Halaman

Isnin, 10 Februari 2014

Tun Tan Cheng Lock

Tun Tan Cheng Lock

1887-1960
Berdasarkan kepada daya intelektual yang tinggi dan kewibawaannya, Tun Tan Cheng Lock telah dilantik sebagai Presiden Malayan Chinese Association(MCA) yang pertama pada tahun 1949. Beliau merupakan anak jati yang dilahirkan di negeri Hang Tuah, Melaka pada 5 April 1883. Beliau merupakan tokoh penting yang merintis kepada kerjasama politik antara UMNO dan MCA bagi mewujudkan kestabilan politik dan perpaduan masyarakat di Malaysia. Sumbangan dan ketokohan beliau membolehkan MCA dan UMNO memenangi pilihanraya umum pertama 1955 sehingga melahirkan idea penubuhan Parti Perikatan yang kemudiannya disusuli oleh parti Malayan Indian Congress(MIC). Detik tersebut telah melahirkan kerjasama erat antara parti UMNO, MCA dan MIC yang buat pertama kali berlaku di negara kita.

Tun Tan Cheng semasa di zaman persekolahannya merupakan seorang pelajar yang cerdas, pintar dan sentiasa menhormati para gurunya. Setelah menamatkan persekolahan menenggah di Sekolah Tinggi Melaka, beliau menyambung pelajaran di Kolej Raffles, Singapura dan menjadi guru sekembalinya ke Tanah Air. Setelah meletak jawatan sebagai guru, beliau menyandang jawatan sebagai Penolong Pengurus Ladang Getah Bukit Kajang Berhad sebelum menubuhkan syarikat beliau sendiri, Ladang Ayer Molek Berhad. Pada tahun 1913, beliau berkahwin dengan Yeo Yeok Neo dan dikurniakan 5 orang cahaya mata. Salah seorang daripadanya ialah ahli politik yang terkemuka di Malaysia dan pernah memegang tampuk pimpinan MCA seperti ayahnya, iaitu Tun Tan Siew Sin.

Rentetan perjuangannya yang cukup lama, bermula sejak awal abad ke-20 lagi apabila pertubuhan Sukarelawan  Cina Melaka dihidupkan semula, beliau menjadi ahlinya pada tahun 1915. Beliau juga telah menghidupkan semula Persatuan Orang Cina Peranakan British(SCBA) bagi melindungi kepentingan golongan ini di Negeri-Negeri Selat dan secara sebulat suara beliau telah dilantik menjadi Presiden SCBA. Melihatkan kewibawaan dan ketokohan beliau, British melantik beliau menjadi Ahli Tidak Rasmi Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat bermula pada tahun 1925 sehingga 1934. Apabila Jepun mendarat di Tanah Melayu, Tan melarikan diri ke Madras India dan menetap di situ sehinggalah Perang Dunia Kedua tamat dan Jepun meninggalkan Tanah Melayu.

Ketika sewaktu zaman perang, Tun Tan Cheng Lock menubuhkan Persatuan Cina Perantauan India(OCAI) dan menghantar memorandum kepada Pejabat Tanah Jajahan untuk membolehkan penduduk berbangsa cina mendapat kerakyatan Tanah Melayu. Cadangan dalam memorandum inilah yang dimasukkan oleh British dalam perlembagaan Malayan Union.

Jalan Tun Tan Cheng Lock Melaka

Sebagai Presiden MCA, beliau telah mengetuai kempen-kempen mempertingkatkan keahlian MCA dalam kalangan pemuda cina. Kedudukan MCA dalam kancah politik negara kian berkembang apabila menjalin kerjasama dengan UMNO dalam pilihanraya Perbadanan Kuala Lumpur. Sejak itu, kerjasama terus terjalin hinggalah membawa kepada penubuhan Parti Perikatan. Cita-cita beliau untuk memperoleh taraf kewarganegaraan bagi kaum cina di Tanah Melayu dicapai apabila UMNO mempersetujui cadangan tersebut dan memasukkannya ke dalam memorandum Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid yang ditugaskan untuk menulis Perlembagaan Persekutuan.

