bertindak balas dalam menangani aduan rakyat dna mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

Satu Malaysia


Serentak dengan pengenalan MKRA ini, Indek Prestasi Utama(KPI) Kementerian turut diperkenalkan bagi memastikan setiap kementerian berusaha mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Perkembangan dan keputusan yang terhasil perlu dilaporkan dari semasa ke semasa untuk memastikan ketelusan sentiasa diberi perhatian. Sementara itu, ETP pula menggariskan wawasan Dato' Sri Najib mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi melalui 12 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) yang telah dikenal pasti sebagai aktiviti ekonomi teras yang mempu menjadi pemangkin atau pemacu kepada petumbuhan ekonomi Malaysia. Dua belas bidang uatama penjana ekonomi tersebut ialah minyak, Gas dan Tenaga, Kelapa Sawit, Perkhidmatan Kewangan, Pelancongan, Perkhidmatan Perniagaan, Elektronik dan Elektrikal, Perniagaan Borong dan Runcit, Pendidikan, Penjagaan Kesihatan, Kandungan dan Infrastruktur Komunikasi, Pertanian dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang. Walau bagaimanapun, pelbagai bidang baru yang didapati berpontensi akan ditambah ke dalam NKEA ini setelah pemerhatian dan kajian terperinci dilakukan dari semasa ke semasa.

Kebolehan beliau mengilhamkan garapan pelbagai perancangan yang menyentuh agenda nasional ini jelas memperlihatkan kematangan Dato' Sri Najib memimpin negara. Berbanding Almarhum Tun Abdul Razak yang kelihatan lebih bersahaja, diam namun penuh bertenaga. Dato' Sri Najib lebih vokal dan menjelaskan hasrat beliau ingin menyambung usaha yang telah dipelopori oleh para pemimpin terdahulu termasuk agenda ekonomi dan  pembangunan ayahanda beliau yang tercinta. Pengalaman yang beliau timba dalam dunia politik tanah air sejak tahun 1970-an mengajar beliau tentang perlunya menyediakan sebuah pelan induk yang komprehensif untuk menerajui negara melangkah menuju ke arah masa depan yang gemilang.

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...