Halaman

Selasa, 11 Februari 2014

Tun Lee Hau Shik

Tun Lee Hau Shik

1900 - 1988
Tun Lee Hau Shik atau lebih dikenali sebagai Tun H.S Lee merupakan seorang tokoh dan pemimpin Cina yang berpegaruh pada awal zaman kemerdekaan. Beliau bertanggungjawab sebagai perintis penubuhan MCA dan rundingan kerjasama dengan UMNO. Dengan kata lain, beliau antara tokoh Cina terawal yang bertanggungjawab mewujudkan kerjasama politik antara orang Cina dan Melayu, seterusnya mewujudkan Parti Perikatan. Tokoh ini merupakan anak kelahiran negara China yang dilahirkan pada tahun 1900 di Guandong, Hong Kong yang merupakan Tanah jajahan mahkota Inggeris. Beliau kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu untuk menjalankan perusahaan perlombongan bijih timah pada tahun 1924. Beliau turut dikenali kerana menjadi pengasas China Press pada tahun 1946. Dua bidang perniagaan ini sebati dengan kehidupan beliau, sehingga ke akhir hayat beliau pada tahun 1988.

Tun H.S Lee mendapat pendidikan awal di Queen College,Hong Kong sehinggalah beliau berjaya menamatkan pengajian dalam bidang perundangan dan ekonomi dari University Cambridge, England. Setelah itu, beliau memulakan kerjaya di Hainan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Bank Hong Kong. Apabila tiba di Tanah Melayu dan berjaya dalam perniagaan bijih timah, beliau bersama-sama dengan Leong Yew Koh dan Lim Chong Eu(Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) telah menubuhkan Malayan Chinese Association(MCA) pada tahun 1949.

Berdasarkan kepada ketokohan beliau serta peranan penting yang dimainkan dalam menyatukan orang-orang Cina di Tanah Melayu, Tun H.S Lee telah dipilih sebagai salah seorang anggota rombongan ke London yang diketui Tunku Abdul Rahman bagi merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu. Setelah bersara pada tahun 1959, beliau menubuhkan DCB Bank manakala dua orang anaknya turut menceburi bidang politik iaitu Datuk Douglas Lee yang telah memenangi Pilihanraya Majlis Bandaraya Kuala Lumpur(1952) dan Tan Sri Dato' Alex Lee dari parti Gerakan yang juga pernah menggangotai kabinet Tun Dr.Mahathir pada tahun 1980-an.

Tun H.S Lee bukan sahaja prihatin terhadap perkembangan politik di negara ini, malah semasa Jepun menyerang Tanah Besar China pada tahun 1937, Lee telah mengetuai usaha kutipan tabung bantuan kemanusiaan China dan bekerjasama dengan Parti Kuomintang China. Ketika menakluki Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua, Lee dan keluarganya berpindah ke India dan bertemu dengan Chiang Kai Shek di Congqing, China. Sebagai menghargai jasa dan penglibatannya dalam arena politik tempatan dan sumbangannya kepada masyarakat Cina, Chiang menganugerahkan beliau dengan gelaran "Kolonel" dan turut dihantar bertugas ke sempadan China-Burma sebagai perantara tentera China dan British.

Ketokohan Tun H.S Lee telah membuka laluan penting kepada kerjasama politik antara orang Melayu dan Cina di Tanah Melayu yang menjadi asas untuk persiapan ke arah kemerdekaan. Malah, ketika rombongan rundingan kemerdekaan ke London banyak yang telah beliau sumbangkan bagi merealisasikan kemerdekaan negara. Hasilnya, rombongan tersebut berjaya memperoleh keputusan yang positif apabila pihak koloni British bersetuju memberikan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...