Jasa dan sumbangan dalam mewujudkan perpaduan kaum diiktiraf dan disanjung sehingga dianugerahkan pingat D.P.M.J oleh Sultan Ibrahim inbin Almarhum Sultan Abu Bakar,Johor(1949), Komander Empayar British(1949),Komander Kesatria Empayar British yang membawa gelaran Sir dan gelaran Tun oleh Yang Dipertuan Agong. Nama beliau akan terus terpahat sebagai tokoh Cina berhati waja, yang kuat semangat dan bercita-cita tinggi. Beliau meninggal dunia pada 13 Disember 1960 di Hospital Besar Melaka akibat serangan sakit jantung ketika berumur 77 tahun.

Jumaat, 7 Februari 2014

Tun VT Sambathan

Tun VT Sambanthan

Tokoh yang berasal dari Sungai Siput,Perak ini dilahirkan pada 16 Jun 1919. Kepintarannya mula terselah setelah melanjutkan pelajaran peringkat menenggah di Sekolah Clifford, Kuala Kangsar seterusnya mendapat Ijazah Sarjana Muda dari University Annamalai, India dalam bidang ekonomi. Minatnya dalam bidang Pollitik dipengaruhi oleh dua tokoh besar India idola beliau iaitu Mahatma Ghandi dan Jawaharlal Nehru.

Kepetahun Tun Sambanthan berpidato memang memenuhi kualiti seorang ahli politik melahan beliau juga bijak berlawak jenaka. Kesedaran politik beliau mula bercambah apabila menyedari bahawa kaum India di Tanah Melayu memerlukan pemimpin berwibawa untuk memperjuangkan nasib mereka yang masih ketinggalan dalam segenap bidang kehidupan. Beliau bergiat aktif dan mendapat sambutan yang meluas memegang pelbagai jawatan dalam MIC sebaik sahaja pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian. Jasa dan sumbangan terpenting beliau dalam bidang politik negara dapat dilihat pada kejayaan beliau membawa masuk MIC menyertai Parti Perikatan kerana beliau meletakkan kepercayaan penuh bahawa Perikatan merupakan platform yang paling sesuai untuk memperbaiki nasib bangsanya di negara ini.

Sebaik sahaja memenangi Pilihanraya Umum Pertama 1955 bagi kerusi Parlimen Kinta, beliau dilantik mengetuai Kementerian Buruh sesuai dengan hasrat beliau untuk meningkatkan taraf hidup golongan pekerja ladang dan golongan berpendapatan rendah. Beliau mempelopori Penubuhan National Land Finance Cooperative Society(NLFCS) untuk menguruskan ladang dengan lebih tersusun.


Beliau juga antara anggota rombongan ke London merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu dan terlibat menendatangani perjanjian kemerdekaan. Selepas 1 penggal sebagai Menteri Buruh, beliau bertukar portfolio sebagai Menteri Tenaga, Telekom dan Pos(1959) sehinggalah jawatan terakhir sebelum bersara iaitu Menteri Perpaduan Negara. Di peringkat antarabangsa, beliau telah berjasa menyatupadukan masyarakat India dan masyarakat peribumi Fiji dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Jesteru, atas jasa beliau yang begitu luas, tidak hairanlah beliau dimasyurkan sebagai salah seorang negarawan tersohor di negara kita.

