Halaman

Sabtu, 1 Februari 2014

Tun Abdul Ghaffar Baba

Tun Abdul Ghaffar Baba

1925-2006
Tun abdul Ghaffar Baba terkenal sebagai pemimpin Malaysia yang merendah diri tetapi tegas dan kaya dengan sifat 'mahaguru'. Bermula sebagai rakyat biasa yang bekecimpung dalam bidang perguruan dan seterusnya dijulang sebagai ahli politik terkemuka sehingga menjadi antara orang kedua terpenting pada era Tun Dr.Mahathir Mohamad. Tun Abdul Ghaffar merupakan Timbalan Perdana Menteri keenam, mula memegang jawatan tersebut pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993. Tun Abdul Ghaffar Baba dilantik oleh Tun Dr.Mahathir Selepas Tun Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1987.

Tun Abdul Ghaffar mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah(1931-1936) dan Sekolah Melayu Tangga Batu Melaka(1937-1940), beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris(kini UPSI), Tanjung  Malim dari 1946 hingga 1949. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru (1949-1955) sebelum beralih kepada kerjaya politik(1955-2004). Jiwa beliau sebagai seorang guru terus meresap dalam kerjaya politiknya, menjadikannya perantara yang penting antara semua pemimpin politik dan sentiasa bersedia berkhidmat kepada negara.

Dilahirkan pada 18 Februari 1925 di Negeri Sembilan dalam keluarga yang terdiri daripada 10 orang adik beradik, Tun Abdul Ghaffar pernah bekerja menjaja ubi kayu di Melaka untuk menambah pendapatan keluarga. Ketika usia 14 tahun, beliau menjadi pemungut bola golf dan bola tenis golongan atasan seperti Yang di-Pertuan Agong Pertama, Tunku Abdul Rahman. 20 tahun kemudian, beliau yang menjadi Ketua Menteri Melaka duduk semeja dengan Tunku Abdul Rahman di Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Tun Abdul Ghaffar tidak pernah menjadikan kemiskinan hidup sebagai alasan yang menghalang beliau mencapai kejayaan kerjaya hingga ke peringkat tertinggi.


Tun Abdul Ghaffar mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara apabila melibatkan diri dalam kancah politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda(KMM) di Melaka ketika berusia 15tahun. Kemudian bergerak aktif dalam PKMM dari tahun 1945 hingga 1948. Pada tahun 1955, Tun Abdul Ghaffar menyertai UMNO di Melaka apabila mendapati PKMM tidak sesuai lagi dengan pemikiran dan kewajaran perjuangan untuk membela nasib bangsa dan negara. 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin menyerlah apabila memegang beberapa jawatan penting seperti Majlis Terting UMNO Melaka, Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Presiden UMNO(1962-1987), Ketua Perhubungan UMNO Sabah(1991), Pengerusi BN Sabah(1992) dan Setiausaha Agung Barisan Nasional(1974-1993).

Beliau mula terlibat sepenuh masa dalam bidang politik apabila bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihanraya umum pertama 1955. Pada 1 Jun 1959, beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ketika berusia 34 tahun. Kawasan pilihanraya yang terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam Melaka yang dimenanginya pada pilihanraya 1999. Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat dengan kerajaan menerusi rekod pencapaian cemerlang dengan kemenangan dalam 11 pilihanraya umum sejak 1955 hingga 1999 atas tiket Parti Perikatan dan Barisan Nasional.

Tun Abdul Ghaffar dilantik menjadi Pengerusi MARA yang pertama mulai 1 September 1967 sehingga Oktober 1971 bagi meningkatkan kedudukan ekonomi orang Melayu. Beliau juga merupakan pengasas Kolej MARA(1972) yang kini dikenali sebagai UiTM. Selain Timbalan Perdana Menteri, jawatan lain yang pernah beliau sandang ialah Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Tun Abdul Ghaffar telah berkhidmat di bawah 3 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr.Mahathir. Tun Ghaffar pernah memangku jawatan Perdana Menteri selama 3minggu semasa zaman pemerintahan Tun Abdul Razak yang ke luar menghadiri sidang Komanwel. Atas semangat perpaduan dan setia kawan, Tun Ghaffar juga pernah diberi kepercayaan menjadi pengerusi Jawatankuasa Ad-Hoc Perhimpunan Agung MCA untuk memilih jawatankuasa pusat yang baru ketika MCA dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden Tan Sri Dr Neo Yee Pan.

Jasa dan sumbangan besar Tun Abdul Ghaffar terhadap politik negara sewajarnya dikenang. Wajahnya yang tenang dan bersahaja benar-benar mengambarkan kematangan seorang ahli politik berjiwa rakyat yang bersemangat. Beliau contoh terbaik seorang pemimpin yang perlahan-lahan naik ke peringkat tertinggi kepimpinan negara. Kini nama Tun Abdul Ghaffar diabadikan di MRSM Jasin sebagai MRSM Tun Ghaffar Baba pada 27 Julai 2006 dan di enam buah FELDA di Melaka. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...