Halaman

Isnin, 27 Januari 2014

Tokoh : Dato Onn Jaafar

Dato' Onn Jaafar

Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu tamat apabila pemerintahan tentera Jepun, Jeneral Itokagi menandatangani surat rasmi peletakan senjata kepada pihak berikat yang diwakili oleh Pemerintah Tentera Tertinggi British, Lord Luis Mountbattern, di bangunan perbandaran  Singapura pada 12 September 1945.

Tiga hari selepas itu, angkatan tentera British tiba di Singapura dan mengistiharkan bahawa seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura, terletak di bawah British Military Administration(BMA) menyebabkan berlaku kelompongan pemerintahan khususnya di Tanah Melayu. Peluang tersebut telah diambil oleh pasukan bersenjata Malayan People Anti Japanese Army(MPAJA) yang sebahagian besarnya dianggotai oleh kaum cina yang berfahaman komunis mengambil alih pemerintahan negara selama 14 hari dan melaksanakan langkah pembersihan terhadap pembelot yang didakwa bersekongkol dengan penjajah Jepun sebelum itu.

Kekelutan, kegemparan dan perpecahan yang menyusul dalam tempoh beberapa bulan selepas itu, British melalui wakilnya, Harold Mac Micheal tiba ke Tanah Melayu pada 11 Oktober 1945 untuk mengumumkan penubuhan Malayan Union yang menular status negeri ini sebagai wilayah jajahan langsung British. Melalui paksaan dan ugutan, Mac Micheal berjaya mendapatkan tandatangan persetujuan daripada semua Raja Melayu dalam tempoh dua bulan sahaja bermula dengan Sultan Ibrahim, Johor pada 20 Oktober dan yang terakhir Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu pada 21 Disember 1945.

Pada saat-saat Melayu terumbang-ambing tidak berhaluan, Dato' Onn Jaafar Pegawai Daerah Batu Pahat, yang juga anak angkat kepada Baginda Sultan Johor tampil ke hadapan penuh keberanian, tanpa teragak-agak mempersoalkan pendirian Baginda Sultan Johor menandatangani surat persetujuan memberi kuasa kepada Malayan Union itu melalui kritikan pedas yang disiarkan di dalam bahasa Melayu yang paling berpengaruh ketika itu, Malah, beliau menghubungi para pemimpin Melayu di negeri-negeri lain supaya bersama-sama membantah melalui rapat umum. Pemimpin orang Melayu seperti Zainal Abidin Ahmad(Za'aba), Tunku Abdul Rahman Putra yang ketika itu merupakan Pegawai Daerah kulim, Datuk Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz(Menteri Besar Perak) dan Tan Sri Nik Ahmad Kamil Nik Mahmood(Menteri Besar Kelantan), mengatur rapat umum diseluruh negara bermula dengan Alor Setar pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra pada 19 Januari 1946 yang telah dihadiri oleh kira-kira 50000 orang. Rapat umum seturusnya berlangsung di Kota Bharu, Batu Pahat, Ipoh dan Negeri Sembilan membei gambaran kepada British bahawa Tanah Melayu tidak lagi seperti sebelumnya tetapi telah mempunyai seorang pemimpin berwibawa yang boleh menggalas harapan mereka.

UMNO

Melalui akhbar Majlis juga Dato' Onn tidak kenal erti jemu menyeru supaya orang Melayu hadir ke rapat umum terbesar yang dikenali sebagai Kongres Melayu Semalaya bagi menggembleng perpaduan agar tidak lagi dipandang remeh oleh penjajah. Kongres ini yang dihadiri oleh 42 persatuan, pertubuhan dan pergerakan orang Melayu dari seluruh semenanjung telah berlangsung pada 1 hingga 4 Mac 1946 di Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur di mana Dato' Onn dengan semangat membara menuntut semua yang turut serta pada hari itu bersatu dibawah payung sebuah parti politik untuk memastikan suara mereka diberi perhatian oleh pihak British. Di perhimpunan ini jugalah persetujuan dicapai untuk menubuhkan sebuah gerakan yang akan membela kepentingan orang Melayu di Negara yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersekutu(United Malay National Organisation-UMNO) dan para delegasi telah sebulat suara memilih Dato' Onn sebagai Yang Dipertuanya yang pertama.

Melalui Kongres ini Dato' Onn menangani 2 permasalahan besar yang dihadapi oleh orang-orang Melayu ketika itu. Pertama bersatu suara menentang penubuhan Malayan Union dan kedua untuk mengeluarkan satu resolusi mengingatkan agar orang Melayu tidak terpengaruh dengan ajaran komunis yang berpura-pura ingin bersama-sama mengangkat senjata untuk memerdekakan negeri ini sebaliknya perjuangan komunis adalah untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai sebahagian daripada tanah jajahan takluk komunis antarabangsa.

