Halaman

Selasa, 4 Februari 2014

Mat Kilau

Mat Kilau

1847-1970
Keberanian sebagai pahlawan terbilang sentiasa diingati hingga ke hari ini. Mat Kilau dikenali sebagai seorang pejuang yang tidak gentar menentang penjajah di Pahang. Beliau turut sama membantu pejuang-pejuang di Kelantan dan Terengganu dalam usaha membebaskan negeri itu dari cengkaman penjajah. Tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar, Jerantut Pahang ini bangkit untuk menentang penjajah British pada penghujung abad ke-19 hingga menjadi buruan kemudian menghilangkan diri dan muncul semula pada tahun 1970 ketika usia 123 tahun. 

Jiwa perjuangannya tidak pernah luntur terutama memikirkan bagaimana kuasa asing yang jauh boleh datang menguasai negeri. Ketika peperangan Semantan meletus, beberapa Pembesar Pahang ditangkap dan dihukum, walaubagaimanapun, Mat Kilau terselamat bersama rakan-rakannya dan berundur ke Hulu Kelantan untuk mendapatkan pelindungan. Kemudian, beliau ke Kuala Berang, Hulu Terengganu kerana mendapat sokongan daripada ulama Terengganu yang terkenal iaitu Tokku Paloh dan Hj Abdul Rahman Limbong. Di sana, Mat Kilau belajar ilmu agama daripada Tokku Paloh.

Mat Kilau sangat mahir dengan gerak geri silat Melayu dan jalan denai di hutan yang bersempadan antara tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Malahan jalan denai yang dirintis Mat Kilau menjadi laluan pencari kayu gaharu hingga ke hari ini. Beliau memang bijak dan mahir selok-belok hutan, malahan mempunyai ilmu firasat yang cukup tinggi.

 Antara jalan denai yang dilalui Mat Kilau ialah dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari Jerantut ke Gua Musang, Kelantan. Bagaimanapun, laluan yang kerap digunakan Mat Kilau dan pengikutnya bagi mengelak diri daripada British adalah laluan antara Kampung Bantal ke Kampung Pasir Raja. Penentangan Mat Kilau yang berterusan terhadap British menyebabkan beliau menjadi orang buruan yang paling dikehendaki dan dilabel sebagai penderhaka. Pada 14 Jun 1894, beliau bersama pahlawan Melayu Pahang yang lain seperti Tok Gajah, Dato' Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai.


Pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris, The Free Press yang diterbitkan di Singapura, menyatakan bahawa Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap cedera pada muka dan kepala. Kecederaannya dilaporkan parah dan dia mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bahru disebabkan kehilangan darah yang banyak. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu tersebut. Namun apa yang sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Dermali, Raja Ibrahim(Pak Him) dan Mat Kelantan.

Disebabkan Mat Kilau dilabel sebagai 'Penderhaka' dan disahkan mati oleh Inggeris, beliau mengasingkan diri dan bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Mat Kilau terpaksa menukar namanya beberapa kali dan akhirnya menggunakan nama Mat Siam. Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada waktu itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad Bin Ibrahim, memperkenalkan dirinya yang sebenar. Atas daya usaha anaknya Omar, pahlawan Melayu itu dibawa pulang ke kampung asalnya, Kampung Masjid,Pulau Tawar.

Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Beliau akhirnya disahkan sebagai Mat Kilau pada 6 Ogos 1970 oleh Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mohd Seh. Empat hari kemudian, Mat Kilau meninggal dunia kerana uzur. 
   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...