Halaman

Rabu, 19 Februari 2014

Dato' Dr. Usman Awang

Dato' Dr. Usman Awang

Sasterawan Negara yang disegani ini dilahirkan di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili Kota Tinggi  Johor pada 12 Julai 1929 dan meninggal dunia pada usia 72 tahun di Kuala Lumpur setelah lama menderita akibat penyakit jantung. Menjalani hidup sebagai anak nelayan menjadikan beliau sebagai insan berjiwa kental namun penuh kelembutan, selembut ucapan puisi yang dikagumi sehingga kini. Kesusahan hidup banyak mengajar beliau tentang kehidupan dan menghadirkan ilham yang berterusan serta menguatkan azam beliau untuk mengubah taraf hidup yang dibelenggu kemiskinan.

Usman Awang menerima pendidikan setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Bersekolah di Kuala Sedili(1936), Mersing(1937) dan Bandar Maharani(1940) hingga lulus darjah enam. Sewaktu pemerintahan Jepun di Tanah Melayu beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura tetapi berjaya melepaskan diri lalu pulang ke Segamat dan bekerja sebagai pembantu pejabat di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian beliau memasuki Pasukan Polis Jepun yang dikenali sebagai Botai, namun selepas beberapa minggu mengikuti latihan, Jepun diistiharkan kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Beliau kemudiannya diserapkan dalam perkhidmatan polis British dan meneruskan latihannya di Johor Bahru sebelum memulakan tugas di Melaka. Selepas itu, Usman Awang mula menceburi bidang penulisan bermula sebagai pembaca pruf di Penerbitan Melayu Raya, dan kemudian berpindah bersama Pejabat Utusan Melayu ke Jalan Chow Sow Lin Kuala Lumpur, diikuti pula di Penerbitan Federal dan akhir sekali di Dewan Bahasa dan Pustaka dalam pelbagai jawatan beliau bersara pada bulan Julai 1985.

Karya Usaman Awang menyerlahkan ilhamnya yang bernas dan penuh makna tersirat hingga menarik minat ramai khalayak pembaca untuk mengikuti karyanya. Beliau adalah antara penyair Melayu yang mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam sajak-sajaknya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan konvensional puisi lama. Ketika itu nama penanya Tongkat Warrant dan Adi Jaya menjadi sebutan ramai peminat dan pencinta puisi. Antara puisinya yang mendapat perhatian meluas ialah Gadis di Kuburan, Salam Benua dan Guru oh Guru. Sajak-sajaknya menepati rima-rima dan ciri-ciri pantun, mudah difahami, bersahaja dan indah untuk dihayati. Antara novel terkenalnya ialah Tulang-Tulang Berserakan(pernah dijadikan teks Sastera STP),drama Uda dan Dara, tamu di Bukit Kenny dan Serunai Malam.


Sajak Guru oh Guru dan kita akan dapati bagaimana indah sajak beliau:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja naik takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa.

(Petikan sajak Guru oh Guru)

Di samping bijak dalam pemilihan patah kata-kata serta ketelusan karyanya, Usman Awang juga menonjol kerana simpatinya terhadap golongan bawahan yang kurang diberi perhatian. Beliau pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, China, Filipina dan Rusia sebagai seorang penyair terkenal dari Malaysia. Beberapa buah karyanya telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris, China, Jepun, Korea, Perancis, Thailand. Czechkoslovakia, Tamil, Italy dan Rusia. Usman Awang telah dipilih menerima SEA Write Award pada tahun 1982. Pada 11 Ogos 1983 Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya.

Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983 dan sebagai menghargai sumbangannya dalam dunia kesusasteraan, beliau telah diberi penghormatan apabila dilantik menjadi salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan telah dilantik sebagai Panel Anugerah Sastera iaitu sebuah badan kehormat yang tertinggi dalam bidang sastera tanah air.

