Halaman

Selasa, 28 Januari 2014

Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohd Noah

Tun Hajah Rahah

1933
Tun Hajah Rahah, isteri Perdana Menteri kedua merupakan seorang srikandi negara yang banyak berjasa. Beliau adalah puteri kepada Allahyarham Tan Sri Haji Mohamamad Noah Omar, seorang ahli politik negara. Tun Hajah Rahah banyak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dari ayahnya tentang selok-belok politik hasil pengalaman luasnya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara.

Nama Tun Rahah begitu sinonim dengan kejayaan suaminya, Tun Abdul Razak sebagai arkitek pembangunan negara. Benarlah jika dikatakan di sebalik kejayaan seorang lelaki pastinya terdapat seorang wanita yang menjadi semangat dan pendorong. Beliau banyak memberi semangat dan perangsang kepaad suaminya terutama ketika menghadapi peristiwa Darurat di Tanah Melayu dan rusuhan kaum pada tahun 1969. Tun Rahah bergiat aktif dalam pergerakan kaum ibu UMNO dan terlibat dengan pergerakan wanita UMNO Petaling Jaya. Beliau juga cenderung dengan kerja-kerja kebajikan khususnya yang memberi faedah kepada kaum wanita. Tun Rahah juga menjadi pengasas pergerakan wanita UMNO Petaling Jaya. Beliau adalah penuang PERTIWI yang pertama, iaitu sejak tahun 1969 hingga tahun 1976. Beliau turut dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Restoran Rakyat dan Canselor Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR). Tun Rahah telah dianugerahkan pingat emas Tun Fatimah daripada NCWO pada tahun 1976.

Nama Tun Rahah tidak asing lagi di kalangan pemimpin tertinggi wanita seluruh dunia. Tun Rahah amat dikenali kerana sikapnya yang lemah lembut, bersifat keibuan dan cepat mesra. Beliau menerima lantikan sebagai Canselor UNITAR dan telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Falsafah Pendidikan dari Universiti Utara Malaysia(UUM) sewaktu Majlis Konvokesyen Kali ke-22.


Menyingkap kembali sejarah kehidupannya, pada 4 September 1952, sebaik sahaja meninggalkan Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Johor Bahru ketika berusia 19 tahun, beliau telah berkahwin dengan Datuk Abdul Razak yang ketika itu berusia 30 tahun dan sedang berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan 5 orang putera iaitu Mohd Najib(Ahli Politik), Ahmad Johari(Peguam), Mohamad Nizam(Kewangan), Mohamad Nazim(Arkitek) dan Mohd Nazir(Kewangan).

Kekentalan semangat beliau dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi menjadikan beliau seorang teman seperjuangan yang setia dan bertanggungjawab. Sifatnya yang lemah-lembut, sederhana dan bersahaja adalah rahsia utama yang menyebabkan beliau disenangi oleh masyarakat di kampung dan bandar. Sifatnya yang sederhana itu banyak membantu meningkatkan populariti Tun Abdul Razak  sebagai seorang pemimpin negara yang disegani. Beliau juga memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihanraya, berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran perkumpulan wanita.


Tun Hajah Rahah telah membuktikan bahawa golongan wanita juga mampu memberi sumbangan yang berkesan kepad pembangunan negara. Ini terbukti apabila Tun Rahah bukan sahaja telah menjadi pasangan setia kepada pemimpin tersohor negara, malah beliau juga telah melahirkan seorang putera yang memegang tampuk tertinggi pentadbiran negara iaitu Dato' Sri Mohd Najib, Perdana Menteri Malaysia ke-6. Disamping itu beliau juga sentiasa mengingatkan kaum wanita agar melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai kegiatan khususnya untuk memajukan kaum wanita di samping memberi sumbangan dan khidmat bakti untuk negara.


Keluarga Tun Abdul Razak


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...