Halaman

Rabu, 19 Februari 2014

Dato' Dr. Usman Awang

Dato' Dr. Usman Awang

Sasterawan Negara yang disegani ini dilahirkan di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili Kota Tinggi  Johor pada 12 Julai 1929 dan meninggal dunia pada usia 72 tahun di Kuala Lumpur setelah lama menderita akibat penyakit jantung. Menjalani hidup sebagai anak nelayan menjadikan beliau sebagai insan berjiwa kental namun penuh kelembutan, selembut ucapan puisi yang dikagumi sehingga kini. Kesusahan hidup banyak mengajar beliau tentang kehidupan dan menghadirkan ilham yang berterusan serta menguatkan azam beliau untuk mengubah taraf hidup yang dibelenggu kemiskinan.

Usman Awang menerima pendidikan setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Bersekolah di Kuala Sedili(1936), Mersing(1937) dan Bandar Maharani(1940) hingga lulus darjah enam. Sewaktu pemerintahan Jepun di Tanah Melayu beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura tetapi berjaya melepaskan diri lalu pulang ke Segamat dan bekerja sebagai pembantu pejabat di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian beliau memasuki Pasukan Polis Jepun yang dikenali sebagai Botai, namun selepas beberapa minggu mengikuti latihan, Jepun diistiharkan kalah dalam Perang Dunia Kedua.

Beliau kemudiannya diserapkan dalam perkhidmatan polis British dan meneruskan latihannya di Johor Bahru sebelum memulakan tugas di Melaka. Selepas itu, Usman Awang mula menceburi bidang penulisan bermula sebagai pembaca pruf di Penerbitan Melayu Raya, dan kemudian berpindah bersama Pejabat Utusan Melayu ke Jalan Chow Sow Lin Kuala Lumpur, diikuti pula di Penerbitan Federal dan akhir sekali di Dewan Bahasa dan Pustaka dalam pelbagai jawatan beliau bersara pada bulan Julai 1985.

Karya Usaman Awang menyerlahkan ilhamnya yang bernas dan penuh makna tersirat hingga menarik minat ramai khalayak pembaca untuk mengikuti karyanya. Beliau adalah antara penyair Melayu yang mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam sajak-sajaknya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan konvensional puisi lama. Ketika itu nama penanya Tongkat Warrant dan Adi Jaya menjadi sebutan ramai peminat dan pencinta puisi. Antara puisinya yang mendapat perhatian meluas ialah Gadis di Kuburan, Salam Benua dan Guru oh Guru. Sajak-sajaknya menepati rima-rima dan ciri-ciri pantun, mudah difahami, bersahaja dan indah untuk dihayati. Antara novel terkenalnya ialah Tulang-Tulang Berserakan(pernah dijadikan teks Sastera STP),drama Uda dan Dara, tamu di Bukit Kenny dan Serunai Malam.


Sajak Guru oh Guru dan kita akan dapati bagaimana indah sajak beliau:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja naik takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa.

(Petikan sajak Guru oh Guru)

Di samping bijak dalam pemilihan patah kata-kata serta ketelusan karyanya, Usman Awang juga menonjol kerana simpatinya terhadap golongan bawahan yang kurang diberi perhatian. Beliau pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, China, Filipina dan Rusia sebagai seorang penyair terkenal dari Malaysia. Beberapa buah karyanya telah diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris, China, Jepun, Korea, Perancis, Thailand. Czechkoslovakia, Tamil, Italy dan Rusia. Usman Awang telah dipilih menerima SEA Write Award pada tahun 1982. Pada 11 Ogos 1983 Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya.

Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983 dan sebagai menghargai sumbangannya dalam dunia kesusasteraan, beliau telah diberi penghormatan apabila dilantik menjadi salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan telah dilantik sebagai Panel Anugerah Sastera iaitu sebuah badan kehormat yang tertinggi dalam bidang sastera tanah air.

Tongkat,
Setelah berkali-kali ku baca sajakmu
Engkau bukan lagi sebagai sahabatku
Engkau adalah guru
Yang mengajar bahasa kepada anak-anak kami
Bahasa penyair Melayu yang jernih, lembut dan halus
Tetapi lebih dari itu, berisi sopan santun akal budi
Suara kemanusiaan yang terlintas, miskin dan hina
Tanpa prasangka warna, bangsa dan agama
Inilah mahkota tertinggi dalam segala seni.

(Petikan sajak Salam kepada Usman Oleh Baha Zain)
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...