Tongkat,
Setelah berkali-kali ku baca sajakmu
Engkau bukan lagi sebagai sahabatku
Engkau adalah guru
Yang mengajar bahasa kepada anak-anak kami
Bahasa penyair Melayu yang jernih, lembut dan halus
Tetapi lebih dari itu, berisi sopan santun akal budi
Suara kemanusiaan yang terlintas, miskin dan hina
Tanpa prasangka warna, bangsa dan agama
Inilah mahkota tertinggi dalam segala seni.

(Petikan sajak Salam kepada Usman Oleh Baha Zain)
















Selasa, 18 Februari 2014

Tun Omar Ong Yoke Lin

Tun Omar Ong Yoke Lin

1917 - 2010
Tokoh yang berasal dari Kuala Lumpur ini dilahirkan pada tanggal 23 Julai 1917. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Pudu Girl English School dan selepas itu meneruskan persekolahan di Victoria Institution. Beliau merupakan seorang pelajar yang aktif dan berani sewaktu di bangku sekolah. Tugasnya sebagai pengawas sekolah banyak mendisplinkan dirinya sehinggakan beliau berjaya menjadi pejuang bangsa yang disegani.

Beliau mengambil peperiksaan Matrikulasi London di Singapura pada tahun 1935 dan lulus kelima-lima subjek yang didudukinya. Pada tahun 1936 beliau menyertai syarikat penjualan penghawa dingin sebagai menjalani latihan sebagai akauntan berkanun di Firma Gibson, Anderson & Butler. Beliau bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam jurusan Undang-Undang tetapi malangnya tidak kesampaian akibat Perang Dunia Kedua. Selepas perang tamat, Tun Omar menubuhkan sebuah syarikat jualan dan servis penghawa dingin yang dikenali sebagai  Ong Yoke Lin & Company pada tahun 1948 yang masih bertahan sehingga kini.

Melihat perkembangan politik yang berlaku pada era 1940-an dengan orang Melayu semakin kukuh di bawah naungan UMNO yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar, Tun Omar merasakan bahawa sudah sampai masanya kaum Cina mempunyai sebuah parti politik yang boleh dijadikan landasan untuk memperjuangkan masa depan mereka dengan lebih berkesan. Beliau bersama-sama Leong Yew Koh, H.S Lee, Tun Omar telah menubuhkan MCA pada 27 Februari 1949.

Tun Omar juga merupakan tokoh yang bertanggungjawab mempengaruhi keputusan untuk membentuk Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Kuala Lumpur pada tahun 1952. Kerjasama tersebut menjadi kenyataan selepas Tun Omar mengatur perbincangan antara Dato' Yahya Abdul Razak (rakan sekelas semasa di Victoria Institution) iaitu Ketua UMNO Bahagian Kuala Lumpur dan H.S Lee , Ketua MCA Negeri Selangor.

Selepas kemenangan besar Parti Perikatan dalam pilihan raya tersebut, Tun Omar telah dilantik sebagai \Naib Persedin MCA dan menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor dalam Pilihan Raya Umum pertama tahun 1955. Berikutan itu, Tunku Abdul Rahman telah melantik beliau sebagai Menteri Pos & Telekom. Tun Omar tidak turut serta dalam Delegasi rundingan kemerdekaan negara ke London yang pertama tetapi turut serta dalam rombongan kedua pada April 1957 untuk memuktamadkan Perlembagaan Tanah Melayu yang baru sahaja selesai dirangka.


Selepas kemerdekaan negara, Tun Omar dilantik sebagai Menteri Buruh & Kebajikan Sosial sehingga tahun 1959, dan beliau dilantik pula sebagai Menteri Kesihatan. Semasa Penubuhan Malaysia pada 1963, Tun Omar menjadi Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika negara memerlukan kecekapan diplomasi untuk menyelesaikan pelbagai isu serantau yang mengancam keselamatan termasuk Konfrontasi dengan Indonesia. Selepas penubuhan Malaysia, Tun Omar berkhidmat pula sebagai Menteri Tidak Berportfolio sehingga tahun 1973. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketuan Dewan Negara-tugas yang beliau pikul sehingga bersara pada tahun 1980.

