Halaman

Isnin, 24 Februari 2014

Tan Sri Abdul Samad Ismail


1924 - 2008
Pak Samad mula menempah alam pekerjaan dengan Utusan Melayu ketika berusia 16 tahun setelah tamat Senior Cambridge di Singapura. Beliau telah dilantik sebagai pengarang Berita Malai(1944) pada zaman Jepun pada usia 20 tahun. Pada tahun 1946,beliau dilantik sebgai penolong pengarah, Utusan Melayu dan pernah bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di Jakarta. Pada 1959, Pak Samad dilantik sebagai pengarang pertama Berita Harian, sebelum menjadi pengarang urusan bagi Kumpulan akhbar The New Straits Times(NSTP) pada tahun 1974, dan seterusnya sebagai penasihat jabatan pengarang bagi kumpulan akhbar berkenaan dari tahun 1984 sehingga beliau bersara pada tahun 1988.

Seperti wartawan lain di era sebelum merdeka dahulu, Pak Samad turut bergelumang dengan kancah politik dengan menyertai Gerakan Angkatan Muda(GERAM) bersama-sama Abdul Aziz Ishak pada tahun 1947. Pertubuhan ini kemudiannya bergabung dengan PUTERA pada zaman Jepun yang dipimpim oleh Dr.Burhanuddin Al-Helmy dan All-Malayan Council of Joint Action(AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock. Pak Samad juga terlibat dalam dalam pakatan Anti-British League bersama-sama PB Sharma , J.J Putucherry, Devan Nair dan John Eber.

Sebagai seorang wartawan, beliau turut berjuang bersama Nasionalis dan pejuang kemerdekaan lain melalui tulisannya yang tersebar luas di Tanah Melayu. Pak Samad menjadi terkenal dan sering diminta memberi ceramah di kalangan penulis dan wartawan kerana beliau menjadi teladan terbaik untuk menggariskan ciri-ciri profesionalisme dalam kewartawanan yang berkorban dan berdedikasi bagi manfaat orang lain melalui surat khabar pada setiap hari.


Pak Samad turut menyertai rombongan 'Tanah Melayu Merdeka' yang pertama ke London (1953). Pembabitan Pak Samad dalam dunia politik secara aktif bermula pada pertengahan dekad 1950-an apabila beliau turut terbabit dalam penubuhan Parti Tindakan Rakyat(PAP) do Singapura pada 1954. Beliau kemudian menyertai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Singapura pada 1958.

Pak Samad menceburi bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun lagi. Cerpen ciptaan terawalnya dikumpulkan dalam antologi Mekar dan Segar(1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan(1963). Cerpen yang ditulis pada dekad 1960-an dan belum pernah tersiar sebelum itu, akhirnya dikumpulkan dalam 2 kumpulan peribadi yang berjudul Temasya Tinta(1967). Pak Samad merupakan penulis yang kaya dengan idea dan cukup prolifik ketika meniti zaman kemuncak kerjayanya dalam bidang penulisan. Dalam tempoh antara tahun 1966 hingga 1975, Pak Samad telah menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkan:

  1. Patah Sayap Terbang Jua(1966)
  2. Tembok Tidak Tinggi(1967)
  3. Kail Panjang Sejengkal(1967)
  4. Detik-Detik Cemas(1969)
  5. Hussen Zet(1960)
  6. Sutinah(1975)
Beliau turut menjadi penyokong kuat penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan antara tonggak yang membantu dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) pada 1968. Bersama-sama Usman Awang dan Keris Mas, beliau menjadi pengasas Angkatan Sasterawan 50(Asas 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional(Pena) di Kuala Lumpur. Pada tahun 1971, Pak Samad dilantik sebagai ahli panel Hadiah Karya Sastera anjuran kerajaan dan beliau terpilih untuk menerima Anugerah Ramon Magsaysay pada tahun 1974.
Atas jasa dan sumbangan belia yang tidak ternilai terhadap bidang kewartawanan dan penulisan, pelbagai pengiktirafan dan anugerah telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada Pak Samad. pada 1976, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Hadiah Pejuang Sastera, sementara pada 1987, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh UKM, sementara Institut Akhbar Malaysia(IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara. Pak Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama 2 tahun di UKM(1991-1993) dan dianugerahi darjah kebesaran oleh yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri. Pak Samad kembali ke rahmatullah pada tanggal 4 September 2008, di Pusat Perubatan Pantai ketika berusia 84 tahun. Legasi yang beliau tinggalkan kepada bidang penulisan dan kewartawanan Melayu akan terus dipertahankan oleh generasi muda negara.   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...