Perpaduan yang terbukti mendorong Dato' Onn bersama-sama tiga orang sahabat, Datuk Panglima Bukit Gantang, Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan Dato' Hamzah Abdullah(Menteri Besar Selangor) menceroboh masuk ke Hotel Station(Selepas itu dikenali sebagai Majestic Hotel) Kuala Lumpur bagi menghalang kesemua Raja Melayu daripada pergi menghadiri upacara perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union yang pertama di Rumah Persekutuan pada 1 April.

Dato' Onn seterusnya mencadangkan agar orang bukan Melayu dibenarkan menyertai UMNO untuk membentuk satu bangsa tanpa sebarang prejudis kaum dengan ahli daripada kaum lain diberi keahlian bersekutu sahaja dengan hak untuk mengundi pemimpin dikalangan mereka, sementara hak untuk mengundi pemimpin tertinggi masih dipegang oleh orang Melayu. Saranan ini jelas menunjukkan betapa beliau memiliki pemikiran yang jauh sehingga melampaui zamannya. Walau bagaimanapun, masyarakat Melayu belum boleh menerima pendapat itu yang pada pandangan umum akan mengugat kedudukan orang Melayu sebagai suara dominan di dalam parti. Apabila cadangan untuk menyatukan kaum-kaum di bawah UMNO ditolak, Dato' Onn telah meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua UMNO pada tahun 1951 dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya(IMP) yang berasaskan kepelbagaian kaum. Hanya selepas 23 tahun, barulah saranan tersebut direalisasikan oleh kerajaan melalui penggabungan parti-parti dalam Barisan Nasional.


Dilahirkan di Bukit Gambir, Muar Johor pada 12 Februari 1895, Dato' Onn Jaafar merupakan anak kepada Menteri Besar Johor yang pertama iaitu Datuk Jaafar bin Haji Muhammad, jawatan yang turut beliau sandang apabila dewasa. Beliau merupakan kerabat Istana dan pernah dijaga oleh Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar sebagai anak angkat. Bondanya yang dikasihi Ruqayah telah meninggal dunia ketika beliau berusia 7 tahun, ketika berusia 8 tahun, beliau telah melanjutkan pelajaran di Alderburgh Lodge School, Suffolk England bersama-sama putera Sultan Johor. Pada 1910 sehingga 1911, beliau telah dihantar pula menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Pengalaman dan pengetahuan luas beliau menjalani kehidupan dan bekerja di kalangan orang Inggeris, golongan kerabat Diraja, pegawai Jepun dan rakyat biasa memberi beliau pendedahan yang luas untuk mengenal pasti tentang permainan psikologi penjajah. Pengalaman beliau sebagai wartawan dan pengarang di Lembaga Malaya dan Harian Lembaga, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor dan Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor ketika pendudukan Jepun, Pegawai Daerah dalam pentadbiran British dan Menteri Besar menyedarkan bahawa orang Melayu tidak mempunyai pilihan lain kecuali bersatu untuk mendapatkan kembali hak di negara sendiri.

Dato' Onn merupakan pemimpin tulen yang membawa agenda perpaduan serta turut turun padang melawat ke kawasan rakyat untuk sama-sama memahami permasalahan yang dihadapi serta dalam pada masa yang sama mencari penyelesaian kepada masalah tersebut. Walau bagaimanapun, mungkin rakyat kurang memahami cara beliau berfikir serta akibat permainan politik pecah dan perintah "divide and rule" yang diamalkan penjajah, beliau terus terpinggir daripada arus perdana politik negara apabila dua Parti yang ditubuhkannya tidak mendapat sambutan meluas rakyat iaitu Parti Kemerdekaan Malaya(IMP) dan Parti Negara.


Dato' Onn boleh diibaratkan sebagai seorang panglima yang telah ditakdirkan untuk memimpin orang Melayu yang menghadapi saat-saat yang amat mencemaskan. Beliau tetap peneraju bangsa tulen yang telah menyalakan obor semangat rakyat memperjuangkan hak mereka sendiri. Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa tanpa usaha seruan gerakan yang beliau lakukan, UMNO tidak akan wujud untuk membela nasib orang Melayu.Beliau adalah pemangkin kepada gerakan perpaduan Melayu dan menyuntik kesedaran bahawa kita perli membentuk sebuah negara merdeka yang bersatu pada dan harmoni.

 Ketokohan dan kepimpinan Dato' Onn Jaafar diwarisi oleh anakandanya, Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia Ketiga dan juga cucunya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang kini merupakan orang penting dalam Kerajaan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...