Tun Omar Ong Yoke Lin akan terus diingati sebagai pejuang yang sangat lemah lembut dalam tutur kata beliau dna seorang yang bijaksana. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 1 Julai 2010 pada usia 92 tahun.

Isnin, 17 Februari 2014

Tun Mohammed Hanif Omar

Tun Mohammed Hanif Omar

1939
Kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak kepada beliau dianggap sebagai satu cabaran yang sangat berat untuk dipikul tetapi beliau tetap teguh dengan kepercayaan bahawa setiap kejadian ada rahmat tersembunyi disebaliknya.

Sebelum dilantik ke jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia(PDRM) itu, beliau telah menampilkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan dengan memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyiasat Kawasan Melaka Tengah pada tahun 1960. Selepas itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Antara jawatan yang pernah disandang sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara termasuk Ketua Polis Daerah Ipoh, Perak pada 1967, Ketua Turus Polis Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 1969 yang bertanggungjawab untuk membendung pertelingkahan perkauman yang berlaku pada 13 Mei 1969, Ketua Polis Selangor(1971) dan Timbalan Ketua Polis Negara pada 1973. Semasa menjadi Ketua Polis MAGERAN, Tun haniff Omar melapor terus kepada Ketua MAGERAN, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak. Yakin melihat kebolehan Tun Haniff itulah yang mendorong Tun Abdul Razak melantik beliau sebagai Ketua Polis Negara lima tahun selepas itu.

Tun Mohammed hanif Omar telah dilahirkan di Teluk Intan, Perak pada 16 Januari 1939, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya(Singapura) dan ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Birmingham, United Kingdom. Beliau juga merupakan seorang pemegang Sijil Guaman Majlis Peguam Malaysia.

Tun Mohammed Hanif telah mengambil pelbagai langkah drastik untuk memperkukuhkan PDRM bagi memastikan keselamatan awam tidak digugat oleh mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh. Beliau telah melengkapi pasukan polis dengan peralatan serba canggih, menubuhkan pasukan komando polis Unit Tindakan Khas yang berkemahiran tinggi dalam pertempuran moden(modern warfare) khususnya di dalam bandar, menambah kekuatan pasukan dan menyusun semula organisasi kepolisian di dalam negara.

Semasa kepimpinan beliau, negara telah berjaya menghapuskan sama sekali ancaman pengganas komunis yang diistiharkan tamat pada tahun 1984. Selain itu, untuk menyediakan modal insan yang berkualiti dan berpengetahuan dalam PDRM, Tun Mohammed Hanif Omar merupakan tokoh yang bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan Maktab Polis Diraja Malaysia pada tahun 1990.

Setelah menamatkan perkhidmatan dengan pasukan keselamatan, beliau masih aktif menyumbang kepakaran beliau dalam bidang pengurusan dan korporat dengan menganggotai lembaga pengarah beberapa buah syarikat awam yang baik dan pernah menjadi kolumnis untuk menyumbangkan buah fikiran melalui sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan.

Jumaat, 14 Februari 2014

Tun Fatimah Hashim

Tun Fatimah Hashim

1924 - 2010
Tun Fatimah Binti Hashim merupakan Menteri Kabinet Wanita Pertama dalam Jemaah Menteri Tunku Abdul Rahman yang memegang portfolio Menteri Kebajikan dari tahun 1969 - 1973. Beliau memegang kepimpinan Kaum Ibu UMNO(kini dikenali sebagai Wanita UMNO) selama 16 tahun(1956 - 1972). Beliau dicatatkan menyertai UMNO pada tahun 1947 ketika berusia awal 20-an sebagai ahli UMNO yang ke-315. Beliau dilantik sebagai Ketua Kaum Ibu yang keempat menggantikan Khatijah Sidek.

Suami beliau Tan Sri Abdul Kadir Yusuf bekas Ketua Peguam Negara yang kemudiannya juga dilantik sebagai Menteri Undang-Undang, menjadikan mereka sebagai satu-satunya pasangan Menteri Kabinet dalam sejarah politik negara. Beliau mendapat galakan dan sokongan penuh daripada suaminya dalam kerjaya yang dicuburinya.

Dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Parit Keroma, Muar, Johor, Tun Fatimah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma dan kemudian berpindah ke Sekolah Melayu Perempuan, Mersing dan menyandang jawatan sebagai guru pada usia 16 tahun. Beliau mula mengorak langkah dalam dunia politik dengan manjadi ahli jawatankuasa Pergerakan Kaum Ibu UMNO Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru pada tahun 1948 dan pada masa yang sama menjadi Penolong Setiausaha Pergerakan Kaum Ibu Johor Bahru. Selepas itu, beliau mengikut suami beliau berpindah ke Kota Tinggi dan dilantiik sebagai Naib Pergerusi Kaum Ibu Kota Tinggi. Walaupun memperjuangkan politik, namum profesion perguruan tetap tebal dalam jiwa beliau apabila Tun Fatimah masih berkesempatan membuka kelas dewasa untuk membasmi masalah buta huruf di kalangan penduduk luar bandar di Kota Tinggi. Selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Setiausaha Kaum Ibu UMNO Johor pada tahun 1951 dan 1953.

Kegiatan politik beliau terhenti buat sementara waktu apabila mengikut suaminya melanjutkan pelajaran ke England pada tahun 1954 dan sekembalinya ke Tanah Melayu pada 1955 suami beliau telah ditugaskan di Ipoh Perak. Pergerakan UMNO pusat telah meminta jasa baik beliau menubuhkan cawangan Pergerakan Kaum Ibu di Ipoh Perak dan beliau secara automatik dipilih mengetuai Kaum Ibu Bahagian Ipoh dan Dalam Mesyuarat Agung UMNO yang diadakan pada April 1956 beliau telah diberi tanggungjawab yang lebih mencabar iaitu mengetuai UMNO Negeri Perak.


Tan Sri Abdul Kadir dipindahkan pula ke Negeri Kedah pada tahun 1958 dan Tun Fatimah dipilih oleh pucuk pimpinan untuk bertanding untuk keusi Parlimen Jitra/Padang Terap dalam Pilihan Raya Umum 1959 merupakan  satu aliran baru politik negara yang menjadi ikutan parti-parti lain selepas itu.

Semasa menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat, beliau gigih memperjuangkan hak wanita supaya tidak didiskriminasi dalam pembayaran gaji dan pencen, mendapat perlindungan sewajarnya serta memastikan kebajikan wanita tidak diabaikan setelah berlaku perceraian. Berbekalkan semangat kental dan keinginan untuk melihat negara maju sebagai sebuah Negara berdaulat mengikut acuannya sendiri, tiada sebarang imbuhan yang diharapkan daripada setiap sumbangan dan pengorbanan yang dihulurkan.

Beliau telah dianugerahkan bintang Panglima Mangku Negara yang membawa gelaran Tan Sri, menjadikan beliau penerima wanita pertama anugerah tersebut di negara ini.Beliau menerima gelaran Tun setelah dianugerahkan Pingat Seri Setia Mahkota pada tahun 2003.

Beliau telah terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Tokoh Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Kemasyarakatan pada tahun 2009 dan disemadikan sebagai seorang srikandi negara di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur. 
  

Khamis, 13 Februari 2014

Dr Burhanudin Al-Helmy

Dr.Burhanuddin Al-Helmy

Jepun telah berjanji kepada Sukarno untuk memberikan kemerdekaan sebaik berakhirnya Perang Dunia Kedua. Dr. Burhanuddin dan Ibrahim Yaacob juga mahu bersama-sama dengan Sukarno untuk mencapai kemerdekaan. Atas matlamat tersebut, satu rundingan telah diadakan dengan Sukarno dan Hatta di Taiping, Perak pada 12-13 Ogos 1945. Ketika itu, Sukoarno dan Hatta sebenarnya baru pulang dari Vietnam menuju ke Indonesia setelah bertemu Pemerintah Tertinggi Tentera Jepun di Asia Tenggara, Terauuchi.

