Halaman

Jumaat, 21 Februari 2014

Tok Kenali

Tok Kenali

1868 - 1933
Tok Kenali seorang guru agama Islam yang agung. Beliau bukan sahaja terkenal di Malaysia malah di Asia Tenggara. Beliau adalah pencetus ilmu pengajian Islam di Malaysia dan Asia Tenggara pada awal abad ke-20. Hidupnya banyak berpandukan kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Beliau disebut juga sebagai seorang yang memilih cara hidup sederhana. Perkara yang menarik perhatian kita ialah perjuangan dan penghidupan Tok Kenali adalah agak nyata. Beliau banyak menerima pengaruh dari ajaran-ajaran Failasuf Islam Al-Imam Ghazali iaitu seorang yang membina dan mencetuskan fikiran umat Islam yang banyak membuat pembaharuan dalam mengupas soal-soal agama berdasarkan ajaran-ajaran kitab suci Al-Quran dan Hadis.

Sejak kecil, beliau sudah menunjukkan tanda-tanda kecerdasan minda yang luar biasa dan cenderung kepada ilmu pengetahuan. Beliau menaruh minat yang mendalam terhadap pembacaan dan memandang tinggi bidang penulisan dan peranan majalah selaku media massa yang berpengaruh menyatukan umat Melayu ketika itu. Pada usia 10 tahun, beliau telah berguru dengan ulama' terkenal di zamannya seperti Tok Guru Asy-Syeikh Muhamad Ali Bin Abdul Rahman, Tuan Guru Haji Taib atau dikenali sebagai Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim. Kesungguhan beliau dalam membina ilmu mendorongnya merantau jauh sehingga ke Makkah ketika berusia 18 tahun.

Sebaik sahaja kembali ke Tanah Air, beliau telah menubuhkan pusat pengajian Pondok Kenali pada tahun 1911 untuk memberi peluang kepada anak bangsanya menimba ilmu pengetahuan di negeri sendiri. Pondok tersebut terus berkembang maju dan masih bertahan hingga ke hari ini. Kebijaksanaan yang dimilikinya menarik perhatian Sultan Kelantan lalu melantik beliau sebagai Guru Agama di Masjid Besar al-Muhammadi dan anggota Majlis Ulama' Kelantan. Selain itu, beliau turut terlibat sebagai anggota Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Penolong Mufti dan Ketua Pelajaran Agama Islam Kelantan.

Keprihatinan beliau terhadap ilmu dan pendidikan mendorong Tok Kenali mengasaskan Majalah pengasuh di bawah terbitan Majlis Agama Islam Kelantan sebagai mewakili generasi Kaum tua daripada fahaman kaum muda, dimana Tok Kenali menjadi Ketua Pengarang dan penulis kolumnis majalah tersebut. Seperti juga Pondok Kenali, majalah ini masih diterbitkan sehingga kini. Daya usaha yang dilaksanakan oleh Tok Kenali itu telah meninggalkan satu khazanah ilmu yang tidak ternilai harganya.

Disamping menerbitkan majalah, Tok Kenali juga mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang penulisan. Terdapat dua buah buku yang merakamkan ilmu yang dimilik oleh Tok Kenali iaitu Pusaka Tok Kenali dan Cerpen Warisan Tok Kenali selain daripada berpuluh-puluh rencana serta kajian yang ditulis oleh penulis-penulis mengenai Tok Kenali. Tokoh ini juga menjadi seorang penulis yang cukup prolifik dan berjaya menghasilkan 9 buah kitab yang terkenal iaitu:

1. Khasiat Binatang
2. Kitab Mujarobat
3. Kitab Tasyif
4. Sangkalan Terhadap Kaifiyah
5. Hafalan dan Doa Yassin
6. Ilmu Risik Tok Kenali
7. Ilmu Ma'jun Tok Kenali
8. Ilmu Penyecah Tok Kenali
9. Ilmu Julab Tok Kenali.

Dalam usaha membangunkan anak bangsa, beliau menggunakan pendekatan yang berterus terang dalam memberi pandangan tanpa mengaibkan sesiapa. Ini dilakukan bagi membangkitkan semangat orang Melayu dan memelihara kesucian agama Islam.

Sebagai seorang Tuan Guru yang  bijaksana, Tok Kenali menyelitkan cerita dalam pengajarannya. Salah seorang anak murid beliau, Abdullah Al-Qari telah mengumpulkan sebanyak 21 buah cerita yang dipetik daripada Majlis Ilmu Tok Kenali. Cerita-cerita tersebut penuh dengan nasihat dan teladan kepada sesiapa yang mendengarnya. Kisah Tok Kenali dikenali sejak dahulu sehingga kini, bukan sahaja dikalangan orang dewasa malah pelajar-pelajar turut menjadikannya ikon agama yang tidak luntur dek zaman. Itu kehebatan Tok Kenali seorang Tokoh agama ulung yang dilahirkan di bumi Kelantan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...