Halaman

Khamis, 6 Februari 2014

Rosli Dhobie

Rosli Dhobie

Sebagai anak muda yang berhati waja daripada kumpulan Rukun 13, beliau tidak bersetuju dengan cara rundingan yang dijalankan kerana banyak merugikan rakyat Sarawak. Bagi beliau, penentangan harus dibuat secara radikal dan kekerasan untuk mengajar pihak British  dan memberi amaran kepada penjajah bahawa rakyat Sarawak yang selama ini ditindas juga mampu bangkit.

Dilahirkan di Kampung Pulo, Sibu pada tahun 1932. Rosli Dhobie dibesarkan dengan penuh kasih sayang dalam sebuah keluarga sederhana yang terdiri daripada seorang kakak iaitu Fatimah dan seorang adik perempuan iaitu Ainie. Rosli memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Rakyat Sibu pada tahun 1947. Beliau amat meminati karya-karya golongan nasionalis nusantara seperti Jose Rizal dan Soekarno. Beliau turut mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Dengan menggunakan nama samaran Lidros, beliau menulis puisi tentang kebangkitan menentang penjajah. Puisinya "PanggilanMu Yang Suci " telah tersiar dalam Utusan Sarawak pada 28 Februari 1948. Penggunaan nama pena ini bertujuan untuk menyukarkan pihak British mengesan penulisnya yang melaungkan agenda kemerdekaan dan anti penjajah.

Selepas tamat perang Dunia Kedua, Vyner Brooke berhasrat untuk menyerahkan Sarawak kepada British sebagai Tanah Jajahan Mahkota tanpa mewariskannya kepada anak beliau, Anthony Brooke yang dianggap kurang cekap dalam menguruskan hal-ehwal pentadbiran negeri. Rundingan demi rundingan yang dilaksanakan oleh pemimpin kaum untuk menghalang penyerahan Sarawak tetap tidak membuahkan hasil.

Keadaan ini sangat mengecewakan banyak pihak terutama golongan belia daripada Pertubuhan Pemuda Seluruh Sarawak yang turut ditunjangi oleh Barisan Pemuda Sibu yang secara langsung terbabit dalam Gerakan Anti Penyerahan Sarawak. Golongan pemuda ini melihat rundingan diplomatik tidak lagi berguna, tambahan tarikh perlantikan Gabenor baharu British juga sudah kian hampir lalu mereka menubuhkan Kumpulan Rukun 13 yang memikul amanah mempersiapkan perancangan rapi untuk menggagalkan sebarang percubaan menabalkan Gabenor Sarawak.


Mereka sebulat suara berpendapat bahawa tindakan yang paling berkesan ialah menamatkan riwayat sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Gabenor Sarawak. Pemimpin gerakan tersebut telah memilih Rosli Dhobie dengan dibantu oleh Morshidi Sidek, Awang Ramli, Amit Mohd Deli dan Bujang Suntong untuk melaksanakan tindakan tersebut. Rosli dipilih untuk melaksanakan serangan nekad dengan menikam Sir Duncan Steward kerana usianya yang masih muda tidak akan menimbulkan sebarang syak wasangka British serta beliau dijangka dapat melepasi pemeriksaan ketat dengan mudah pada hari pertabalan Sir Duncan Steward.

Rosli Dhobie faham risiko yang akan dihadapinya, namun demi negeri Sarawak dan semangat kebangkitan Sarawak, beliau rela berhadapan bahaya asalkan perjuangannya dapat menginspirasikan gelombang anti-British. Beliau adalah simbol wira Sarawak sejati dan mendukung teguh prinsip perjuangan mendaulatkan Sarawak dan menentang kehadiran British.

Pada 3 Disember 1949, ketika Gabenor Sarawak disambut di Jeti Sibu dalam rangka lawatan ke bandar-bandar utama di Sarawak, beliau telah menikam Gabenor British itu sehingga meragut nyawanya.

Serangan itu amat mengejutkan semua delegasi yang mengiringi Gabenor Inggeris tersebut dan beliau telah ditangkap ketika itu juga lalu dihantar ke Kuching sebagai seorang banduan. Beliau bersama-sama dengan Awang Ramli, Amit Mohd Deli, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong dibicarakan dan didapati bersalah. Kesemua mereka dijatuhi hukuman mati, sementara Rosli Dhobie dipenjara sehingga 3 Mac 1950 bagi menunggu usia beliau genap mencapai dewasa sebelum menjalani hukuman tersebut. Beliau digantung pada usia 18 tahun, dan kisah beliau ditafsirkan dalam pelbagai versi, namun apa yang pasti beliau adalah wira Sarawak yang sejati.

Keberanian Rosli Dhobie terus segar dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia khasnya rakyat Sarawak. Nama beliau terus terpahat sebagai pejuang Borneo yang berani mempertahankan hak dan teguh dengan prinsip perjuangan malahan turut memberi pengaruh kepada pejuang-pejuang lain untuk bangkit menyuarakan hak-hak mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...