Atas Inisiatif Dr.Burhanuddin, satu mesyuarat susulan telah diadakan di Kuala Lumpur pada 15 dan 16 Ogos 1945 bagi memerancang beberapa langkah yang perlu dibuat untuk menghalang kemasukan semula koloni British. Mesyuarat juga memutuskan untuk membentuk kabinet Tanah Melayu yang dicadangkan bernama Negara Demokratik Rakyat Malaya. Mesyuarat juga turut membincangkan bagaimana menghalang anggota MPAJA keluar menganas dari dalam hutan.

Pada 17 Ogos 1945, pemimpin tertinggi KRIS telah mengadakan pertemuan dengan Jeneral Itagaki dan diberitahu bahawa rancangan pembentukan Melayu Raya dan mendapatkan kemerdekaan tidak dapat dilaksanakan kerana kekalahan Jepun yang mendadak. Kegagalan tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangat Dr.Burhanuddin.

Slogan yang ditimbulkan oleh beliau setelah kegagalan idea penyatuan dengan Indonesia ialah semangat kemerdekaan untuk Tanah Melayu bagi membela hak keadilan putera melayu. Selepas gagal dengan KRIS , beliau telah menubuhkan Parti Kesatuan Melayu Muda(PKMM) dengan matlamat yang sama. Selama menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua PKMM,beliau turut menghadiri Kongress Melayu Semalaya anjuran Dato' Onn Jaafar dan terlibat dalam penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(UMNO) pada 11 Mei 1946. Beliau kemudiannya menubuhkan Hizbul Muslimin pada 17 Mac 1948 tetapi telah diharamkan oleh pemerintah British kerana dituduh sebagai radikal dan bersubahat dengan Parti Komunis Malaya(PKM).

Satu sumbangan besar Dr.Burhanuddin al-Helmy melalui PUTERA(Pertubuhan Melayu Anti-UMNO)ialah merangka The People Constitution Of Malaya yeng menggariskan kehendak dan suara rakyat Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, perlembagaan ini telah ditolak oleh British dan UMNO. Sebaliknya British dan UMNO mengadakan rundingan membentuk perlembagaan Tanah Melayu.

Nama sebenar beliau ialah Amir Burhanuddin Bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak. Beliau telah mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama Sekolah Melayu. Beliau dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatera Barat pada tahun 1924 hingga 1926. Pada tahun 1926, Burhanuddin al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ, beliau menuntut pula di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas IV Thanawi pada tahun 1934.

Beliau kemudiannya mendapat peluang belajar di Universiti Aligarh, India dalam bidang Sastera dan Falsafah sekaligus mempelajari bahasa Inggeris, Perancis, German, dan perubatan homeopati. Pelajaran Homeopati yang dipelajari beliau juga berjaya ditamatkan di Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India. Semasa belajar di India pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali jinnah dan Pandit Jawaharlal Nehru. Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India beliau telah mengembara ke Palestin dan Turki.

Ahmad Boestamam pernah menjelaskan tentang perjuangan Dr.Burhanuddin dan menganggap beliau seorang yang patriot negara yang banyak berjasa. Beliau turut diberi gelaran "Bapa Kebangsaan Melayu" kerana hingga akhir hayatnya beliau tetap konsisten dengan penubuhan negara bangsa yang dinamakan Melayu. Berasaskan kepada keteguhan semangat beliau memperjuangkan politik berlandaskan perjuagan Islam, Dr.Burhanuddin telah terpilih sebagai Presiden Parti Islam Semalaya(PAS) yang ketiga dalam perhimpunan kelima parti tersebut pada tahun 1956.

Selain terlibat dalam bidang politik, beliau turut menghasilkan beberapa karya penulisan yang bertujuan untuk membuka mata masyarakat terutama orang melayu mengenai maksud sebenar perjuangan dan perkaitannya dengan Islam. Antara karya penulisannya ialah:

  1. Perjuangan Kita(1946)
  2. Falsafah Kebangsaan Melayu(1947)
  3. Agama & Politik(1954)
  4. Ideologi Politik Islam(1957)
Perginya Dr.Burhanuddin pada 25 Oktober 1969 bererti politik negara kehilangan seorang bunga bangsa yang terkenal dengan keteguhan prinsip perjuangan yang tetap beliau pertahankan hingga akhir hayat.