Pemilihan Tun VT Sambanthan sebagai salah seorang tokoh terkemuka negara adalah setimpal dengan sumbangan besar beliau terhadap kemajuan negara ini khususnya kepada penduduk berbangsa India. Beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC serta Menteri Perpaduan Negara pada tahun 1973 setelah mengadu sesak nafas dan mengalami komplikasi jantung. Bagi mengabadikan jasanya yang besar terhadap negara, sebatang jalan dan sebuah bangunan telah dinamakan Jalan VT Sambanthan di Brickfields dan Wisma Sambanthan di Brickfields kedua-duanya di Kuala Lumpur. Semangat dan dedikasi beliau ini perlu dicontohi oleh generasi muda negara untuk meneruskan kelangsungan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini. Beliau merupakan pelopor dan pemimpin ulung yang tiada tolak banding hingga ke hari ini. Pemikiran dan idea beliau terhadap masyarakat berbilang kaum sentiasa dijadikan rujukan oleh generasi kini.

Khamis, 6 Februari 2014

Rosli Dhobie

Rosli Dhobie

Sebagai anak muda yang berhati waja daripada kumpulan Rukun 13, beliau tidak bersetuju dengan cara rundingan yang dijalankan kerana banyak merugikan rakyat Sarawak. Bagi beliau, penentangan harus dibuat secara radikal dan kekerasan untuk mengajar pihak British  dan memberi amaran kepada penjajah bahawa rakyat Sarawak yang selama ini ditindas juga mampu bangkit.

Dilahirkan di Kampung Pulo, Sibu pada tahun 1932. Rosli Dhobie dibesarkan dengan penuh kasih sayang dalam sebuah keluarga sederhana yang terdiri daripada seorang kakak iaitu Fatimah dan seorang adik perempuan iaitu Ainie. Rosli memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Rakyat Sibu pada tahun 1947. Beliau amat meminati karya-karya golongan nasionalis nusantara seperti Jose Rizal dan Soekarno. Beliau turut mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Dengan menggunakan nama samaran Lidros, beliau menulis puisi tentang kebangkitan menentang penjajah. Puisinya "PanggilanMu Yang Suci " telah tersiar dalam Utusan Sarawak pada 28 Februari 1948. Penggunaan nama pena ini bertujuan untuk menyukarkan pihak British mengesan penulisnya yang melaungkan agenda kemerdekaan dan anti penjajah.

Selepas tamat perang Dunia Kedua, Vyner Brooke berhasrat untuk menyerahkan Sarawak kepada British sebagai Tanah Jajahan Mahkota tanpa mewariskannya kepada anak beliau, Anthony Brooke yang dianggap kurang cekap dalam menguruskan hal-ehwal pentadbiran negeri. Rundingan demi rundingan yang dilaksanakan oleh pemimpin kaum untuk menghalang penyerahan Sarawak tetap tidak membuahkan hasil.

Keadaan ini sangat mengecewakan banyak pihak terutama golongan belia daripada Pertubuhan Pemuda Seluruh Sarawak yang turut ditunjangi oleh Barisan Pemuda Sibu yang secara langsung terbabit dalam Gerakan Anti Penyerahan Sarawak. Golongan pemuda ini melihat rundingan diplomatik tidak lagi berguna, tambahan tarikh perlantikan Gabenor baharu British juga sudah kian hampir lalu mereka menubuhkan Kumpulan Rukun 13 yang memikul amanah mempersiapkan perancangan rapi untuk menggagalkan sebarang percubaan menabalkan Gabenor Sarawak.


Mereka sebulat suara berpendapat bahawa tindakan yang paling berkesan ialah menamatkan riwayat sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Gabenor Sarawak. Pemimpin gerakan tersebut telah memilih Rosli Dhobie dengan dibantu oleh Morshidi Sidek, Awang Ramli, Amit Mohd Deli dan Bujang Suntong untuk melaksanakan tindakan tersebut. Rosli dipilih untuk melaksanakan serangan nekad dengan menikam Sir Duncan Steward kerana usianya yang masih muda tidak akan menimbulkan sebarang syak wasangka British serta beliau dijangka dapat melepasi pemeriksaan ketat dengan mudah pada hari pertabalan Sir Duncan Steward.

