Halaman

Khamis, 27 Februari 2014

Tun Dr.Hj Abdul Aziz Abdul Majid

Tun Dr.Hj Abdul Aziz Abdul Majid

1908 - 1975

Tun Hj.Abdul Aziz memulakan kerjayanya pada tahun 1926 sebagai seorang guru sementara sejurus selepas lulus Cambridge School Certificate. Pada masa yang sama, beliau menduduki peperiksaan Perkhidmatan Pentadbiran Melayu(Malay Administrative Service) dan mendapat tempat pertama dalam peperiksaan tersebut. Setelah memperoleh keputusan cemerlang, beliau berkhidmat sebagai Pegawai Kutipan Hasil Tanah pada 1926 sebelum dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah dan seterusnya sebagai Pegawai Daerah di negeri Selangor. Setelah berkhidmat selama 15 tahun di dalam perkhidmatan Pentadbiran Melayu, Tun telah dinaikkan pangkat di Malayan Civil Service pada 3 Ogos 1941.

Sewaktu British memperkenalkan Malayan Union di Tanah Melayu pada tahun 1946, Tun Hj Abdul Aziz telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha kepada Pejabat Suruhanjaya Residen Selangor. Kualiti kepimpinan dalam pentadbiran beliau bertambah menyakinkan semua pihak apabila beliau telah dilantik sebagai Penolong Setiausaha Negeri pertama bagi Selangor pada 1 Februari 1948. Selang sebulan selepas itu, Tun Abdul Aziz terpilih pula mengikuti Kursus Pentadbiran di Oxford University London.

Sekembalinya ke Tanah Air dari London pada tahun 1949, beliau ditugaskan pula untuk memegang beberapa jawatan penting di peringkat negeri dan peringkat persekutuan. Di peringkat negeri, Tun telah dilantik ke jawatan Pegawai Daerah di Teluk Anson. Pada 22 Januari 1952, Tun dilantik sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Kuala Lumpur dan Penolong Setiausaha di Bahagian Keselamatan Dalam Negeri.

Pada 15 April 1952, Tun Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan diikuti sebagai Menteri Besar Selangor pada 1 September 1954. Dalam memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, beliau merupakan antara pemimpin yang terpenting negara yang telah bersama-sama Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan para pemimpin lain mengikuti rombongan kemerdekaan negara ke London pada tahun 1956 dan 1957 bagi membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan perlembagaan. Pada tahun 1958 pula, Tun dan beberapa anggota rundingan telah pergi ke London sekali lagi untuk berbincang mengenai Perjanjian Pertahanan Malaysia.

Tun Hj Abdul Aziz merupakan salah seorang anggota Pasukan Perunding Persekutuan dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan. Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Awam iaitu Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri merangkap Setiausaha Jemaah Menteri Malaysia.

Pada tahun 1963, Tun sekali lagi terpilih sebagai salah seorang anggota rombongan Tanah Melayu yang berunding dengan Pejabat Commonwealth di London tentang kemasukan Borneo Utara(Sabah), Sarawak dan Singapura ke dalam Malaysia.Tun seterusnya menjadi ketua rombongan perundingan Persekutuan Tanah Melayu dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk membincangkan syarat dan peraturan-peraturan kemasukan negeri Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan baru Malaysia.

Pada tahun 1964, beliau bersara dari semua jawatan yang disandangnya. Walau bagaimanapun, pada tahun yang sama,beliau sekali lagi ditugaskan untuk menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sehingga tahun 1971. Selain itu, Tun Hj Abdul Aziz juga sering dipertanggungjawabkan untuk memikul beberapa misi khas di peringkat nasional dan antarabangsa.

Berdasarkan rekod cemerlang yang telah dicatat dalam bidang pentadbiran, beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada tahun 1971 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Kelima, Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dan beliau memegang jawatan ini selama 5 tahun.

Semasa hayatnya, beliau telah dianugerahkan beberapa darjah kebesaran seperti:

  1.  Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) 
  2. Commander of British Empire pada 1958,
  3. Panglima Mangku Negara(P.M.N) pada 31 Ogos 1958
  4. Darjah Paduka Mahkota Kelantan(D.P.M.K) 1961
  5. Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Malaya tahun 1964
  6. Darjah Seri Maharaja Mangku Negara(S.M.N) yang membawa gelaran Tun pada 7 Jun 1972.
Beliau meninggal dunia pada 10 Mei 1975 di kediaman rasminya di Sri Melaka ketika berusia 67 tahun sewaktu masih menjadi Gabenor Negeri Melaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...