Rabu, 12 Februari 2014

Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah

Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah

1903 - 1973
Tun Temenggung Jugah Anak Barieng adalah sahabat baik Tunku Abdul Rahman dari bumi Kenyalang dan merupakan satu-satunya pemimpin Sarawak yang memainkan peranan utama dalam usaha penubuhan Malaysia. Beliau turut serta dalam rombongan ke London bersama-sama Tunku Abdul Rahman bagi membincangkan penubuhan Malaysia. Dengan wajah tipikal istimewa kaum Iban, beliau cukup mudah dikenali dan mendapat perhatian penduduk Sarawak ketika penubuhan Parti Pesaka Rakyat Sarawak(PESAKA) yang menjadi salah satu parti Perikatan Sarawak.

Tun Temenggung Jugah juga antara tokoh terawal menyokong cadangan penubuhan Malaysia kerana mengetahui faedah-faedah yang dapat diperoleh oleh rakyat Sarawak daripada penyatuan itu. Beliau juga antara tokoh yang terlibat dalam Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia(JPPM) bagi mendapatkan pandangan para pemimpin Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak tentang cadangan penubuhan Malaysia. Ketika pembentukan Kabinet Pertama Malaysia, beliau antara yang dilantik menjadi Menteri dalam kabinet Kerajaan Persekutuan untuk menguruskan hal-ehwal Sarawak yang melibatkan usaha-usaha peningkatkan taraf hidup, hak-hak peribumi, penyediaan prasarana dan kemudahan asas. Penglibatan aktif beliau yang begitu prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat menjadikan beliau cukup dihormati, disenangi sebagai seorang pemimpin sejati berjiwa rakyat yang terus dikenang hingga ke hari ini.

Temenggung Jugah anak Barieng dilahirkan di Ulu Kapit, Sarawak pada tahun 1903. Beliau merupakan anak Ketua Orang Iban yang mencintai tradisi kehidupan Iban serta sangat dihormati oleh kaum Iban di Sarawak. Beliau menjadi tokoh penting yang menubuhkan Parti PESAKA pada tahun 1962. Peranan beliau banyak mengangkat martabat kaum Iban dan menjadikan mereka lebih terbuka dan sedia berinteraksi dengan kaum-kaum lain ketika negara melangkah meredah arus kemajuan.

Bersama-sama dengan 4 orang pemimpin daripada kaum Iban di Sibu, Tun Jagaya yang meninggalkan Parti Negara Sarawak(PANAS) mengasaskan PESAKA untuk menentang SNAP yang mendapat sokongan kuat daripada kaum Iban Sibu. Pada 30 April 1973, PESAKA bergabung dengan Parti Bumiputera yang menubuhkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak(PBB) yang dipimpin oleh Datu Patinggi Abdul Rahman Ya'akob. Peranan beliau dalam politik Malaysia memang tidak dapat dinafikan. Beliau merupakan pemimpin Sarawak terawal yang menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dan antara pemimpin Sarawak terawal yang duduk dalam Kabinet Malaysia.


Tun Temenggung Jugah telah membuktikan bahawa masyarakat pedalaman sepertinya boleh ke hadapan jika diberi peluang. Beliau telah membuktikan ketokohan kepimpinannya ketika menerajui parti PESAKA dan berupaya memikul tanggungjawab yang diberikan secara berkesan sebagai ahli Parlimen dan Menteri Kabinet. Malahan, banyak isu-isu yang melibatkan kaum Iban dan masyarakat pedalaman Sarawak telah disuarakan oleh beliau.