Rosli Dhobie faham risiko yang akan dihadapinya, namun demi negeri Sarawak dan semangat kebangkitan Sarawak, beliau rela berhadapan bahaya asalkan perjuangannya dapat menginspirasikan gelombang anti-British. Beliau adalah simbol wira Sarawak sejati dan mendukung teguh prinsip perjuangan mendaulatkan Sarawak dan menentang kehadiran British.

Pada 3 Disember 1949, ketika Gabenor Sarawak disambut di Jeti Sibu dalam rangka lawatan ke bandar-bandar utama di Sarawak, beliau telah menikam Gabenor British itu sehingga meragut nyawanya.

Serangan itu amat mengejutkan semua delegasi yang mengiringi Gabenor Inggeris tersebut dan beliau telah ditangkap ketika itu juga lalu dihantar ke Kuching sebagai seorang banduan. Beliau bersama-sama dengan Awang Ramli, Amit Mohd Deli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong dibicarakan dan didapati bersalah. Kesemua mereka dijatuhi hukuman mati, sementara Rosli Dhobie dipenjara sehingga 3 Mac 1950 bagi menunggu usia beliau genap mencapai dewasa sebelum menjalani hukuman tersebut. Beliau digantung pada usia 18 tahun, dan kisah beliau ditafsirkan dalam pelbagai versi, namun apa yang pasti beliau adalah wira Sarawak yang sejati.

Keberanian Rosli Dhobie terus segar dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia khasnya rakyat Sarawak. Nama beliau terus terpahat sebagai pejuang Borneo yang berani mempertahankan hak dan teguh dengan prinsip perjuangan malahan turut memberi pengaruh kepada pejuang-pejuang lain untuk bangkit menyuarakan hak-hak mereka.

Rabu, 5 Februari 2014

Dato' Maharajalela

Dato Maharajalela

Perjuangan Dato' Maharajalela Pandak Lam menentang British merupakan satu perjuangan yang suci dan murni. Beliau tidak mahu mengotorkan dirinya menjadi pencacai British, sebaliknya dengan penuh strategi dan umpamanya mempertahankan sistem tradisional di Perak yang diganggu gugat oleh pihak British melalui pengenalan Sistem Residen.

Sebagai Pembesar Yang Lapan di Perak, beliau antara tokoh yang dianggap berwibawa dan begitu dihormati oleh penduduk. Keprihatinan beliau membela nasib rakyat dan menghalang gangguan British mendapat sokongan ramai. Seruan beliau agar mengatur rancangan menghalang pertapakan British telah mengundang ramai pengikut, bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malahan juga orang asli sendiri, antaranya Seputum yang ditugaskan membunuh J.W.W.Birch.

Dato' Maharajalela berketurunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Tidak hairanlah, jika darah kepahlawan Bugis mengalir dalam dirinya. Beliau pantang berundur, apa yang dikatakan akan dikotakan. Ketika penentangan dilancarkan ke atas British di Pasir Salak, Perak adalah di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Pengetahuan agama dan ketinggian keperibadiannya, menyebabkan beliau dilantik sebagai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato' Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa yang boleh memancung tanpa bertanya.

Gerakan terhadap British oleh beliau di Perak turut disertai oleh ramai golongan bangsawan dan rakyat jelata. Antara yang sama berjuang dengan beliau ialah Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk dan tercatat dalam buku sejarah sebagai Dato' Sagor', juga Ngah Kandin, Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim. Perancangan beliau ternyata licik sehingga segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.


Semuanya bermula rentetan mesyuarat yang diadakan bersama-sama dengan orang-orang bangsawan anti-British dan pengikutnya di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875, iaitu 6 bulan setelah sistem Residen diperkenalkan di Perak. Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Raja Abdullah dan Raja Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.

