Halaman

Selasa, 25 Februari 2014

Pak Sako


1909 - 1991
Beliau adalah tokoh Melayu yang seangkatan dengan Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Mokhtaruddin Lasso dan Samsiah Fakeh yang memperjuangkan gagasan penyatuan Sumatera, Brunie, Sabah Sarawak dan Tanah Melayu dalam gabungan Melayu Raya. Dalam dunia kesusteraan, beliau adalah satu nama besar yang cukup terkemuka dan menggunakan pelbagai nama samaran yang amat disenangi oleh pencinta karya-karyanya seperti Anwar, Hantu Raya, Isako San dan Pak Pandir Moden. Gelaran Isakosan yang diberi Jepun akhirnya meletak pada namanya yang dipanggil Pak Sako.

Pak Sako dilahirkan pada 14 November 1909 di Kampung Balik Gantang, Temerloh Pahang telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu kampung tengah, Temerloh. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Sekolah Clifford Kuala Lipis dari tahun 1924 hingga 1928. Pada tahun 1930, beliau mendapat tawaran belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan kemudian mendapat tawaran kerja sebagai pegawai kadet dalam Perkhidmatan Pentadbiran Tanah Melayu(Malayan Civil Servant) apabila menamatkan pengajian pada tahun 1935. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah, Majistret Kelas III dan guru bahasa sebelum meletakkan jawatan dan menyertai dunia penulisan secara sepenuh masa.

Oleh kerana pernah bekerja dengan British, banyak penyelewengan penjajah diketahui oleh Pak Sako. Hal inilah yang mendorong beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan dan menjelajah ke seluruh semenanjung untuk menyebarkan semangat anti-penjajah serta giat menghasilkan penulisan dalam media cetak. Akibatnya, beliau ditangkap dan dipenjarakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1948 sehingga 1953 dan 1965 hingga 1966. Namun beliau tidak pernah mengenal erti takut dan putus asa. Perjuangan beliau masih diteruskan meskipun mendapat tentangan hebat British.

Beliau turut menggunakan Novel dan cerpen dalam menyebarkan semangat orang Melayu tentang kedudukan mereka yang mundur dalam politik, ekonomi dan sosial. Sikapnya yang anti-penjajah jelas digambarkan dalam novelnya yang bertajuk Putera Gunung Tahan. Beliau menganggap kebudayaan Barat dipenuhi dengan sikap-sikap tamak, mementingkan kebendaan dan tidak jujur. Beliau juga berasa jijik dengan golongan feudal Melayu yang bersubahat dengan penjajah.

Pak Sako juga merupakan pengasas dalam penerbitan Utusan Melayu selepas meninggalkan jawatannya di Warta Malaya. Akhbar yang diterbitkan ini bertujuan untuk menyebarkan fahaman kebangsaan terutama kepada orang Melayu. Beliau bertugas di Utusan Melayu di bawah ketua pengarangnya, Abdul Rahim Kajai. Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, Pak Sako dilantik sebagai seorang pengarang di akhbar tajaan Jepun, Berita Malai.

Perpustakaan Negara Malaysia menyimpan lebih daripada 1000 naskah koleksi kesusteraan hasil penulisan Pak Sako, Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila merupakan novel yang mengecam dasar kolonial British dan mengkritik sikap orang Melayu yang menyokong penjajah. Pak Sako menumpukan kebudayaan Melayu dalam penulisannya.

Nama Pak Sako berdiri seiring dengan Keris Mas, Shahnon Ahmad, A.Samad Said, Kemala, Cikgu Harun Aminurrasyid dan Usman Awang. Sebagai menghargai segala jasa dan sumbangnya, Universiti Malaya telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Persuratan pada 29 Jun 1973. Pada 29 Mei 1976, Pak Sako telah menerima anugerah "Pejuang Sastera" daripada Perdana Menteri. Beliau meninggal dunia pada 7 November 1991 di Hulu Langat, Selangor. Setelah pemergiannya, beliau turut dianugerahkan sebagai tokoh Kewartawanan Negara pada tahun 1995. Selain itu, Utusan Melayu turut mengabadikan jasa beliau dengan mewujudkan Anugerah Pak Sako kepada penulis novel terbaik setiap tahun.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...