Pada tahun 1973, parti pimpinan Tun Temenggung Jugah iaitu PESAKA telah bergabung dengan parti PANAS dan BERJASA membentuk parti baru yang dipanggil Parti Bumiputera Bersatu iaitu PBB yang memerintah Sarawak. Tun Jugah telah dipilih menjadi Presiden pertama PBB dan dilantik dalam Kabinet negeri sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Sepanjang menerajui jawatan tersebut beliau memberi sepenuh tumpuan bagi meningkatkan taraf hidup kaum bumiputera Sawarak bukan hanya kaum Iban juga kaum-kaum lain termasuklah Bidayuh, Kayan, Kenyah, Penan dan lain-lain.

   

Selasa, 11 Februari 2014

Tun Lee Hau Shik

Tun Lee Hau Shik

1900 - 1988
Tun Lee Hau Shik atau lebih dikenali sebagai Tun H.S Lee merupakan seorang tokoh dan pemimpin Cina yang berpegaruh pada awal zaman kemerdekaan. Beliau bertanggungjawab sebagai perintis penubuhan MCA dan rundingan kerjasama dengan UMNO. Dengan kata lain, beliau antara tokoh Cina terawal yang bertanggungjawab mewujudkan kerjasama politik antara orang Cina dan Melayu, seterusnya mewujudkan Parti Perikatan. Tokoh ini merupakan anak kelahiran negara China yang dilahirkan pada tahun 1900 di Guandong, Hong Kong yang merupakan Tanah jajahan mahkota Inggeris. Beliau kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu untuk menjalankan perusahaan perlombongan bijih timah pada tahun 1924. Beliau turut dikenali kerana menjadi pengasas China Press pada tahun 1946. Dua bidang perniagaan ini sebati dengan kehidupan beliau, sehingga ke akhir hayat beliau pada tahun 1988.

Tun H.S Lee mendapat pendidikan awal di Queen College,Hong Kong sehinggalah beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perundangan dan ekonomi dari University Cambridge, England. Setelah itu, beliau memulakan kerjaya di Hainan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Bank Hong Kong. Apabila tiba di Tanah Melayu dan berjaya dalam perniagaan bijih timah, beliau bersama-sama dengan Leong Yew Koh dan Lim Chong Eu(Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) telah menubuhkan Malayan Chinese Association(MCA) pada tahun 1949.

Berdasarkan kepada ketokohan beliau serta peranan penting yang dimainkan dalam menyatukan orang-orang Cina di Tanah Melayu, Tun H.S Lee telah dipilih sebagai salah seorang anggota rombongan ke London yang diketui Tunku Abdul Rahman bagi merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu. Setelah bersara pada tahun 1959, beliau menubuhkan DCB Bank manakala dua orang anaknya turut menceburi bidang politik iaitu Datuk Douglas Lee yang telah memenangi Pilihanraya Majlis Bandaraya Kuala Lumpur(1952) dan Tan Sri Dato' Alex Lee dari parti Gerakan yang juga pernah menggangotai kabinet Tun Dr.Mahathir pada tahun 1980-an.

Tun H.S Lee bukan sahaja prihatin terhadap perkembangan politik di negara ini, malah semasa Jepun menyerang Tanah Besar China pada tahun 1937, Lee telah mengetuai usaha kutipan tabung bantuan kemanusiaan China dan bekerjasama dengan Parti Kuomintang China. Ketika menakluki Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua, Lee dan keluarganya berpindah ke India dan bertemu dengan Chiang Kai Shek di Congqing, China. Sebagai menghargai jasa dan penglibatannya dalam arena politik tempatan dan sumbangannya kepada masyarakat Cina, Chiang menganugerahkan beliau dengan gelaran "Kolonel" dan turut dihantar bertugas ke sempadan China-Burma sebagai perantara tentera China dan British.

Ketokohan Tun H.S Lee telah membuka laluan penting kepada kerjasama politik antara orang Melayu dan Cina di Tanah Melayu yang menjadi asas untuk persiapan ke arah kemerdekaan. Malah, ketika rombongan rundingan kemerdekaan ke London banyak yang telah beliau sumbangkan bagi merealisasikan kemerdekaan negara. Hasilnya, rombongan tersebut berjaya memperoleh keputusan yang positif apabila pihak koloni British bersetuju memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...