Penglibatan Dato' Maharajalela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W.Birch mendapat sanjungan rakyat Perak, namun terdapat tali barut dalam kalangan orang Melayu sendiri yang melaporkan kepada British tentang penglibatannya sebagai pelaku utama dalam rancangan membunuh Birch hingga beliau akhirnya ditangkap dan dibicarakan secara tidak adil oleh Mahkamah. Akhirnya pahlawan berani Perak ini dijatuhi hukuman gantung, bersama-sama Dato' Sagor dan Seputum manakala pembesar yang lain dibuang negeri ke Pulau Sychelles.

Nama Dato' Maharajalela sebagai pengasas kebangkitan Perak akan terus diingati dan dikenang sehingga terkorban bagi mempertahankan prinsip perjuangan. Sikap dengki, iri hati dan pengkhianatan golongan bangsawan dalam kes Dato Maharajalela menyedarkan kita bahaya perpecahan yang melanda orang Melayu. Perjuangan beliau menjadi iktibar dan semangat buat orang Melayu untuk terus bersatu mempertahankan segala yang telah diperjuangkan. Kisah Dato Maharajalela telah membuktikan kewujudan bukan satu mitos dimana kewujudan beliau telah tercatat pada tugu peringatannya.

Selasa, 4 Februari 2014

Mat Kilau

Mat Kilau

1847-1970
Keberanian sebagai pahlawan terbilang sentiasa diingati hingga ke hari ini. Mat Kilau dikenali sebagai seorang pejuang yang tidak gentar menentang penjajah di Pahang. Beliau turut sama membantu pejuang-pejuang di Kelantan dan Terengganu dalam usaha membebaskan negeri itu dari cengkaman penjajah. Tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar, Jerantut Pahang ini bangkit untuk menentang penjajah British pada penghujung abad ke-19 hingga menjadi buruan kemudian menghilangkan diri dan muncul semula pada tahun 1970 ketika usia 123 tahun. 

Jiwa perjuangannya tidak pernah luntur terutama memikirkan bagaimana kuasa asing yang jauh boleh datang menguasai negeri. Ketika peperangan Semantan meletus, beberapa Pembesar Pahang ditangkap dan dihukum, walaubagaimanapun, Mat Kilau terselamat bersama rakan-rakannya dan berundur ke Hulu Kelantan untuk mendapatkan pelindungan. Kemudian, beliau ke Kuala Berang, Hulu Terengganu kerana mendapat sokongan daripada ulama Terengganu yang terkenal iaitu Tokku Paloh dan Hj Abdul Rahman Limbong. Di sana, Mat Kilau belajar ilmu agama daripada Tokku Paloh.

Mat Kilau sangat mahir dengan gerak geri silat Melayu dan jalan denai di hutan yang bersempadan antara tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Malahan jalan denai yang dirintis Mat Kilau menjadi laluan pencari kayu gaharu hingga ke hari ini. Beliau memang bijak dan mahir selok-belok hutan, malahan mempunyai ilmu firasat yang cukup tinggi.

 Antara jalan denai yang dilalui Mat Kilau ialah dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang, Kelantan. Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelak diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja. Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan beliau menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dilabel sebagai penderhaka. Pada 14 Jun 1894, beliau bersama pahlawan Melayu Pahang yang lain seperti Tok Gajah, Dato' Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai.


Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris, The Free Press yang diterbitkan di Singapura, menyatakan bahawa Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dilaporkan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bahru disebabkan kehilangan darah yang banyak. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu tersebut. Namun apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Dermali, Raja Ibrahim(Pak Him) dan Mat Kelantan.

Disebabkan Mat Kilau dilabel sebagai 'Penderhaka' dan disahkan mati oleh Inggeris, beliau mengasingkan diri dan bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Mat Kilau terpaksa menukar namanya beberapa kali dan akhirnya menggunakan nama Mat Siam. Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada waktu itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad Bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Atas daya usaha anaknya Omar, pahlawan Melayu itu dibawa pulang ke kampung asalnya, Kampung Masjid,Pulau Tawar.

Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Beliau akhirnya disahkan sebagai Mat Kilau pada 6 Ogos 1970 oleh Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mohd Seh. Empat hari kemudian, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. 
   

Isnin, 3 Februari 2014

Dato' Bahaman

Dato' Bahaman

1868-1931
Dalam darah keturunan Melayu mengalir semangat kepahlawanan Dato' Hang Tuah. Semangat ini takkan pernah hilang dan luntur. Inilah yang dibuktikan oleh Dato' Bahaman ketika bangkit mengetuai penentangan terhadap British di negeri Pahang pada tahun 1892. Tanpa gentar dan takut Dato' Bahaman menentang pelaksanaan Undang-Undang barat yang telah mengetepikan adat resam orang Melayu.Pada usianya 24 tahun, Dato' Bahaman(Orang Kaya Semantan) dengan lantangnya menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan undang-undang tersebut serta ketidakadilan terhadap masyarakat Melayu pada waktu itu. Semangat keperwiraan Dato' Bahaman amat dikagumi dan walaupun tanpa kekuatan senjata yang mencukupi, beliau tetap berupaya mempertahankan orang Melayu di negeri Pahang.


Nama sebenar Dato' Bahaman ialah Abdul Rahman Bin Tuanku Imam Nuh berasal dari Bangkinang, Indonesia. Beliau mahir dalam seni pertahankan diri sehingga diberi gelaran Seman Tahan kerana dapat menyelesaikan masalah secara fizikal dan intelektual. Sejarah penentangan Dato' Bahaman berpunca daripada tindakan provokasi C.E.B  Desborough(Pemangku Pemungut Hasil Semantan) yang telah menangkap anak buah Dato' Bahaman atas tuduhan mengumpul hasil hutan tanpa kebenaran dan tidak membayar cukai.

Pembinaan balai polis di Lubuk Terua dianggap satu pencerobohan ke atas tanah orang Melayu dan menggangu kegiatan mereka menyebabkan Dato' Bahaman bangkit menentang peraturan yang menyusahkan kehidupan masyarakat tempatan.

Tindakan pertama yang diambil oleh Dato' Bahaman ke atas pasukan keselamatan penjajah British yang dipimpin oleh Desborough di Lubuk Terua sehingga berjaya membunuh 3 orang polis bersenjata lengkap dan mencederakan beberapa orang yang lain. Dalam serangan tersebut, Dato' Bahaman berjaya melepaskan pengikut beliau yang ditahan oleh British. Dato' Bahaman seterusnya memimpin sepasukan pejuang Pahang menyerang pelbagai kemudahan milik British seperti memusnahkan gudang-gudang bekalan makanan serta barangan kepunyaan Syarikat Lombong Bijih di daerah Bentong dan Raub. Keupayaan Dato' Bahaman mengalahkan pasukan polis British telah menyemarakkan semangat perjuangan dalam kalangan orang Melayu untuk menentang British walaupun perlu berjuang dalam keadaan serba kekurangan dan hanya berbekalkan kehebatan gerak langkah Silat Melayu.

British melakukan serangan tindak balas ke atas kedudukan Dato' Bahaman dan pengikutnya serta menabur pelbagai fitnah dengan mendakwa bahawa Dato' Bahaman menulis surat kepada Residen Selangor, W.E Maxwell meminta supaya Semantan disatukan dengan Selangor. Tujuannya supaya masyarakat setempat membenci Dato Bahaman. Namun begitu usaha yang dilakukan British menemui kegagalan setelah usaha menyebarkan propaganda tidak berjaya, Inggeris mencari helah yang lebih halus dengan menggunakan nama Sultan Pahang.

