Halaman

Selasa, 18 Februari 2014

Tun Omar Ong Yoke Lin

Tun Omar Ong Yoke Lin

1917 - 2010
Tokoh yang berasal dari Kuala Lumpur ini dilahirkan pada tanggal 23 Julai 1917. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Pudu Girl English School dan selepas itu meneruskan persekolahan di Victoria Institution. Beliau merupakan seorang pelajar yang aktif dan berani sewaktu di bangku sekolah. Tugasnya sebagai pengawas sekolah banyak mendisplinkan dirinya sehinggakan beliau berjaya menjadi pejuang bangsa yang disegani.

Beliau mengambil peperiksaan Matrikulasi London di Singapura pada tahun 1935 dan lulus kelima-lima subjek yang didudukinya. Pada tahun 1936 beliau menyertai syarikat penjualan penghawa dingin sebagai menjalani latihan sebagai akauntan berkanun di Firma Gibson, Anderson & Butler. Beliau bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam jurusan Undang-Undang tetapi malangnya tidak kesampaian akibat Perang Dunia Kedua. Selepas perang tamat, Tun Omar menubuhkan sebuah syarikat jualan dan servis penghawa dingin yang dikenali sebagai  Ong Yoke Lin & Company pada tahun 1948 yang masih bertahan sehingga kini.

Melihat perkembangan politik yang berlaku pada era 1940-an dengan orang Melayu semakin kukuh di bawah naungan UMNO yang dipimpin oleh Dato' Onn Jaafar, Tun Omar merasakan bahawa sudah sampai masanya kaum Cina mempunyai sebuah parti politik yang boleh dijadikan landasan untuk memperjuangkan masa depan mereka dengan lebih berkesan. Beliau bersama-sama Leong Yew Koh, H.S Lee, Tun Omar telah menubuhkan MCA pada 27 Februari 1949.

Tun Omar juga merupakan tokoh yang bertanggungjawab mempengaruhi keputusan untuk membentuk Parti Perikatan dalam Pilihan Raya Kuala Lumpur pada tahun 1952. Kerjasama tersebut menjadi kenyataan selepas Tun Omar mengatur perbincangan antara Dato' Yahya Abdul Razak (rakan sekelas semasa di Victoria Institution) iaitu Ketua UMNO Bahagian Kuala Lumpur dan H.S Lee , Ketua MCA Negeri Selangor.

Selepas kemenangan besar Parti Perikatan dalam pilihan raya tersebut, Tun Omar telah dilantik sebagai \Naib Persedin MCA dan menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor dalam Pilihan Raya Umum pertama tahun 1955. Berikutan itu, Tunku Abdul Rahman telah melantik beliau sebagai Menteri Pos & Telekom. Tun Omar tidak turut serta dalam Delegasi rundingan kemerdekaan negara ke London yang pertama tetapi turut serta dalam rombongan kedua pada April 1957 untuk memuktamadkan Perlembagaan Tanah Melayu yang baru sahaja selesai dirangka.


Selepas kemerdekaan negara, Tun Omar dilantik sebagai Menteri Buruh & Kebajikan Sosial sehingga tahun 1959, dan beliau dilantik pula sebagai Menteri Kesihatan. Semasa Penubuhan Malaysia pada 1963, Tun Omar menjadi Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika negara memerlukan kecekapan diplomasi untuk menyelesaikan pelbagai isu serantau yang mengancam keselamatan termasuk Konfrontasi dengan Indonesia. Selepas penubuhan Malaysia, Tun Omar berkhidmat pula sebagai Menteri Tidak Berportfolio sehingga tahun 1973. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketuan Dewan Negara-tugas yang beliau pikul sehingga bersara pada tahun 1980.

Tun Omar Ong Yoke Lin akan terus diingati sebagai pejuang yang sangat lemah lembut dalam tutur kata beliau dna seorang yang bijaksana. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada 1 Julai 2010 pada usia 92 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...