Dato' Bahaman telah dianggap sebagai penderhaka sehingga diperintahkan oleh Sultan untuk menjawab segala tuduhan yang dibuat oleh British di Istana Pahang. Namun, Dato' Bahaman dengan bijaksana tidak berkompromi tipu muslihat British, sebaliknya bersembunyi di dalam hutan satu strategi untuk mengumpul kekuatan serta menyusun langkah seterusnya. Setelah usaha menggunakan kuasa Istana gagal, British bertindak balas dengan menahan pengikut Dato' Bahaman.

Dengan kehebatan dan kelicikan Dato' Bahaman, beliau berjaya membebaskan pengikutnya yang ditahan walaupun dikawal rapi oleh pihak British sehingga menimbulkan rasa takut kepada pihak British untuk menggunakan tenteranya sendiri bagi menyerang Dato' Bahaman dan pengikutnya kerana bimbang kehilangan anggota mereka. British kemudian bekerjasama dengan Tengku Mahmud yang mengetui 200 askar Melayu. Ini disebabkan askar Melayu tidak mahu bekerjasama dengan askar Sikh. Namun British tetap menghantar sepasukan 60 orang tentera Sikh yang diketui oleh Kapten Summer dan Hugh Clifford dan usaha itu tetap mengalami kegagalan.

Usaha terakhir yang dilakukan oleh British untuk menghapuskan Dato' Bahaman dan pengikutnya tidak lagi dengan menggunakan kekuatan tentera sebaliknya British telah melancarkan perang saraf di mana satu propaganda yang dinamakan 'Gerakan Sultan' pada 22 Januari 1892 di mana baginda Sultan dikatakan akan menghantar hadiah kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga Dato' Bahaman ditangkap atau dibunuh, namun tetap gagal.

Dato' Bahaman bersama pengikutnya melakukan serangan balas dan dapat menawan semula Lubuk Terua. Tindakan itu membangkitkan kemarahan British yang kemudian menghantar 300 askar Melayu yang diketui oleh Tengku Ali, Clifford dan Wise(Majistret di Temerloh) yang cuba menggunakan askar orang asli untuk menjejaki Dato' Bahaman, namun orang asli Pahang tidak mahu bekerjasama dengan Inggeris kerana menganggap Dato' Bahaman sebagai saudara mereka.


Walau bagaimanapun, dalam satu serangan balas besar-besaran British ke atas Dato' Bahaman di  Jeram Ampai pada tahun 1894, para pejuang Pahang termasuk Dato' Bahaman terpaksa berpecah dan berundur ke dalam hutan. Tokoh pejuang Pahang ini teus menghilangkan diri dan dikatakan berundur ke Terengganu, seterusnya ke Kelantan dan menetap di Siam. Nama Dato' Bahaman terus kekal di dalam lipatan sejarah sebagai pejuang tulen yang berani menentang penjajah dan Sekolah Menengah Dato' Bahaman, Lancang didirikan mengabadikan nama tokoh pejuang ini agar tidak dilupakan oleh zaman.

Sabtu, 1 Februari 2014

Tun Abdul Ghaffar Baba

Tun Abdul Ghaffar Baba

1925-2006
Tun abdul Ghaffar Baba terkenal sebagai pemimpin Malaysia yang merendah diri tetapi tegas dan kaya dengan sifat 'mahaguru'. Bermula sebagai rakyat biasa yang bekecimpung dalam bidang perguruan dan seterusnya dijulang sebagai ahli politik terkemuka sehingga menjadi antara orang kedua terpenting pada era Tun Dr.Mahathir Mohamad. Tun Abdul Ghaffar merupakan Timbalan Perdana Menteri keenam, mula memegang jawatan tersebut pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993. Tun Abdul Ghaffar Baba dilantik oleh Tun Dr.Mahathir Selepas Tun Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1987.

Tun Abdul Ghaffar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah(1931-1936) dan Sekolah Melayu Tangga Batu Melaka(1937-1940), beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris(kini UPSI), Tanjung  Malim dari 1946 hingga 1949. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru (1949-1955) sebelum beralih kepada kerjaya politik(1955-2004). Jiwa beliau sebagai seorang guru terus meresap dalam kerjaya politiknya, menjadikannya perantara yang penting antara semua pemimpin politik dan sentiasa bersedia berkhidmat kepada negara.

Dilahirkan pada 18 Februari 1925 di Negeri Sembilan dalam keluarga yang terdiri daripada 10 orang adik beradik, Tun Abdul Ghaffar pernah bekerja menjaja ubi kayu di Melaka untuk menambah pendapatan keluarga. Ketika usia 14 tahun, beliau menjadi pemungut bola golf dan bola tenis golongan atasan seperti Yang di-Pertuan Agong Pertama, Tunku Abdul Rahman. 20 tahun kemudian, beliau yang menjadi Ketua Menteri Melaka duduk semeja dengan Tunku Abdul Rahman di Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Tun Abdul Ghaffar tidak pernah menjadikan kemiskinan hidup sebagai alasan yang menghalang beliau mencapai kejayaan kerjaya hingga ke peringkat tertinggi.


Tun Abdul Ghaffar mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara apabila melibatkan diri dalam kancah politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda(KMM) di Melaka ketika berusia 15tahun. Kemudian bergerak aktif dalam PKMM dari tahun 1945 hingga 1948. Pada tahun 1955, Tun Abdul Ghaffar menyertai UMNO di Melaka apabila mendapati PKMM tidak sesuai lagi dengan pemikiran dan kewajaran perjuangan untuk membela nasib bangsa dan negara. 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin menyerlah apabila memegang beberapa jawatan penting seperti Majlis Terting UMNO Melaka, Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Presiden UMNO(1962-1987), Ketua Perhubungan UMNO Sabah(1991), Pengerusi BN Sabah(1992) dan Setiausaha Agung Barisan Nasional(1974-1993).

Beliau mula terlibat sepenuh masa dalam bidang politik apabila bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihanraya umum pertama 1955. Pada 1 Jun 1959, beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ketika berusia 34 tahun. Kawasan pilihanraya yang terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam Melaka yang dimenanginya pada pilihanraya 1999. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat dengan kerajaan menerusi rekod pencapaian cemerlang dengan kemenangan dalam 11 pilihanraya umum sejak 1955 hingga 1999 atas tiket Parti Perikatan dan Barisan Nasional.

Tun Abdul Ghaffar dilantik menjadi Pengerusi MARA yang pertama mulai 1 September 1967 sehingga Oktober 1971 bagi meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu. Beliau juga merupakan pengasas Kolej MARA(1972) yang kini dikenali sebagai UiTM. Selain Timbalan Perdana Menteri, jawatan lain yang pernah beliau sandang ialah Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Tun Abdul Ghaffar telah berkhidmat di bawah 3 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr.Mahathir. Tun Ghaffar pernah memangku jawatan Perdana Menteri selama 3minggu semasa zaman pemerintahan Tun Abdul Razak yang ke luar menghadiri sidang Komanwel. Atas semangat perpaduan dan setia kawan, Tun Ghaffar juga pernah diberi kepercayaan menjadi pengerusi Jawatankuasa Ad-Hoc Perhimpunan Agung MCA untuk memilih jawatankuasa pusat yang baru ketika MCA dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden Tan Sri Dr Neo Yee Pan.

Jasa dan sumbangan besar Tun Abdul Ghaffar terhadap politik negara sewajarnya dikenang. Wajahnya yang tenang dan bersahaja benar-benar mengambarkan kematangan seorang ahli politik berjiwa rakyat yang bersemangat. Beliau contoh terbaik seorang pemimpin yang perlahan-lahan naik ke peringkat tertinggi kepimpinan negara. Kini nama Tun Abdul Ghaffar diabadikan di MRSM Jasin sebagai MRSM Tun Ghaffar Baba pada 27 Julai 2006 dan di enam buah FELDA di Melaka. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...